Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 555 - Cenuram Penghujung Syurga (2)

Chapter 555 - Cenuram Penghujung Syurga (2)

Semua petunjuk ini memberitahu mereka yang kemungkinan besar makam Maharaja Kegelapan itu terletak di dasar Cenuram Penghujung Syurga. Semua anggota Istana Dua Belas yang telah dibunuh tanpa belas kasihan dan keluarga mereka diburu itu sebenarnya telah memetakan kawasan muka bumi di dasar Cenuram Penghujung Syurga.

Kalau tidak, dengan kekuatan luar biasa yang dimiliki oleh Istana Dua Belas, mustahil mereka masih tidak mampu mencari makam Maharaja Kegelapan itu sekiranya makam tersebut terletak di mana-mana kawasan lain.

Tetapi jika tempat itu dipenuhi perangkap dan diselubungi kabus tebal, mereka memerlukan peta yang lengkap dan tepat untuk menunjukkan lokasinya.

"Mu Qian Fan menyebut yang tidak lama dahulu, ada orang mencari kumpulannya dan mengupah mereka untuk melakukan misi penyiasatan pada kawasan di dasar Cenuram Penghujung Syurga. Maksudnya, orang-orang itu mungkin memiliki sebahagian peta tersebut. Adakah mereka dari Istana Dua Belas atau bekerja untuk istana itu? Mungkin juga orang yang mencari Mu Qian Fan itu ialah orang di dalam Akademi Zephyr yang memiliki peta tersebut?" Fei Yan menggososk-gosok dagunya. Keningnya berkerut sewaktu dia berfikir dengan mendalam.

"Saya rasa mereka wakil salah satu kuasa besar di Alam Bawahan yang terhutang budi dengan Istana Dua Belas," kata Jun Wu Xie dengan tegas. Dia kedengaran amat yakin.

"Kenapa kamu kata begitu?" Fei Yan duduk tegak kerana terkejut.

Jun Wu Xie membalas, "Istana Dua Belas masih mencuba pelbagai cara untuk melengkapkan koleksi peta mereka. Jadi tentulah ini bermaksud mereka mengesyaki yang makam Maharaja Kegelapan itu berada di Cenuram Penghujung Syurga dan mereka sedar keadaan berbahaya di kawasan itu. Mereka tidak akan begitu bodoh untuk menyuruh Mu Qian Fan dan kumpulannya mencari lokasi tepat makam itu. Kalau tekaan saya betul, Istana Dua Belas tidak begitu pasti yang makam Maharaja Kegelapan berada di situ. Mereka hanya meneka sahaja. Sebab itulah mereka tidak mengambil langkah yang jelas terhadap tempat itu. Ekspedisi terkini itu pasti kerja salah seorang dari Dua Belas Istana yang telah dapat menjejak petunjuk sehingga ke Cenuram Penghujung Syurga lalu memberikan arahan kepada orang-orang mereka di sini. Sementara itu, orang yang menerima arahan itu pula tidak sanggup melakukannya sendiri dan menyerahkan tugas kepada kumpulan Mu Qian Fan untuk meninjau tempat tersebut."

Jun Wu Xie berfikir seketika sebelum menyambung, "Menurut apa yang Mu Qian Fan katakan, orang yang memberikan misi itu kepadanya kini sudah tahu tentang keadaan berbahaya di Cenuram Penghujung Syurga. Saya tak rasa dia akan bertindak lagi dalam masa terdekat ini."

Cenuram Penghujung Syurga hanyalah satu tekaan oleh Istana Dua Belas dan mereka tidak dapat mendapatkan kepastian. Sebab itulah mereka tidak berani mencurahkan seluruh kekuatan mereka untuk pergi ke tempat yang amat berbahaya itu.

Setelah mempertimbangkan semua itu, orang-orang dari Istana Dua Belas pasti telah pergi ke Cenuram Penghujung Syurga sebelum ini, tetapi mereka mungkin mengalami keadaan yang hampir sama seperti Mu Qian Fan dan kumpulannya. Khabar angin tentang Cenuram Penghujung Syurga pasti telah disebarkan oleh orang-orang dari Istana Dua Belas sendiri demi menarik mereka yang tidak tahu perkara sebenar untuk mencari kebenaran itu di Cenuram Penghujung Syurga dan memberikan lebih banyak petunjuk tentang tempat itu.

"Jadi kita perlu pergi siasat di Cenuram Penghujung Syurga?" Qiao Chu berasa sedikit teruja. Kalau makam Maharaja Kegelapan itu benar-benar berada di Cenuram Penghujung Syurga, mereka sanggup tinggal di situ selama satu dekad sekalipun, asalkan dapat menemui makam itu!

Hua Yao menegurnya dengan lembut, "Kamu ni berfikiran terlalu ringkas. Kalau makam Maharaja Kegelapan itu begitu mudah dapat dicari di dasar Cenuram Penghujung Syurga, tentulah Istana Dua Belas tidak sebegini gelisah. Mu Qian Fan sendiri mengatakan sebelas orang ahli kumpulannya turun ke dasar Cenuram Penghujung Syurga dan hanya berada di situ selama dua hari. Tetapi mereka hanya bergerak kira-kira seratus meter sahaja. Hanya seorang yang terselamat daripada sebelas orang itu dan ini sepatutnya memberi gambaran pada kamu betapa berbahayanya dasar Cenuram Penghujung Syurga ini. Tanpa peta yang lengkap, memasuki kawasan itu hanya akan membawa maut."

Bukannya dia keberatan untuk pergi, tetapi ada banyak hal lain yang perlu difikirkan.

Kalau mereka semua mati di Cenuram Penghujung Syurga, tak ada siapa yang boleh membalas dendam di atas kekejaman yang dilakukan pada ibu bapa mereka.

Qiao Chu terdiam. Dia tahu kata-kata Hua Yao itu ada benarnya.

Jun Wu Xie memicit kaki Tuan Embek Embek dan berkata sambil menundukkan matanya, "Kita boleh pergi. Tidak semestinya kita mencari lokasi makam Maharaja Kegelapan. Tapi idea yang baik juga kalau kita melihat situasi sebenar di Cenuram Penghujung Syurga itu terlebih dahulu."