Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 513 - Pengekor Kecil di Sebalik Bayang (4)

Chapter 513 - Pengekor Kecil di Sebalik Bayang (4)

Awal pagi keesokan harinya, Jun Wu Xie dan ahli kumpulannya terjaga. Kambing biri-biri kecil itu masih tidur dan Jun Wu Xie memberi isyarat kepada mereka untuk terus senyap. Mereka semua turun dari pokok itu dengan diam-diam dan terus melarikan diri.

Sewaktu kambing biri-biri kecil itu terjaga dan mendongak untuk menjengah ke atas pokok, bulu-bulunya mengembang kerana terkejut!

"EMBEK!!!"

[Mereka pergi mana!?]

"Ha ha ha ha!!!!! Teruk betul kamu ni! Kalau kamu tak mahu si kecil tu ikut kita, campak sajalah jauh-jauh! Tapi kamu suruh kami semua menyelinap dalam diam! Ha ha ha! Tak tahanlah….. Sampai sakit perut saya ni….. Abang Hua….. selamatkan saya….." Qiao Chu ketawa berdekah-dekah sepanjang perjalanan. Binatang Roh gred tinggi sekalipun bukan tandingan kumpulan ini. Tetapi mereka terpaksa melarikan diri daripada seekor kambing biri-biri kecil yang tidak mahu berputus asa. Memang kelakar betul.

"Bodoh! Tepilah!" Fei Yan menendang Qiao Chu yang hampir "mencemari" Hua Yao dengan tangannya yang kotor. Wajah Fei Yan kelihatan jijik.

"Tapi saya tertanya-tanya juga. Jun Wu Xie, kenapa kamu tak sanggup bela si kecil tu? Kambing biri-biri tu comel juga, bukan?" Rong Ruo agak hairan dengan reaksi Jun Wu Xie. Dia dapat lihat betapa Jun Wu Xie sayangkan binatang kecil yang berbulu. Jadi secara logiknya, bukankah Jun Wu Xie sepatutnya gembira apabila kambing biri-biri kecil yang dungu itu asyik mengekorinya?

"Akan mati," kata Jun Wu Xie sambil berkerut sedikit.

Rong Ruo terkejut, tetapi dia faham apa yang dimaksudkan.

Walaupun jangka hayat Binatang Roh lebih panjang daripada haiwan biasa, tempoh itu masih lagi dikira pendek jika dibandingkan dengan jangka hayat manusia. Binatang Roh di gred terlalu rendah mungkin hanya mampu hidup lebih kurang satu dekad. Jun Wu Xie tidak mahu membelanya kerana risau si kecil itu akan mati satu hari nanti dan dia tidak mahu berdepan dengan kesedihan yang pasti dialaminya selepas itu.

Kalau si kecil itu lama berdampingan dengannya, pasti Jun Wu Xie akan sayang padanya. Walaupun Jun Wu Xie biasanya bersikap dingin, dia tetap akan mengalami perasaan sedih.

Jadi, tidak kiralah betapa dia menyayangi si kecil itu, dia tidak mahu membiarkan dirinya terlalu rapat dengan binatang yang jangka hayatnya pendek. Jun Wu Xie tidak suka melihat apa yang disayanginya mati di hadapan matanya.

Mungkin dia sentiasa kelihatan dingin dan tidak mesra. Namun sebaik dia sudah membentuk hubungan yang rapat, sukar untuk dia memutuskan hubungan itu.

Walaupun dia amat menyayangi binatang yang comel dan berbulu, dia hanya membenarkan dirinya berinteraksi dengan binatang-binatang ini sekali-sekali. Dia tidak akan menjadi terlalu rapat dengan mana-mana binatang tersebut.

Kucing hitam kecil itu terkecuali kerana hakikatnya, selagi Jun Wu Xie masih bernyawa, kucing itu dapat menemaninya sehingga ke akhir hayat.

Rolly juga terkecuali kerana Rolly merupakan roh berkontrak yang kuat dan tidak akan mati dengan mudah.

Disebabkan mereka tak akan terpisah dengan kematian, Jun Wu Xie tidak menahan diri daripada menyayangi kedua-duanya.

"Rolly akan hidup lebih lama dari saya! Kamu mahu saya seru Rolly supaya kamu boleh memeluknya?" tanya Qiao Chu, tiba-tiba mendekati Jun Wu Xie. Walaupun Jun Wu XIe mempunyai personaliti yang dingin dan tidak mesra, Qiao Chu sering merasakan kata-kata gadis itu mampu membuatkan hati orang lain perit kerana simpati.

Mungkin disebabkan kepintaran luar biasanya, dia sedar tentang kesedihan yang bakal berlaku. Jadi dia menahan dirinya supaya tidak merasainya.

Usianya begitu muda, tetapi begitu banyak kerisauan sehingga dia menahan diri daripada menikmati apa yang disukainya. Bukankah keadaan ini amat meletihkan?

Jun Wu Xie menggelengkan kepala. Ketika dia mengangkat kepalanya, dia terlihat Qiao Chu dan yang lain memandangnya. Ekspresi wajah mereka seolah-olah mengatakan, "Kamu ini begitu mengundang simpati sehingga hati kami terasa pedih." Jun Wu Xie berasa agak terkejut.

'Adakah dia tersalah cakap?'

'Kenapa raut wajah mereka kelihatan begitu pelik?'

"Meow." Kucing hitam kecil itu menggoyang-goyangkan ekornya sambil berehat di bahu Jun Wu Xie.

[Jangan guna logik akal Cik sendiri untuk menilai orang biasa. Kata-kata Cik sering membuatkan mereka fikir yang Cik ini orang yang menyedihkan dan mempunyai latar belakang yang tragik. Mereka rasa Cik menyembunyikan diri Cik yang sebenar.]

Jun Wu Xie hampir tersenyum.

Dia langsung tidak merasakan dirinya ini patut menerima simpati. Sekali pun dia tidak pernah terfikir begitu!

Selepas dia dilahirkan semula, dia merasai kebahagiaan yang tidak pernah dialaminya sebelum ini!

Perbualan yang riuh-rendah ini berterusan sepanjang perjalanan sambil mereka menemui sasaran mereka sepenuhnya. Mereka dengan mudahnya dapat mengalahkan Binatang Roh yang mengalirkan air mata sewaktu ia mati.

Seketika kemudian, satu susuk tubuh kecil berwarna putih sekali lagi bersembunyi di sebalik sebaris pokok, tidak jauh dari situ. Mata yang bulat itu bersinar-sinar merenung Jun Wu Xie yang sedang berdiri di sebelah Fan Jin.

[Dah jumpa! Embek~!]