Duke Jun Xian dan Jun Qing mungkin tidak menunjukkan perasaan sedih mereka. Tetapi Long Qi amat mengenali kedua-dua lelaki dari Keluarga Jun ini dan dia tahu mereka terlalu merindui Jun Wu Xie.
"Tidak buat masa ni." Jun Wu Xie menggelengkan kepalanya.
Long Qi membuka mulutnya, seolah-olah ingin mengatakan sesuatu. Tetapi akhirnya dia membuat keputusan untuk diam sahaja.
Qiao Chu, Hua Yao dan yang lain memandang Jun Wu Xie tanpa berkata apa-apa. Hati mereka turut berasa sedih dengan keadaan Jun Wu Xie.
Long Qi dan orang-orangnya tidak tahu sebab mengapa Jun Wu Xie enggan pulang ke rumah.
Tetapi rakan-rakan seperjuangan Jun Wu Xie ini tahu benar apa sebabnya. Semuanya kerana Teratai Salji yang berada di dalam badannya. Jun Wu Xie mungkin akan ditemui oleh Dua Belas Istana pada bila-bila masa sahaja. Sebaik keadaan itu berlaku, mimpi ngeri mereka akan bermula.
Roh berkontrak jenis tumbuhan jarang ditemui dan sebab ini sahaja sudah cukup untuk mengejutkan segala entiti menggerunkan dari Dua Belas Istana. Sebaik mereka turun ke Alam Bawahan untuk merampas roh berkontrak itu, Jun Wu Xie tidak akan dapat kekal selamat, walaupun dia menerima perlindungan Tentera Rui Lin yang kuat. Dua Belas Istana akan menghapuskan Jun Wu Xie, ahli keluarganya serta seluruh Tentera Rui Lin.
Setelah mengalami sendiri kekejaman tanpa belas pihak Dua Belas Istana, Qiao Chu dan yang lain sedikit pun tidak percaya yang Dua Belas Istana itu akan menunjukkan sikap belas kasihan.
Pilihan Jun Wu Xie ini dibuat dengan niat untuk melindungi Istana Lin dan Tentera Rui Lin dari bahaya.
"Baiklah, kita perlu mula bergerak. Bukankah kita sepatutnya pergi mencari Rumput Roh Akuamarin? Mari pergi cepat sebelum Binatang Roh yang besar itu tiba-tiba datang semula."
Qiao Chu tidak sanggup lagi melihat mata Jun Wu Xie yang sayu. Dia menjadikan dirinya lebih bersemangat dan cuba menyingkirkan suasana muram ini dengan gelak ketawa.
"Mari pergi." Long Qi menyedari yang kata-katanya tadi mungkin menyebabkan Jun Wu Xie tidak selesa. Dia cepat-cepat bersetuju dengan cadangan Qiao Chu.
Semua orang di dalam konvoi itu nampaknya bersepakat untuk tidak menyebut hal itu lagi sewaktu mereka menuju Tasik Bulan Roh. Askar-askar yang tercedera tadi sudah berasa lebih sihat setelah menerima rawatan, kecuali askar yang tangannya disambung semula tadi. Dia memerlukan bantuan rakan-rakannya untuk memapahnya sewaktu mereka bergerak.
Tingkah-laku Qiao Chu yang gemar bersuka-suka dan berjenaka itu membuatkan suasana lebih ceria. Perjalanan mereka dipenuhi senyuman dan bunyi ketawa. Fei Yan turut sama berjenaka bersama-sama Qiao Chu dan menyebabkan semua orang di situ berasa lebih senang hati.
Jun Wu Xie membawa kucing hitam kecil yang sudah kembali ke saiz asalnya dan berjalan di tengah-tengah kumpulan itu. Perasaan rindu masih bersisa di hatinya dan dia tidak biasa merasai perasaan ini. Jun Wu Xie benar-benar dapat merasakan apa yang dinamakan sebagai kerinduan.
Adakah Datuk dan Pak Cik marah kerana dia tidak mengucapkan selamat tinggal?
"Kita pasti akan menemui makam Maharaja Kegelapan." Hua Yao tiba-tiba muncul di sisi Jun Wu Xie tanpa disedari lalu berbisik padanya supaya hanya mereka berdua dapat mendengar kata-katanya tadi.
Jun Wu Xie mengangkat kepalanya. Matanya yang tenang itu menunjukkan sedikit perasaan terkejut.
Wajah tampan Hua Yao menguntum senyuman ikhlas. Dia memandang Jun Wu Xie lalu mengusap-usap kepala gadis itu seketika sebelum berkata, "Selepas kita semua jadi lebih kuat, apa kata kami pulang bersama-sama dengan kamu?"
Jun Wu Xie kelihatan terkejut. Perasaan perit di dalam hatinnya perlahan-lahan digantikan dengan kehangatan yang lembut. Kesedihannya digantikan dengan sesuatu yang berbeza.
"Kenapa? Kamu tak sudi?" Hua Yao bergurau, memukul Jun Wu Xie dengan perlahan. Tahi lalat di hujung matanya itu membuatkan wajahnya kelihatan lebih menawan sewaktu dia tersenyum.
"Bukan." Jun Wu Xie menggelengkan kepalanya. Wajahnya yang dingin itu berubah sedikit apabila dia mula tersenyum sedikit. "Datuk dan Pak Cik pasti sukakan kamu semua."
"Saya anggap sebagai janji ya." Hua Yao mengeluh lega. Jun Wu Xie sentiasa berdikari dan keras hati. Tetapi apa yang mereka dapat lihat hari ini ialah hati yang dingin itu sebenarnya ada kelembutannya. Dia juga manusia biasa. Pendedahan ini membuatkan rakan-rakannya mahu melayannya dengan penuh kasih sayang. Mereka mengambil berat tentang rakan mereka ini.