Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 475 - Gadis Beracun (2)

Chapter 475 - Gadis Beracun (2)

Keadaan badan Fan Zhuo memang lemah sejak dulu lagi dan dia juga sering sakit-sakit sejak dia masih kecil. Fan Jin sentiasa bersifat pelindung terhadap adiknya yang lemah itu. Fan Qi dan Ning Rui merupakan rakan seguru dan Ning Xin telah membesar bersama-sama dengan adik-beradik Fan. Sewaktu mereka masih kecil, Fan Jin telah melayan Ning Xin sebagai adik perempuan yang dianggap manis, baik dan selalu mengambil berat tentang Fan Zhuo. Semua ini mendorong Fan Jin untuk menganggap Ning Xin sebagai bakal adik iparnya.

Tetapi kini, setelah mendengar kata-kata pemuda itu, Fan Jin berasa amat kecewa. Dia seolah-olah telah disambar petir yang muncul secara tiba-tiba.

Walaupun dia tahu yang Ning Xin ialah mentor Yin Yan, Fan Jin masih tidak percaya gadis yang dianggap sebagai adik itu, mahu membunuhnya.

"Mungkinkah ada salah faham di sebalik semua ini?" tanya Fan Jin sambil mengetap giginya.

Jun Wu Xie memandang Fan Jin yang sedang berada dalam konflik itu dan tidak memberikan sebarang jawapan. Memang begitulah sikap Fan Jin. Berterus terang dan murah hati, penegak keadilan. Kalau tidak, dia tidak akan tegas mempertahankan Jun Wu Xie sedangkan orang lain menentangnya.

Orang seperti ini biasanya mempunyai hati yang bersih dan suci serta merupakan orang yang adil. Kalau orang ini hidup di zaman yang aman, dia pasti menjadi hero yang dihormati serta dikagumi. Tetapi orang yang sama juga akan memiliki kelemahan yang besar. Dia terlalu percayakan orang lain. Hanya perlu berbuat baik sedikit sahaja dan orang lain boleh mendapatkan kepercayaannya. Dia boleh dianggap naif, tetapi sejujurnya, dia sebenarnya bodoh.

Jika semua ini dilakukan terhadap Jun Wu Xie, dia pasti akan membunuh sahaja musuhnya. Tetapi Jun Wu Xie bukanlah sasaran sebenar dan dia merasakan Fan Jin yang sepatutnya membuat keputusan tentang siapa yang harus hidup, siapa yang perlu mati.

Namun kalau Yin Yan dan Ning Xin tidak serik-serik dan menimbulkan kemarahan Jun Wu Xie, dia sendiri tidak akan teragak-agak untuk membalas perbuatan mereka.

"Jun Xie, boleh tak saya buat satu permintaan?" Fan Jin tiba-tiba bertanya pada Jun Xie.

"Cakaplah," kata Jun Wu Xie tanpa sebarang emosi.

"Sebelum fakta dalam hal ini dijelaskan, lepaskan Ning Xin. Sekali ini sahaja," kata Fan Jin sambil mengetap giginya. Selepas menyaksikan kemahiran dan kekuatan Qiao Chu serta rakan-rakannya yang lain, Fan Jin sedar yang Jun Xie tidak perlu banyak berusaha untuk membunuh Ning Xin. Kalau apa yang Jun Xie lalui di Akademi Zephyr itu ialah disebabkan hasutan Ning Xin di sebalik tabir, Jun Xie memang mempunyai alasan kukuh untuk membunuhnya.

Tapi…..

Sewaktu dia memikirkan kembali imej gadis kecil yang sentiasa terkedek-kedek mengekorinya dan selalu mendongak untuk memanggilnya "Abang Jin", hati Fan Jin menjadi perit memikirkan Ning Xin akan mati. Dia terpaksa mengeraskan hatinya untuk menghadapi hakikat dan berharap sepenuh hatinya yang semua ini hanyalah salah faham.

"Sekali sahaja," kata Jun Wu Xie sambil memandang Fan Jin. Agak mengejutkan juga dia bersetuju dengan permintaan Fan Jin.

Kali pertama dia bersetuju dengan permintaan yang hampir sama ialah ketika Mo Qian Yuan melakukannya. Ketika itu, Jun Wu Xie mahu mengajar Mo Qian Yuan. Bagi Fan Jin pula, ini ialah demi membalas budi Fan Jin yang tetap teguh melindungi dia selama ini.

Mungkin Jun Wu Xie kurang faham tentang hubungan sesama manusia. Tetapi satu perkara yang dia tahu, sesiapa yang melayannya dengan baik akan menerima lebih banyak kebaikan daripadanya.

Hakikatnya, dia telah datang ke Akademi Zephyr dengan objektif yang khusus. Selepas Hua Yao dan yang lain berjaya mencari peta itu dan mendapatkannya, mereka tidak akan terus berada di akademi tersebut. Dia tidak perlu lagi ambil peduli tentang pertelingkahan di antara Keluarga Fan dan Keluarga Ning. Jun Wu Xie masuk campur sekarang ini kerana rancangan jahat ini telah melibatkan dia dan juga kerana adik-beradik Fan itu begitu baik dengannya.

"Terima kasih," kata Fan Jin sambil mengeluh lega. Hanya selepas memasuki Hutan Roh Pertempuran barulah dia sedar yang Jun Xie ini bukanlah selemah yang dia sangkakan. Jun Xie mungkin bersikap dingin dan suka menyendiri, tetapi dia bukanlah seseorang yang boleh diperkotak-katikkan.

Kalau dia diam sahaja, kamu tak akan tahu. Tetapi sebarang balasan darinya akan membuatkan kamu tidak melupakannya seumur hidup!