"Kamu semua siapa?" Dalam keadaan seperti ini, jika Fan Jin masih tidak menyedari niat kumpulan pemuda yang berada di hadapan mereka ini, sia-sia saja dia hidup selama hampir dua puluh tahun.
Tapi dia tidak pernah menyangka yang ada sesiapa yang mahu membunuhnya!
"Kami ni orang-orang yang mahu membunuh kamu," kata ketua pemuda itu sambil ketawa dingin. Matanya memerhatikan Jun Xie dan pemuda-pemuda lain di sekeliling Fan Jin.
"Pelajar kampus cawangan macam kamu ni, kalau tak mahu mati di sini hari ini, pergi sekarang. Kalau ada yang berani menceritakan apa yang berlaku, aku akan buru kamu!"
Qiao Chu dan rakan-rakannya saling berpandangan sambil tersenyum ganas. Qiao Chu bertanya pada Jun Xie, "Mereka ni?"
Mata Jun Wu Xie mengecil, "Bunuh."
"Faham!"
Qiao Chu mengorak langkah pertama manakala Hua Yao, Fei Yan dan Rong Ruo mengikuti jejak langkahnya.
Qiao Chu mematah-matahkan ruas jarinya dengan kuat dan meregangkan lehernya untuk merehatkan otot-ototnya. Dia merenung kumpulan pemuda tersebut lalu berkata, "Maaflah. Tak mahu pergi dari sini dan tak mahu mati hari ini. Tapi kamu boleh memilih untuk menyerahkan nyawa kamu dan kami akan pertimbangkan untuk tidak menghancurkan badan kamu."
Ketua pemuda itu tidak menyangka sampah dari kampus cawangan begitu sombong dan meluahkan kata-kata yang begitu menghina. Dia terkejut seketika sebelum ketawa dengan kuat.
"Kamu hanyalah sampah! Jangan terlalu yakin!"
Pergerakan sepantas kilat sebelum ini berlaku terlalu pantas dan tidak seorang pun dalam kalangan pemuda ini menyedari dari mana arah datangnya pergerakan tersebut. Mereka sudah tersalah faham dan menyangkakan Fan Jin dapat melepaskan diri kerana dia yang memotong jari-jari pemuda yang memegangnya tadi. Fan Jin tidak dianggap sebagai lawan yang lemah, tetapi tanggapan tidak berasas serta salah faham mereka ini menyebabkan mereka sudah meletakkan sebelah kaki ke dalam kubur sendiri.
"Jun Xie, kita biarkan seorang sahaja hidup?" tanya Qiao Chu sambil menarik-narik telinganya. Dia tidak berminat untuk membazirkan masa lagi dengan sekumpulan pemuda yang bakal kehilangan nyawa.
"Seorang," balas Jun Wu Xie.
"Tak jadi masalah!" Qiao Chu tersenyum berseri-seri ke arah Jun Xie dan sebelum sempat kumpulan pemuda tersebut bertindak, satu susuk tubuh sudah pun meluru ke arah mereka, diikuti rapat oleh Hua Yao dan dua orang lagi rakannya. Kelajuan mereka yang sepantas kilat langsung tidak membolehkan kumpulan pemuda tersebut melihat mereka dengan jelas.
Para pemuda yang berlagak kuat, dengan mata mereka dipenuhi cemuhan sebentar tadi, tiba-tiba mendapati keempat-empat susuk tubuh itu hilang dari pandangan. Kejian dan ego kumpulan pemuda ini yang teramat tinggi, hancur berkecai sebelum mereka sedar apa yang sedang berlaku. Fei Yan tiba-tiba berdiri di sebelah ketua kumpulan pemuda itu. Tumbukannya yang padu terkena tepat pada tulang belakang ketua kumpulan pemuda tersebut!
Bunyi retakan yang teramat kuat memecahkan kesunyian!
Ketua pemuda itu melepaskan raungan yang membingitkan telinga sebaik tulang belakangnya patah dua akibat serangan tersebut. Badannya rebah ke tanah dan darah yang banyak terpancut keluar dari mulutnya.
"Kami akan biarkan kamu hidup." Fei Yan tersenyum manis pada ketua kumpulan pemuda itu. Dia kemudiannya pantas berpaling dan menendang kuat seorang lagi pemuda yang telah meluru ke arahnya untuk menyelamatkan ketua tersebut.
Bunyi tulang patah jelas kedengaran sekali lagi. Seolah-olah sedang menari dengan elegan sambil diiringi semburan dan percikan darah, keempat-empat susuk tubuh itu bergerak dalam kalangan para pemuda tersebut. Seketika kemudian, hanya separuh daripada mereka yang masih kekal berdiri!
Tidak ada seorang pun dalam kalangan pemuda ini yang memikirkan bahawa empat orang pelajar dari kampus cawangan yang langsung mereka tidak pedulikan itu, memiliki kekuatan dan kemahiran yang kuat. Di bawah serangan Qiao Chu dan rakan-rakannya, kesemua pemuda tersebut langsung tidak mampu melawan!
Pemuda pertama yang tulang belakangnya telah dipatahkan oleh Fei Yan tadi, sedang terbaring di atas tanah. Dia terkejut sehingga tidak mampu berkata apa-apa melihatkan pertumpahan darah yang mengerikan di depan matanya itu. Seorang demi seorang rakan-rakannya dibunuh dengan mudah sehingga dia menyangkakan sedang menyaksikan sabit dewa maut menyerang dan mengambil nyawa mereka pada ketika itu!
Keempat-empat pelajar dari kampus cawangan ini raksasa jenis apa!?
Macam mana mereka boleh menjadi sebegini kuat?
Kumpulan pemuda ini begitu yakin bahawa di dalam kumpulan Jun Xie yang dianggap "kumpulan paling lemah" ini, hanya Fan Jin yang akan menjadi lawan mereka. Tetapi realiti berlumuran darah yang berlaku sekarang ini ibarat tamparan kuat ke muka mereka. Ini membuktikan betapa silapnya tanggapan mereka!