Ekspresi wajah Mo Xuan Fei amat hodoh sewaktu dia cuba mengawal emosinya. Bai Yun Xian mengerutkan keningnya sedikit sambil menghulurkan sebuah botol porselin kecil.
"Ini cukup, bukan?" Dia mengangkat dagunya dan bertanya dengan bangga.
Orang tua itu mengambil botol yang diberikan, mengangkat keningnya dan menjeling Bai Yun Xian sekali imbas.
Semua pengunjung memanjangkan leher untuk melihat apa yang diberi oleh anak murid Pemerintah Kumpulan Qing Yun. Pasti barang yang hebat!
Orang tua itu membuka botol dan menghidunya.
Sebaik orang tua itu membuka botol, satu haruman yang menyegarkan merebak ke kawasan sekeliling dan pengunjung di situ menjadi terpesona.
"Ini…?" tanya orang tua itu dengan suara serak.
Bai Yun Xian menyeringai dan menjawab, "Ini Pil Qing Yun yang terkenal."
Sebaik mendengar kata-kata ini, semua orang terkejut.
Pil Qing Yun!
Inilah ubat yang dikatakan telah dihasilkan sendiri oleh Pemerintah Kumpulan Qing Yun. Pil ini terkenal sebagai pil penyelamat nyawa. Orang yang sedang nazak sekalipun dapat memanjangkan umurnya dengan memakan sebiji pil ini setiap hari.
Cara pembuatan pil ini merupakan satu rahsia yang dikawal rapi dan hanya Pemerintah kumpulan itu tahu bagaimana untuk menghasilkannya. Demi pil ini, ramai raja dan pemerintah kerajaan mencuba pelbagai cara untuk mendapatkannya. Kali ini Bai Yun Xian telah datang ke Kerajaan Qi semata-mata untuk menghantar pil berharga ini kepada Maharaja.
Pil yang baru diserahkannya tadi telah diberikan oleh Tok Gurunya untuk kegunaan peribadi Bai Yun Xian.
Nama pil ini terkenal di pelbagai negara dan merupakan sesuatu yang ramai orang mahukan tetapi mereka tidak mampu mendapatkannya.
"Wah, dia benar-benar anak murid Pemerintah Kumpulan Qing Yun. Dia boleh keluarkan Pil Qing Yun begitu saja! Orang tua ni beruntung betul." Dalam diam ramai yang iri hati. Mereka terlopong melihat botol porselin kecil itu dan membincangkan kejadian ini dengan nada perlahan.
Menukarkan Pil Qing Yun dengan barang-barang ini membuatkan Bai Yun Xian mengalami kerugian yang besar.
"Kamu tahu? Pil ini dibuat sendiri oleh Pemerintah Kumpulan Qing Yun. Kalau Bai Yun Xian menghabiskan pil ini sekalipun, dia hanya perlu meminta lagi kepada Tok Gurunya. Jangan samakan dia dengan orang biasa seperti kamu. Pil ini mungkin tidak terlalu berharga bagi dia." kata salah seorang pengunjung di situ sambil memandang pasangan secocok di hadapannya dengan perasaan cemburu.
Pengaruh Putera Kedua meningkat setelah dapat menjalinkan hubungan dengan Bai Yun Xian.
Bai Yun Xian sememangnya berada di tahap berbeza jika dibandingkan dengan Jun Wu Xie.
Walaupun kata-kata ini diucapkan secara berbisik-bisik, segalanya dapat masih dapat didengari. Bai Yun Xian setuju dalam diam sambil tersenyum kepada Mo Xuan Fei.
Namun selepas menghidu bau Pil Qing Yun, orang tua itu menutup botol itu semula dan mencampakkannya kembali pada Bai Yun Xian.
Wajah Bai Yun Xian yang tersenyum bertukar menjadi kaku.
"Saya tak perlukan pil ini. Tak mahu tukar. Tak mahu tukar barang." katanya sambil duduk santai. Dia menarik nafas panjang dan menghembuskan asap dari paipnya.
Pada ketika itu, mata semua orang hampir terjojol keluar.
Orang tua ini sudah nyanyuk?
Itu Pil Qing Yun!
Senyuman Bai Yun Xian mula hilang dan perasaan tidak puas hati kelihatan di wajahnya. Inilah kali pertama seseorang menolak ubat yang dihasilkan sendiri oleh Tok Gurunya!
"Tuan, ini Pil Qing Yun. Q-I-N-G Y-U-N!! Kamu pasti kamu tak mahukannya?" Bai Yun Xian menjelaskan dengan jengkel.
"Tidak, tidak, tidak! Kalau kamu tak ada ubat jenis lain, jangan ganggu pelanggan saya." kata orang tua itu dengan nada tidak sabar.
Ini satu tamparan hebat kepada pasangan itu, mereka berdiri di situ dengan kekok. Ekspresi wajah mereka amat marah.
Mereka juga mula mengesyaki yang orang tua ini tidak mahu berniaga. Berani dia menghina dan menolak Pil Qing Yun?
"Kalau kamu tak mahu tukar barang, kami pun tak mahu juga! Kamu fikir barang-barang kamu berharga sangatkah?" balas Mo Xuan Fei dengan nada dingin.
Orang tua itu menjeling ke arah Mo Xuan Fei, menyeringai dan kemudian tidak lagi mempedulikannya.