"Tuan Guru banyak beri perhatian pada saya. Nanti saya….saya akan merayu pada dia untuk benarkan kamu diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh. Apa kata kamu lepaskan saya sekarang?" Li Zi Mu menggeletar ketakutan.
Sebelah kening Jun Wu Xie diangkat tinggi.
"Kamu nak merayu pada dia?"
Apabila mendengarkan kata-kata Jun Wu Xie, Li Zi Mu memikirkan yang masih ada ruang untuk berunding. Dia tergesa-gesa meneruskan, "Saya akan merayu pada dia! Tuan Guru paling sayangkan saya! Kalau saya minta, mesti dia setuju!"
Jun Wu Xie tak mempedulikan Li Zi Mu. Dia berpaling memandang Qiao Chu, "Seru Beruang Yin Yang."
Qiao Chu terkejut. Beruang Yin Yang miliknya itu belum pulih sepenuhnya dari kecederaannya dan masih amat lemah. Dia tidak tahu apa yang Jun Xie mahu lakukan, tetapi dia menurut sahaja lalu menyeru Beruang Yin Yang itu.
Sewaktu Beruang Yin Yang itu muncul, keadaannya kelihatan kurang bersemangat. Badannya yang besar disandarkan pada pokok-pokok di sebelahnya, menyebabkan pokok-pokok tersebut penyek dihempap.
"Grr….." Beruang menyedari ada orang menghampirinya lalu mengangkat kepalanya dengan lemah. Sebaik terlihat orang itu ialah pemuda kecil molek yang suka membelai perutnya, beruang itu memejamkan mata dan kembali tidur.
Jun Wu Xie mengangkat tangannya dan satu sedikit cahaya menyelubungi tapak tangannya. Dia meletakkan tangannya di atas kepala Beruang Yin Yang itu dengan lembut. Cahaya itu menyelubungi seluruh badan badan beruang itu yang besar.
Qiao Chu memandang Jun Xie dengan perasaan ingin tahu kerana dia tidak pasti apa yang sedang berlaku. Tetapi mata Li Zi Mu terbeliak. Dia kelihatan tidak percaya dengan apa yang berlaku di depan matanya ini.
Li Zi Mu sudah banyak kali menyaksikan situasi ini sebelum ini. Setiap kali Gu Li Sheng mengajarnya teknik Pemulihan Roh, Tuan Guru itu pasti melakukan demonstrasi menggunakan roh berkontrak. Li Zi Mu ingat segala-galanya selepas menyaksikan penggunaan teknik itu berulang-kali. Apa yang dilihatnya sekarang memang sama!
"Teknik Pemulihan Roh….. Pemulihan Roh….. Kamu tahu tentang teknik Pemulihan Roh….. Macam….. Macam mana ini boleh berlaku….." Wajah Li Zi Mu semakin pucat. Mungkin dia tidak tahu cara untuk melakukan teknik Pemulihan Roh, tetapi dia dapat mengenal pasti teknik tersebut.
Jun Xie ini cuma pelajar yang telah dihalau keluar dari fakulti Pemulih Roh pada hari pertama lagi! Dia hanya berada di fakulti itu selama beberapa jam. Macam mana dia boleh belajar teknik Pemulihan Roh?
Gu Li Sheng pernah berkata sebelum ini. Para pelajar yang baru menggunakan teknik Pemulihan Roh selama beberapa tahun hanya boleh merawat roh berkontrak gred ketiga dan ke bawah. Kalau roh berkontrak itu berada pada gred yang lebih tinggi daripada itu, kuasa rohani di dalam badan pelajar-pelajar ini tidak akan dapat menahan jumlah penggunaan tenaga yang diperlukan untuk merawat roh-roh berkontrak tersebut.
Li Zi Mu tidak tahu apa gred sebenar beruang berwarna hitam dan putih di hadapannya ini. Tetapi sebaik Beruang Yin Yang itu muncul, roh berkontrak di dalam badan Li Zi Mu meraung dan mengerekot ketakutan.
Kalau Beruang Yin Yang itu membuatkan roh berkontraknya yang berada di gred lima itu menggigil ketakutan, pasti Beruang Yin Yang itu berada pada gred yang lebih tinggi.
Jun Xie pula mampu memulihkan roh berkontrak di gred yang lebih tinggi dari gred lima tanpa sebarang kesukaran. Tahap kemahiran seperti itu melangkaui apa yang sampah tak berguna seperti Li Zi Mu mampu impikan. Malah pelajar terbaik di fakulti Pemulihan Roh juga tidak tercapai tahap ini!
"Mustahil….. Ini mustahil….. Macam mana kamu tahu tentang teknik Pemulihan Roh….. Tak mungkin….." Wajah Li Zi Mu yang sudah sememangnya pucat, menjadi kehijauan akibat terkejut. Perlahan-lahan hatinya diselubungi perasaan yang dia akan ditimpa bencana.
Kalau Jun Xie benar-benar tahu tentang teknik Pemulihan Roh, segala khabar angin yang dia sebarkan tentang Jun Xie sebelum ini hanya akan membuktikan Li Zi Mu ini memang dungu!
Beruang Yin Yang itu perlahan-lahan menunjukkan tanda-tanda sudah semakin pulih dan kuat. Beruang itu mula duduk dengan tegap. Jun Xie menarik tangannya dan memandang Li Zi Mu yang kelihatan pucat lesi. Dia tersenyum sinis dan bertanya dengan perlahan, "Kamu fikir saya perlukan kamu?"