Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 441 - Pembunuh yang Lazat (3)

Chapter 441 - Pembunuh yang Lazat (3)

Tengah hari itu, Fan Zhuo diserang penyakitnya sekali lagi. Kali ini keadaannya begitu teruk sehinggakan Ah Jing terduduk di atas lantai kerana terkejut. Sebaik Ah Jing mahu bergegas keluar dan mencari tabib bagi menyelamatkan Fan Zhuo, dengan ajaibnya dia tiba-tiba pulih. Fan Zhuo menenangkan Ah Jing dan hal itu berakhir di situ sahaja.

Keesokan harinya, selepas bahan makanan harian mereka dihantar ke dapur, Jun Wu Xie meminta Fan Jin mengambil beberapa sampel daripada barang-barang yang dihantar. Jun Wu Xie memeriksanya dengan teliti, tetapi tidak menemui apa-apa yang mencurigakan.

"Penjahat ini begitu berhati-hati. Makanan yang kita makan setiap hari tidak diusik." Jun Wu Xie merenung lobak putih yang dipegangnya kemudian mencampakkannya pada Fan Jin.

Fan Jin menangkap lobak putih itu dan membelek-beleknya dengan teliti sebelum menggigit sebahagian besar lobak putih tersebut dan mengunyahnya.

"Nampaknya penjahat itu mahu penyakit Fan Zhuo berulang sekali-sekala sahaja. Dia mahu membiarkan seksaan berpanjangan ini membebankan dan memusnahkan daya kehidupan Fan Zhuo sedikit demi sedikit sehinggalah lenyap dengan sendirinya. Ini semua sebahagian daripada rancangan jahatnya." Fan Jin mengecilkan matanya dan merenung lobak putih itu, membayangkannya sebagai penjahat tersebut lalu menggigit dan memakannya lagi.

"Kita hanya boleh menantikan penjahat itu mengulangi perbuatannya," keluh Fan Zhuo dengan pasrah.

Sewaktu mereka bertiga sedang berbual-bual, kedengaran bunyi kecoh di luar kawasan hutan buluh itu.

"Jun Xie! Penyangak keji! Selepas kau buat perbuatan terkutuk tu, kau bersembunyi di sini? Keluar dari Akademi Zephyr sekarang!"

"Jun Xie! Fan Jin dan Fan Zhuo pun tak boleh lindungi kau. Jangan sesekali fikir yang semuanya akan didiamkan begitu saja. Semua perbuatan jahat dan tak senonoh kau tu sudah terdedah dan semua orang di akademi dah tahu tentangnya!"

Jeritan dan kejian yang tak putus-putus itu menyebabkan raut wajah Fan Jin serta Fan Zhuo kelihatan marah.

Ketiga-tiga orang di dalam bilik itu berjalan keluar.

Sewaktu mereka sampai di halaman, mereka terlihat beberapa orang pelajar Akademi Zephyr berdiri di situ sambil terjerit-jerit.

Fan Zhuo merenung marah terhadap para pemuda yang menceroboh halamannya itu.

Hutan buluh ini ialah kawasan yang diasingkan khas oleh Fan Qi untuk pemulihan Fan Zhuo dan sesiapa pun tidak dibenarkan masuk. Para guru sekalipun tidak mendapat kebenaran, apatah lagi pelajar-pelajar akademi. Anehnya, para pelajar ini tiba-tiba boleh muncul dan mula menjerit-jerit di dalam hutan buluh itu untuk mengutuk Jun Xie!

Pintu utama masuk ke halaman itu terbuka luas dan nampaknya para pelajar ini menemui jalan masuk tanpa dihalang.

"Ah Jing!" Fan Jin memerhatikan situasi ini dan tahu bagaimana hal ini boleh terjadi.

Kalau seseorang tidak membuka pintu dari dalam, pembuat kacau ini tak akan dapat masuk!

Ah Jing berlari keluar dari dapur dan wajahnya kelihatan panik.

"Kenapa semua orang ini ada di sini? Kamu dah lupa arahan tegas Guru Besar?" Fan Jin merenung Ah Jing dengan marah. Ah Jing tidak ada membuat perangai kebelakangan ini. Selain wajahnya yang sentiasa muram, dia tidak melakukan apa-apa yang bertentangan dengan kehendak Fan Zhuo. Tetapi kejadian hari ini terlalu melampau!

Raut wajah Ah Jing kelihatan terkejut. Dia memandang para pelajar yang berada di halaman, kemudiannya memandang pintu masuk yang terbuka luas sebelum berkata, "Tuan Muda Sulung sudah salah faham. Saya cuma menyapu laluan berbatu di luar sewaktu saya teringat ada meninggalkan sesuatu di atas api dapur. Saya bergegas ke dapur dan terlupa menutup pintu. Saya tak tahu macam mana orang-orang ini dapat masuk."

Selepas berkata begitu, Ah Jing berjalan ke arah para pelajar tersebut dan menghalau mereka keluar. Para pelajar itu masih lagi terjerit-jerit dan menyumpah-nyumpah sewaktu mereka keluar. Mereka sengaja menyebut-nyebut segala 'perbuatan jahat' Jun Xie.

Jun Wu Xie memerhatikan sandiwara ini dengan tidak berperasaan. Dia menyedari perasaan bersalah yang terlintas di mata Ah Jing sewaktu menjelaskan dirinya pada Fan Jin tadi.

Nampaknya orang ini benar-benar bencikan dia.

"Jun Xie, kalau kau benar-benar fikir kau tak bersalah, kau tak akan bersembunyi di sini! Jadi anak jantan dan keluar ke mari!" Sewaktu mereka ditolak keluar, para pelajar ini masih tidak berputus-asa dan tetap menjerit-jerit.

Raut wajah Fan Jin kelihatan amat marah pada ketika itu.