Sewaktu Fan Jin kembali ke hutan buluh, Fan Zhuo masih lagi nyenyak tidur. Lama Fan Jin duduk di luar pondok di halaman itu, sehinggalah Jun Xie keluar dari biliknya. Dia cepat-cepat memberitahu Jun Xie yang Fan Qi sudah bersetuju untuk membenarkan Jun Xie merawat Fan Zhuo.
Secara kebetulan, kata-kata ini turut didengari oleh Ah Jing yang juga baru pulang dari akademi. Pada ketika itu Ah Jing berasa sangat kecewa.
Setelah mengambil alih rawatan Fan Zhuo secara rasmi, Jun Wu Xie tidak lagi berdiam diri tentang rutin harian Fan Zhuo. Perkara pertama yang diubahnya ialah makanan harian Fan Zhuo. Jun Wu Xie menukar hidangan biasa Fan Zhuo kepada hidangan berubat. Selepas itu, dia masuk ke bilik Fan Zhuo. Jun Wu Xie mengumpulkan segala ubat-ubatan dan eliksir yang ada di situ dan membuang kesemuanya.
Tindakan Jun Wu Xie yang berani dan melampau itu membuatkan Fan Jin tidak senang duduk. Dalam diam-diam, dia mengumpulkan segala ubat-ubatan serta eliksir yang amat mahal dan jarang ditemui itu. Fan Jin menyimpannya sebagai persediaan kalau-kalau berlaku hal yang tidak dijangka.
Badan Fan Zhuo tak mampu menanggung sebarang stimulasi yang mengakibatkan trauma, sama ada dari segi kaedah rawatan yang digunakan untuk penyakitnya mahupun tonik yang diberikan untuk menguatkan badannya. Tambahan pula, dalam keadaan badannya yang amat lemah ketika itu, sebarang tonik di dalam badannya mungkin menjadi beban yang buruk pada Fan Zhuo.
Satu perkara lagi yang menganggu fikiran Jun Wu Xie tentang keadaan Fan Zhuo ialah situasi sewaktu penyakitnya berulang kali ini.
Berdasarkan pengalaman lalu, Jun Wu Xie merasakan apa yang berlaku bukanlah sekadar disebabkan penyakit Fan Zhuo muncul kembali. Mengikut pemerhatiannya pada keadaan badan Fan Zhuo dan kaedah rawatan yang diterimanya, memanglah Fan Zhuo tidak akan sembuh. Tetapi Jun Wu Xie juga percaya yang rawatan itu cukup untuk membolehkan Fan Zhuo mengekalkan keadaan kesihatannya untuk tempoh masa yang panjang. Tetapi apabila penyakit Fan Zhuo berbalik dengan secara tiba-tiba dan agak ganas, Jun Wu Xie merasakan ada sesuatu di sebaliknya.
Jun Wu Xie sudah memeriksa hidangan harian Fan Zhuo serta menyemak ubat-ubatan, eliksir dan tonik yang Fan Zhuo ambil setiap hari, namun dia tidak menemui apa-apa yang mungkin menimbulkan masalah.
Demi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam, Jun Wu Xie memanggil Ah Jing. Fan Jin mengekorinya dan dengan mata yang membara, dia memberi amaran kepada Ah Jing untuk memberikan kerjasama.
Ah Jing tidak ada pilihan selain memberitahu secara terperinci apa yang Fan Zhuo makan baru-baru ini. Malah dia membawa Jun Wu Xie dan Fan Jin masuk ke dapur untuk memeriksa makanan yang disimpan di situ. Apa yang dihidangkan pada Fan Zhuo sepanjang dua hari lalu tak ada bezanya daripada biasa.
Jun Wu Xie bertanya berapa tentang kekerapan penyakit Fan Zhuo berbalik dan jawapan yang diterimanya tidak menunjukkan ada apa-apa yang tak kena.
Kekerapan penyakit Fan Zhuo berulang tidak tetap. Kadangkala hal ini berlaku sebulan sekali, kadangkala seminggu sekali.
Memandangkan semua petunjuk itu membawanya ke jalan yang buntu, Jun Wu Xie tidak bertanya apa-apa lagi. Dia mula menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk memulihkan Fan Zhuo sehingga kembali sihat.
Bagi menangani masalah Fan Zhuo, Jun Wu Xie bercadang mahu menggunakan kaedah dua serampang. Makanan berubat akan digunakan untuk mengembalikan kesihatannya secara dalaman dan bagi kesihatan luaran pula, Jun Wu Xie akan menggunakan mandian berubat serta sesi akupunktur harian untuk meningkatkan kesan ubat-ubatan tersebut.
Fan Zhuo pada mulanya agak bingung dengan aturan Fan Jin dan agak sukar untuk dia menerima hakikat yang Jun Xie akan merawat penyakitnya. Namun, setelah mendengar penjelasan Fan Jin, Fan Zhuo memahami rasional di sebaliknya. Dia berterima kasih dengan Jun Xie kerana menyelamatkan nyawanya dan amat bekerjasama dalam menerima aturan yang Jun Xie rancangkan untuknya.
Masa terus beredar dan tempoh lima hari berlalu dengan pantas. Dalam masa lima hari ini, Fan Zhuo merasakan dirinya berada dalam keadaan paling selesa. Kesakitan yang biasa dialaminya beransur-ansur hilang dan mukanya juga tidak terlalu pucat. Mungkin dia masih belum lagi nampak sihat seperti remaja lain yang normal, tetapi Fan Zhuo kelihatan lebih bertenaga berbanding sebelum ini.
Ah Jing selalu mendesak Fan Zhuo untuk berhati-hati tetapi Fan Zhuo langsung tidak mempedulikannya.
Sewaktu terlihat Fan Zhuo dan Jun Xie semakin hari semakin rapat, Ah Jing mengepal penumbuknya. Dia menghantar roh berkontraknya ke luar, bersama-sama sekeping nota kecil.
Di satu kawasan di dalam akademi, Yin Yan sedang berdiri di tepi tingkap biliknya di dalam kawasan asrama. Dia membaca satu nota kecil yang baru diterimanya. Bibirnya menguntum senyuman menggerunkan dan dia pantas melangkah keluar dari bangunan asrama itu. Secara diam-diam, dia mengumpulkan beberapa orang pelajar Akademi Zephyr di satu sudut yang gelap, lalu berbisik-bisik dengan mereka.
Ada ribut yang bakal melanda Akademi Zephyr. Hutan buluh yang tenang dan tenteram ini bakal menjadi huru-hara.