Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 414 - Fitnah (6)

Chapter 414 - Fitnah (6)

Semua di situ berpaling ke arah suara tersebut dan terlihat Yin Yan tersenyum memandang Fan Jin dan Jun Xie yang baru saja mahu pergi.

Sebaik terlihat lambang jed putih yang tergantung di dada Yin Yan, semua orang tahu dari fakulti mana dia datang.

Seorang pelajar fakulti Pemulih Roh telah muncul!

Sebelum ini Fan Jin telah mengatakan pasti ada salah faham yang berlaku. Kedudukan uniknya serta reputasinya yang dihormati telah membuatkan ramai pelajar senior yang mula meragui sama ada situasi ini berlaku sama seperti yang Li Zi Mu katakan. Tetapi kini, seorang pelajar dari fakulti Pemulih Roh, pusat bermulanya kekecohan ini, telah muncul secara tiba-tiba. Dia juga mengecam Jun Xie kerana tidak memohon maaf.

Apa maksudnya tu?

Adakah ini bermaksud semua pelajar fakulti Pemulih Roh mengetahui kebenaran di sebalik apa yang telah berlaku dan mereka mempunyai sebab untuk menyusahkan Jun Xie?

Keadaan yang tadinya telah diredakan oleh Fan Jin tiba-tiba berubah genting sekali lagi dengan kemunculan Yin Yan.

Fan Jin merenung Yin Yan dengan wajah yang berkerut.

Jun Wu Xie berhenti berjalan dan merenung rakan sebiliknya ini yang sedang menuang minyak ke dalam api yang sudah berhenti membara.

Yin Yan dan Jun Wu Xie hanya telah bertemu sebanyak dua kali sahaja. Namun itu sudah cukup untuk Jun Wu Xie menyedari yang Yin Yan amat membencinya.

Yin Yan perlahan-lahan berjalan menuju pasangan itu. Apabila terlihat semua orang menumpukan perhatian padanya selepas dia bersuara tadi, dia ketawa girang di dalam hati.

Persembahannya baru saja bermula.

"Sikap Senior Fan yang mahu melindungi Jun Xie ini memang menunjukkan yang Senior Fan mengambil berat tentang pelajar junior di bawah jagaan kamu. Tapi kalau kamu mahu semua orang melupakan insiden ini hanya kerana kamu, tak ramai yang akan dapat diyakinkan. Apabila satu kesalahan itu dilakukan, hukuman perlu dijalankan. Cubaan mengambil tempat Li Zi Mu untuk masuk ke fakulti Pemulih Roh itu jelas menunjukkan Jun Xie bersalah. Kalau kami tak hukum dia sekalipun, sekurang-kurangnya dia masih perlu meminta maaf. Kalau tidak, bukankah ini akan membuatkan orang lain memikirkan yang Akademi Zephyr ini tidak tahu membezakan perkara yang salah dan betul? Hanya kerana seseorang pelajar itu diindungi oleh Senior Fan, dia bebas melakukan kesalahan tanpa berasa takut? Mangsanya pula perlu menelan saja penghinaan ini dalam diam?"

Suara Yin Yan tidak terlalu cepat atau perlahan dan setiap patah perkataan menusuk ke dalam hati setiap orang di situ.

Kata-kata Yin Yan ini memberi gambaran bahawa Fan Jin sedang menggunakan kemahsyuran serta kedudukannya di dalam Akademi Zephyr untuk memadamkan kesalahan Jun Xie dan menggunakan pengaruhnya untuk membuatkan Li Zi Mu tunduk.

Ayat-ayat berbisa ini menginjak-injak Jun Wu Xie dan dalam masa yang sama turut menyasarkan Fan Jin.

Seperti yang dijangka, selepas mendengar kata-kata Yin Yan itu, dewan makan tersebut kecoh dengan bisiskan-bisikan yang sedang meneka-neka dan berdebat.

Wajah Fan Jin serta-merta kelihatan marah. Mungkin dia ialah anak angkat Guru Besar, namun dia tidak pernah bergantung pada identitinya itu untuk mencapai apa-apa yang dia usahakan. Malah, disebabkan kedudukan uniknya inilah dia tidak boleh kurang berusaha berbanding orang lain dan perlu lebih menonjol untuk mendapat pengiktirafan.

Tetapi kata-kata Yin Yan ini cuba memusnahkan usaha yang telah Fan Jin lakukan selama bertahun-tahun.

"Yin Yan, kamu tahu tak apa yang kamu cakapkan ni? Ada orang yang mempunyai bukti Jun Xie sengaja melakukan semua itu? Dunia ini penuh dengan salah faham, jadi macam mana kamu begitu pasti ini memangnya sesuatu yang sengaja?" Fan Jin bertanya sambil mengecilkan matanya. Dia menahan kemarahan yang meluap-luap di dalam dirinya.

"Oh? Kalau diikutkan dari kata-kata Senior Fan ni, adakah maksudnya Senior Fan tahu hal yang sebenar? Saya betul-betul nak dengar. Kalau saya dah salah faham terhadap Jun Xie, saya akan minta maaf pada dia. Kalau tidak, saya mohon Senior Fan janganlah terlalu bersifat pelindung kerana belajar daripada kesilapan itu bagus. Kalau nanti di masa hadapan Jun Xie ini menimbulkan masalah lagi, bukankah dia akan berfikir yang Senior Fan akan menyokongnya, maka dia tak takut akan kesannya?" kata Yin Yan sambil tersenyum. Apabila dia melihat Fan Jin berkerut dalam kemarahan, Yin Yan berasa puas hati.

Kening Fan Jin berkerut ketat. Kalau dia tahu hal yang sebenar, dia pasti telah mendedahkannya sejak awal lagi dan tidak membenarkan para pemuda ini memfitnah Jun Xie seperti ini.

Tetapi dia baru saja tahu tentang hal ini dan tidak sempat lagi menyiasat apa yang sebenarnya telah berlaku.

Namun begitu, Yin Yan terus mendesak. Dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan beralah.