Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 402 - Pemulih Roh (2)

Chapter 402 - Pemulih Roh (2)

Jun Wu Xie tidak sedar yang seekor ular berbisa telah menjadikan dia sebagai sasaran. Sebaliknya, matanya sedang memerhatikan pemandangan di dalam fakulti Pemulih Roh dan menyimpan semuanya di dalam ingatannya.

Dia bukannya datang ke Akademi Zephyr dengan niat untuk mempelajari apa-apa daripada mereka. Dia juga tidak berminat untuk bergaduh tentang apa-apa sekalipun dengan orang-orang di sini. Kalaulah dia tidak merasakan yang teknik Pemulih Roh itu berguna, mungkin dia sudah memilih untuk membazirkan masa di fakulti Roh Binatang sambil menantikan kehadiran Qiao Chu dan rakan-rakannya yang lain.

Hakikatnya, sikap acuh tak acuh dan tidak mempedulikan apa-apa inilah yang membuatkan dia begitu terkenal di seluruh akademi dalam masa satu hari saja selepas dia diterima masuk. Keadaan ini adalah sesuatu yang tidak dijangkakan oleh Jun Wu Xie.

Pembelajaran Pemulihan Roh kebanyakannya berlaku di dalam bangunan fakulti ini. Bangunan ini dibahagikan kepada lima tingkat. Jun Wu Xie menurut arahan yang diberikan padanya malam tadi dan terus menuju tingkat paling tinggi untuk ke pejabat Gu Li Sheng.

"Dah biasa di sini?" tanya Gu Li Sheng. Sudah lama dia menunggu. Gu Li Sheng duduk di belakang mejanya dang memandang Jun Wu Xie sambil tersenyum.

Jun Wu Xie mengangguk.

Dah biasa di sini? Setakat ini dia belum lagi menemui apa-apa yang akan mengganggunya.

Sebelum ini, tak kira ke mana saja dia pergi, keadaan tidak begitu berbeza baginya. Dengan adanya pasangan anak dan ayah Keluarga Jun itu bersama-samanya, selain Istana Lin, tempat lain dirasakan sama sahaja.

"Adakah permintaan saya supaya kamu menyertai fakulti Pemulih Roh ini membuatkan kamu berasa sedih?" tanya Gu Li Sheng sambil tersenyum.

Jun Wu Xie memikirkan soalan ini seketika sebelum membalas, "Pemulihan Roh akan berguna untuk saya."

"Hahaha." Gu Li Sheng tidak dapat menahan diri daripada ketawa dengan kuat. Soalannya hanya untuk mengusik budak ini. Tak sangka pula dia menerima jawapan yang begitu serius.

Nampaknya sebarang perasaan tidak begitu bermakna pada budak ini. Jadi dia tidak akan berasa sedih, bukan?

Fakulti Pemulih Roh ini dilihat tak lebih sebagai tempat yang memberikan manfaat pada budak ini. Gu Li Sheng pula yang berasa sedikit sedih.

"Memandangkan kemahiran ini berguna untuk kamu, belajarlah baik-baik. Beritahu saya apa yang kamu tahu tentang Pemulihan Roh setakat ini." Gu Li Sheng bertanya sambil berpeluk tubuh, memandang Jun Wu Xie dengan serius. Inilah kali pertama setelah beberapa tahun lamanya sejak penubuhan bidang Pemulihan Roh, Gu Li Sheng telah melanggar kebiasaannya dan menerima pelajar sebelum proses kemasukan selesai. Budak ini juga merupakan satu-satunya pelajar yang diterimanya pada tahun ini. Guru besar serta naib guru besar Akademi Zephyr sudah pun membincangkan hal ini dengan dia semalam, secara berasingan. Tetapi dia tetap tidak akan mengubah fikiran.

Dia lebih rela meletakkan nilai pada seorang pelajar cemerlang daripada memilih ramai pelajar yang mungkin tidak akan mencapai kejayaan.

Jun Xie merenung Gu Li Sheng yang mengharapkan dia memberikan penjelasan yang panjang lebar lalu dengan tenang menjawab sepatah, "Tak ada apa-apa."

"….." Senyuman Gu Li Sheng kaku di wajahnya. Dia pasti dia sudah tersalah dengar.

"Sikit pun…..tak ada?" Gu Li Sheng tercengang memandang Jun Wu Xie. Jawapan budak itu memang…..sangat memberangsangkan!

Dalam kalangan para pelajar yang datang ke Akademi Zephyr ini ada juga yang tak tahu satu apa pun tentang Pemulih Roh? Budak ni datang dari ceruk mana?

Jun Wu Xie mengangguk dengan wajah yang serius.

Gu Li Sheng menekup wajahnya dengan tangan. Dia sangat curiga ada yang tak kena dengan matanya.

"Baiklah." Gu Li Sheng akhirnya cukup bertenang dan dapat bersuara. Dia mengumpul seluruh kekuatan untuk mengawal serta mengekalkan wajahnya untuk kelihatan sebagai guru yang mesra. Gu Li Sheng perlahan-lahan meletakkan sebuah buku di hadapan Jun Wu Xie.

"Asas Pemulihan Roh semuanya ada tertulis di dalam buku ini. Kamu akan mendapat banyak manfaat daripadanya."

Jun Wu Xie menghulurkan tangan dan mencapai buku itu kemudian menundukkan kepala lalu mula membaca. Helaian muka surat buku itu diselak-selak dengan pantas.

Buku itu tidaklah tebal. Jun Wu Xie menyelak-nyelak helaiannya beberapa kali. Segalanya di dalam buku itu sudah dihafalnya dan dia kemudiannya meletakkan buku itu kembali ke atas meja.

Gu Li Sheng memerhatikan Jun Xie sewaktu dia menyelak-nyelak buku itu beberapa kali dengan pantas dan kemudian meletakkan buku itu ke atas meja. Tiba-tiba Gu Li Sheng merasakan mindanya tak dapat betul-betul memproses apakah reaksi sepatutnya terhadap tindakan Jun Xie ini.

Gu Li Sheng merenung buku di atas meja tersebut dan kemudian merenung Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie hanya merenung kembali dengan wajah yang tidak berperasaan.