Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 400 - Iri Hati, Cemburu dan Benci (4)

Chapter 400 - Iri Hati, Cemburu dan Benci (4)

Kucing hitam kecil yang sedang tidur di atas riba Jun Wu Xie itu juga dapat merasai kebencian menebal yang datang dari renungan-renungan para pelajar tersebut. Kucing itu membuka matanya dan memandang tuannya yang masih tenang.

Wajah Jun Wu Xie langsung tidak menunjukkan sebarang emosi dan kelihatan tenang seperti bongkah batu.

Kucing hitam kecil itu menutup mata dengan kaki hadapannya. Dari sudut pandangan orang lain, reaksi tuannya ini hampir sama seperti reaksi kanak-kanak autistik.

Sebelum kucing hitam kecil itu sempat habis menyesali sikap tuannya yang tidak mempedulikan orang lain, salah seorang pemuda berkenaan sudah pun melangkah keluar dan berjalan menuju Jun Wu Xie.

"Orang yang Tuan Guru Gu pilih itu kamu, bukan?" Pemuda itu masih enggan berputus asa dan tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya.

Jun Wu Xie mengangkat kepalanya perlahan-lahan dan memandang pemuda agresif di hadapannya ini. Dia hanya menjeling sekilas sebelum sekali lagi menundukkan kepala dan terus membelai kucing hitam kecil itu.

Setelah mendapati dia secara kejammnya tidak dipedulikan, kemarahan tiba-tiba membara di dalam diri pemuda tersebut. Budak ini betul-betul sombong! Tak ada satu jawapan sekalipun dan cuma memandangnya dengan penuh kebencian! Mana mungkin sesiapa pun boleh bersabar?

Kalau kucing hitam kecil itu bercakap pada ketika itu, pasti kucing itu akan memberitahu pemuda yang sedang berang itu, "Budak, kamu dah tersalah anggap…. Tuan saya ni bukannya sombong. Dia cuma tak pandai bercakap!"

Di dalam kehidupannya yang dulu dan sekarang, Jun Wu Xie tidak berada di dalam sebarang persekitaran sosial. Malah selepas menyertai organisasi itu dulu, dia bertindak sendirian. Inilah kali pertama dia dimasukkan ke dalam tempat seperti akademi ini yang mempunyai sejumlah besar orang tinggal bersama-sama.

Sewaktu dia di Akademi Phoenix, ada beberapa orang saja yang tinggal di seluruh Sayap Timur, jadi keadaan tidaklah begitu teruk. Tapi Akademi Zephyr dipenuhi dengan mata-mata yang memberikan ancaman serta permusuhan. Jun Wu Xie mengasingkan dirinya sebagai langkah pertahanan.

Pengasingan diri ini telah mengakibatkan Jun Wu Xie dianggap sombong dan angkuh serta membenci semua orang!

Melihatkan pemuda itu hampir memukul Jun Xie, lelaki itu memberikan amaran supaya mereka berhenti lalu mengelak tragedi yang hampir berlaku. Dia memarahi semua pemuda itu dengan tegas, menghalang tercetusnya pergaduhan dari situasi yang tegang ini. Sewaktu dia memarahi para pemuda tersebut, matanya melirik pada susuk tubuh yang tidak begitu menarik perhatian di sudut itu.

Budak itu yang Gu Li Sheng mahukan?

Personalitinya itu agak menyusahkan.

Sebelum lelaki itu datang ke kuliah tersebut, dia telah bertemu dengan Gu Li Sheng lebih dahulu dan mendapat tahu bahawa pelajar yang Gu Li Sheng telah pilih berada dalam kalangan kumpulan tersebut. Namun, sepanjang syarahan itu berlangsung, dia tidak perasan apa-apa yang luar biasa tentang budak itu, Jun Xie. Satu-satunya perkara yang menonjol ialah personalitinya. Sejak kemunculannya sehingga kini, budak itu langsung tidak mengangkat kepalanya dan hanya bermain-main dengan roh berkontraknya. Lelaki itu tidak faham apa yang begitu hebat tentang budak itu.

Lelaki itu pada mulanya berfikir yang memandangkan Gu Li Sheng sudah membuat keputusan untuk hanya menerima seorang pelajar saja tahun ini, pelajar tersebut pastilah amat hebat. Tetapi kini setelah bertemu dengan budak berkenaan, nampaknya budak itu biasa saja.

Walaupun dia telah menghentikan para pelajar lain secara lisan, menghalang mereka daripada mengapa-apakan Jun Xie, lelaki itu merasakan yang dia tidak memahami sepenuhnya personaliti Jun Xie ini.

Budak yang begitu individualistik atau suka menyendiri ini tidak akan mudah mengharungi hari-hari mendatang di Akademi Zephyr.

Sejurus sebelum waktu makan malam, lelaki itu akhirnya membuat keputusan untuk membenarkan para pelajar baru itu keluar dari dewan.

Mereka semua tidak berani menentang lelaki itu,jadi mereka tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas Jun Wu Xie di dalam dewan kuliah tadi. Mereka bercadang mahu mencari satu sudut terpencil di mana-mana dan mengajar budak tak guna yang sombong ini. Namun begitu, sewaktu para pemuda ini keluar dari pintu, mereka semua menjadi kaku.

Fan Jin sedang berdiri di hadapan pintu itu sambil tersenyum berseri-seri. Susuk tubuhnya yang tinggi itu membolehkan dia mengimbas kumpulan pemuda itu dan tak lama kemudian terlihat Jun Wu Xie yang keluar paling akhir sekali, secara bersendirian. Sambil dipandang dengan hairan oleh para pemuda yang lain, Fan Jin pantas melangkah menuju Jun Wu Xie.

Apa yang sedang berlaku ni…..

Senior Fan Jin datang sejauh ini semata-mata mahu menjemput budak tak guna ini?