Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 387 - Kemasukan (3)

Chapter 387 - Kemasukan (3)

Walaupun mata semua orang sedang merenungnya, Jun Wu Xie langsung tidak memberikan reaksi. Dia dapat merasakan lelaki berjubah biru ini bukannya lemah. Tambahan pula, berdasarkan bagaimana orang-orang Akademi Zephyr menghormatinya, tak sukar untuk menentukan bahawa lelaki ini memegang kedudukan yang agak tinggi.

"Dengan adanya bakat seperti ini, kamu akan terus dimasukkan ke kampus utama." Lelaki berjubah biru itu berkata dengan bersahaja. Dia ketawa dan terus memasukkan Jun Wu Xie ke kampus utama.

Kata-kata lelaki itu menyebabkan para pemuda lain di situ berasa cemburu.

Setiap tahun, sejumlah kecil pemohon akan terus dapat masuk ke kampus utama. Pemuda-pemuda lain mungkin iri hati dengan Jun Wu Xie, tetapi mereka sedar yang mereka tidak mencapai tahap jingga dalam kuasa rohani mereka. Lelaki berjubah biru itu tidak memberikan budak itu layanan berat sebelah. Sudah tentulah budak berusia empat belas tahun yang telah berjaya mencapai kuasa tahap jingga itu dimasukkan ke kampus utama.

Dalam kalangan para pemuda yang berdiri di depan pintu pagar itu, bukan semuanya cemburu. Qiao Chu dan rakan-rakannya yang lain hampir muntah darah apabila lelaki berjubah biru itu terus memasukkan Jun Wu Xie ke kampus utama. Apa yang akan berlaku pada mereka berempat yang sudah pun dimasukkan ke kampus cawangan?

Ujian mereka sudah berakhir dan mereka tak mungkin datang semula dan memberitahu pihak akademi yang mereka mahu ujian itu dilakukan sekali lagi….

Lelaki berjubah biru itu beranggapan budak kecil di hadapannya ini pasti amat gembira mendengarkan kata-katanya. Sebaliknya dia terkejut melihatkan raut wajah yang dingin dan tidak berperasaan itu langsung tidak berubah. Ini membuatkan lelaki itu mengubah pandangannya terhadap Jun Wu Xie.

Orang yang berbakat mungkin jarang ditemui. Namun jika personaliti mereka terlebih sombong atau yakin, prestasi mereka dalam latihan perkembangan mungkin terbantut. Lelaki itu sudah melihat agak ramai anak-anak muda yang berbakat besar bersinar dengan gemilang pada mulanya, tetapi kemudian mengalami pelbagai halangan dalam latihan mereka seterusnya. Pada mulanya, perkembangan dan kemajuan latihan kuasa rohani amat mudah dicapai. Bakat mereka pula akan memudahkan lagi mereka mencapai kemajuan awal. Tetapi semakin mereka meningkat ke tahap seterusnya, tekanan ke atas perlakuan semulajadi mereka menjadi lebih tinggi kerana proses latihan mengambil masa yang panjang dan membosankan. Kalau mereka tidak boleh mengatasi perasaan jemu dan tergoda dengan hiburan, mereka tidak akan dapat terus maju, tak kiralah betapa tingginya bakat mereka.

Akhirnya, mereka akan bertukar menjadi seseorang yang dicemuh oleh orang lain. Dianggap sebagai seseorang yang berbakat besar sewaktu muda tetapi mensia-siakan semuanya sehingga menjadi orang yang tak berguna.

"Anak kecil, nama kamu siapa?" Lelaki berjubah biru itu bertanya sambil tersenyum.

"Jun Xie." Jun Wu Xie membalas dengan ringkas.

Lelaki berjubah biru itu ketawa.

Sebaik bunyi ketawa lelaki itu kedengaran, Jun Wu Xie tiba-tiba merasakan ada kehangatan yang mengalir masuk tanpa henti ke dalam tubuhnya melalui tangan yang memegang pergelangan tangannya itu. Jun Wu Xie menjadi kaku.

"Bertenang, jangan risau. Bakat sehebat kamu ni, rugilah kalau roh berkontrak kamu mengalami kecederaan." Bisikan lembut lelaki itu bercampur-baur dengan bunyi ketawanya di telinga Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie mengangkat kepalanya dan matanya yang dingin memandang wajah lelaki itu yang tampan.

Aliran kehangatan itu hampir tidak dapat dirasakan. Tenaga itu bergabung dengan rohnya, tersebar ke bahagian milik roh kucing hitam kecil itu.

Mata Jun Wu Xie' bersinar seketika dengan penuh hairan. Dia jelas dapat merasakan roh kucing hitam kecil itu yang keletihan, semakin pulih di bawah aliran kehangatan tersebut. Kucing hitam kecil itu mula bertenaga, sedikit demi sedikit!

Pemulih Roh!

Tiba-tiba terlintas dua patah perkataan ini di minda Jun Wu Xie.

Kucing hitam kecil itu mungkin berbeza sedikit berbanding roh berkontrak lain, tapi sama saja dari segi roh. Kalau Pemulih Roh boleh menyembuhkan roh berkontrak, itu juga bermaksud mereka boleh memulihkan roh kucing hitam kecil itu!

Pada waktu ini, Teratai Salji tidak berada di dalam badan Jun Wu Xie. Satu-satunya roh lain yang berada di dalam badannya ialah kucing hitam kecil itu!

Tenaga dari kehangatan itu perlahan-lahan dan tanpa henti memberikan tenaga kepada roh kucing hitam kecil!

Adakah ini kuasa Pemulih Roh? Mata Jun Wu Xie menunjukkan perasaan kagum yang jarang dapat dilihat. Tak hairanlah Pemulih Roh di Akademi Zephyr lebih menonjol berbanding fakulti lain. Kalau adanya Pemulih Roh dalam kalangan mereka sewaktu bertempur, seseorang itu tak perlu lagi menahan diri mereka. Ini kerana apabila roh berkontrak tercedera, Pemulih Roh boleh memulihkan roh dan memanjangkan masa pertempuran untuk roh berkontrak!