Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 386 - Kemasukan (2)

Chapter 386 - Kemasukan (2)

Jun Wu Xie menutup matanya dan menolak tenaga rohaninya masuk ke dalam kristal tersebut.

Satu cahaya jingga yang amat terang meledak pada ketika itu. Cahaya berkenaan menarik perhatian semua pemuda yang datang ke pintu pagar akademi untuk mendaftar masuk!

Qiao Chu dan yang lain, yang sedang menuju ke situ untuk mencari Jun Xie selepas mereka selesai mendaftar masuk, terkejut melihat ledakan cahaya jingga itu!

Cahaya yang terang itu menarik perhatian semua orang dan mata mereka tertumpu pada Jun Xie dengan perasaan terkejut.

Jingga!?

Batu rohani itu bersinar dengan cahaya jingga!?

Itu maksudnya kuasa rohani budak kecil ini sudah mencapai tahap jingga?

Dalam kalangan mereka yang berada di situ, tak ada yang bertubuh lebih kecil dari budak itu. Penampilannya menunjukkan yang dia masih lagi di usia yang muda, badannya juga kecil dan kurus. Jelas sekali dia yang paling muda di situ. Kalau tak kerana hakikat bahawa roh berkontrak hanya bangkit di usia empat belas tahun, semua orang pasti menyangkakan budak ini masih berusia dua belas atau tiga belas tahun!

Tetapi hakikat yang budak paling muda ini sudah mencapai tahap jingga ibarat satu tamparan ke muka mereka semua!

Suara-suara mula kedengaran dari kerumunan orang ramai itu, cuba meneka-neka umur sebenar budak tersebut.

Fei Yan yang sedang berjalan ke situ menampar dahinya sebaik terlihat cahaya jingga itu.

"Habislah! Kali ni habislah semuanya!

Proses kemasukan ke Akademi Zephyr biasanya hanya memerlukan pemeriksaan roh berkontrak. Hanya apabila pemohon itu sendiri mengumumkan yang dia sudah mencapai peningkatan tahap barulah pihak akademi akan menjalankan satu lagi ujian. Memandangkan agak jarang ada orang yang berjaya mencapai peningkatan tahap kuasa rohani pada usia di antara empat belas hingga enam belas tahun, tak ada siapa yang menyembunyikan hal seperti ini.

Qiao Chu dan yang lain memutuskan untuk memulakan pencarian di kampus cawangan. Ini kerana mereka yakin akan dapat maju ke kampus utama dengan mudah berdasarkan kemahiran mereka, bila-bila masa sahaja yang mereka mahukan. Oleh itu, mereka memilih untuk berdiam diri tentang kuasa rohani mereka.

Tetapi mereka tidak menyangka yang Jun Xie akan berdepan keadaan seperti ini.

Kenapa Akademi Zephyr tiba-tiba mahu menguji tahap kuasa rohani Jun Xie?

Seseorang yang berusia empat belas tahun sudah mencapai tahap jingga dalam kuasa rohaninya. Tentulah tanpa sebarang keraguan lagi, dia akan dimasukkan ke kampus utama!

Namun begitu, empat orang yang lain ini sudah menyempurnakan pendaftaran kemasukan mereka dan sudahpun menerima lambang kampus cawangan. Sudah terlalu lambat untuk melakukan perubahan!

Akhirnya lelaki yang menjalankan ujian untuk Jun Xie memberikan pandangan bermakna, seolah-olah sedang berfikir. Dia akhirnya berpusing untuk berbisik pada seorang lagi kakitangan akademi yang kemudiannya cepat-cepat berlari pergi dari situ.

Selepas seketika, seorang lelaki yang tampan dan memakai jubah broked berwarna biru lembut berjalan perlahan-lahan menuju pintu utama. Dia mengikut arah cahaya jingga tersebut dan berjalan mendekati Jun Wu Xie.

Namun begitu, Jun Wu Xie tenang sahaja. Matanya jernih dan dingin.

Lelaki berjubah biru itu mengangkat keningnya sewaktu terlihat Jun Wu Xie. Dia menghulurkan tangannya untuk memegang pergelangan tangan Jun Wu Xie, atas sedikit dari tangan yang memegang batu rohani itu.

Qiao Chu dan yang lain bersiap-sedia. Mereka memerhatikan keadaan secara sembunyi dari kerumunan pemuda-pemuda yang ramai di situ.

Jun Wu Xie mengecilkan matanya tetapi tidak memberikan apa-apa reaksi.

Lelaki itu hanya terus memegang pergelangan tangan Jun Wu Xie dan tidak berbuat apa-apa lagi. Seketika kemudian, dia tersenyum dan berkata, "Roh jingga pada usia empat belas tahun. Sememangnya anak muda yang menakjubkan."

Mendengarkan kata-kata lelaki tersebut, orang ramai yang berada di situ mula kecoh!

Mencapai tahap jingga pada usia enam belas tahun jarang berlaku tetapi tidaklah begitu mengejutkan. Mencapai tahap jingga pada usia empat belas tahun….

Memang tak masuk akal!

Pada usia empat belas tahun, apa yang kebanyakan orang sedang lakukan?

Memandangkan roh berkontrak mereka baru saja bangkit, mereka cuma sedang belajar bagaimana untuk berlatih dan memupuk kuasa mereka selain cuba memahami kebolehan roh berkontrak masing-masing. Masa yang diperlukan ialah sekurang-kurangnya setengah tahun. Selepas mereka bersedia untuk memulakan latihan sebenar, mereka memerlukan masa yang lama untuk beradaptasi dan menyesuaikan diri sebelum mengambil langkah pertama dalam perjalanan mencapai kekuatan.

Berusia empat belas tahun dan sudah mencapai tahap jingga. Memang menakjubkan….

Mereka tak pernah melihat keadaan sedemikian sebelum ini!

Siapa sangka budak tak guna yang kelihatan biasa-biasa saja ni dapat mencapai kepantasan luar biasa dalam perkembangan kuasa rohaninya!?