Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 376 - Mata Air Syurga (2)

Chapter 376 - Mata Air Syurga (2)

"Saya ada membelek-belek buku-buku tersebut, tapi sayangnya saya tak ada roh berkontrak jenis tumbuhan dan tak boleh gunakan maklumat yang ada. Memandangkan buku-buku itu milik kamu sekarang, maksudnya kamu memang ditakdirkan untuk memilikinya," kata Yan Bu Gui sambil mengusap-usap janggutnya.

"Kamu tak seharusnya terus berada di Akademi Phoenix. Kamu sepatutnya keluar dari sini dan buat apa yang kamu mahu."

Jun Wu Xie menundukkan kepalanya dan memandang Kelalang Syurga yang dipegangnya. Satu-satunya barang yang dicari-carinya selama ini dengan pelbagai cara, kini sudah diserahkan oleh Yan Bu Gui kepadanya.

Dengan adanya Kelalang Syurga ini, Jun Wu Xie boleh pulang ke Istana Lin dengan tenang dan tak takut dengan hukuman dari Istana Syaitan Api.

Tapi…..

Itukah yang dia mahukan?

Menghabiskan seluruh hidupnya dengan bersembunyi dan bergantung pada air dari Mata Air Syurga untuk mengelakkan hukuman? Memerhatikan saja musuh-musuhnya hidup senang-lenang manakala dia bersusah-payah bersembunyi dan mengharapkan Kelalang Syurga?

"Tuan Guru." Jun Wu Xie tiba-tiba mengangkat kepalanya. "Saya perlu pergi ke makam Maharaja Kegelapan."

Dia menggenggam Kelalang Syurga di tangannya dan matanya bersinar dengan ketegasan yang teguh. Dia tak mahu kehidupan yang terjejas. Memandangkan ada pihak yang mahu mengambil nyawanya, dia akan menyelesaikan masalah itu dengan membunuh musuh-musuhnya!

Yan Bu Gui terkejut dan merenung Jun Wu Xie dengan hairan.

"Akan tiba harinya saya menghapuskan Istana Syaitan Api." Jun Wu Xie berkata dengan dingin.

Yan Bu Gui tergamam seketika sebelum tiba-tiba ketawa terbahak-bahak.

"Bagus, bagus, bagus. Kamu ni badan saja kecil, tapi cita-cita kamu memang patut dipuji! Tak hairanlah kamu ni….. Emmm, memandangkan kamu dah memilih jalan kamu, saya tak akan menahan kamu. Simpanlah Kelalang Syurga dan beg kosmos itu baik-baik. Ingat! Kamu tak boleh mendedahkan beg kosmos itu kepada sesiapa pun. Beg itu akan membuatkan orang-orang Dua Belas Istana meluru mengejar kamu walaupun kamu tak mempunyai roh berkontrak tumbuhan. Kamu tak akan terlepas."

Jun Wu Xie mengecilkan matanya. Asal-usul Kelalang Syurga ini pasti lebih rumit daripada apa yang Yan Bu Gui beritahu padanya.

Hakikatnya, Jun Wu Xie memang berasa agak curiga selama ini. Teratai Kecil sebelum ini ada mengatakan yang Jed Penenang Roh itu merupakan salah satu daripada Tujuh Harta Karun Dunia Roh, tetapi telah hilang secara tiba-tiba. Selain itu, Yan Bu Gui dan anak-anak muridnya mengatakan semua barangan ajaib dari Alam Pertengahan telah dikuburkan jauh di dalam makam Maharaja Kegelapan. Ini termasuklah Jed Penenang Roh.

Tapi kalau Jed Penenang Roh itu sepatutnya berada di dalam makam Maharaja Kegelapan, macam mana pula boleh jatuh ke tangan orang lain?

Kenapa pula Kelalang Syurga ini akan menyebabkan hukuman daripada Dua Belas Istana?

"Terima kasih Tuan Guru." Jun Wu Xie tidak berfikir lebih lanjut tentang hal ini. Tak kira apa jua sebabnya, hakikat yang dia mahukan Istana Syaitan Api dihapuskan tidak akan berubah.

"Kamu memanggil saya Tuan Guru saja sudah cukup menyenangkan." Yan Bu Gui berjalan keluar dari bilik itu sambil ketawa dengan kuat.

Jun Wu Xie tiba-tiba mengambil cawan yang mengandungi air dari Mata Air Syurga itu dan menghabiskannya dengan sekali teguk!

Mulai sekarang, dia tak akan membataskan dirinya di dalam Akademi Phoenix yang kecil ini!

Syurga juga nampaknya dapat mengesan niat membunuh Jun Wu Xie. Beberapa minggu kemudian, Fei Yan memberitahu mereka semua satu berita.

Dia telah menemui petunjuk kepada satu lagi bahagian peta kulit manusia.

Peta tersebut sebenarnya disembunyikan di satu lagi akademi!

Akademi Zephyr!

Akademi itu adalah salah satu daripada tiga akademi terhebat. Kemasyhurannya tersebar ke seluruh dunia!

Qiao Chu dan yang lain berkemas serta menyiapkan diri. Misi ini bukan hanya melibatkan Qiao Chu dan Hua Yao, tapi Fei Yan dan Rong Ruo juga akan ikut serta. Sebelum bertolak, mereka dikejutkan dengan satu lagi berita!

Jun Xie akan pergi bersama-sama mereka!

"Xie Kecil, kamu…..benar-benar akan ikut kami?" Qiao Chu bertanya dengan berhati-hati sambil menelan air liurnya dengan kuat.

Jun Wu Xie merenung Qiao Chu dengan dingin.

"Tanpa saya, kamu tak akan dapat masuk pun ke Akademi Zephyr."

Akademi tersebut meletakkan standard yang amat tinggi untuk kemasukan para pelajarnya. Yuran akademi itu juga amat mahal!

Pernyataan dari Jun Wu Xie itu terus mematahkan sebarang bantahan dari Qiao Chu dan rakan segurunya yang lain.

Kalau Jun Xie yang berduit ini tak pergi, mereka langsung tak mampu nak membayar yuran!

Seketika kemudian, Qiao Chu rebah di kaki Jun Wu Xie sambil menangis kesyukuran, "Xie Kecil! Kamu ni memang baik hati betul dengan kami!"