Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 364 - Peta Kulit Manusia (2)

Chapter 364 - Peta Kulit Manusia (2)

"Mereka bertujuh mengorbankan hidup mereka untuk mencari makam Maharaja Kegelapan demi kumpulan berkuasa tempat mereka berkhidmat. Sewaktu hidup mereka diseksa dengan kejian dan makian, setelah mati mereka tetap tidak mendapat ketenangan. Mereka mati akibat seksaan dan roh mereka juga dimusnahkan sepenuhnya. Keluarga mereka turut tidak terlepas dan dibunuh tanpa belas." Qiao Chu tiba-tiba ketawa dengan kuat setelah selesai bercerita. Air matanya bergenang sambil dia memandang Jun Wu Xie.

"Kamu tak rasa orang-orang tu bodoh ke? Mereka tahu yang makam Maharaja Kegelapan itu tak sepatutnya dijarah. Disebabkan kesetiaan membuta-tuli mereka terhadap kumpulan berkuasa tersebut, mereka serta keluarga mereka dibunuh. Dua Belas Istana mencari harta Maharaja Kegelapan, tetapi tak mahu memikul tanggungjawab sebagai pengkhianat lalu menggunakan orang-orang itu sebagai kambing hitam. Mereka memang bodoh kerana tertipu dengan muslihat Dua Belas Istana."

Jun Wu Xie diam sahaja mendengarkan semua ini. Qiao Chu ketawa, seolah-olah mencemuh dirinya sendiri. Pada masa yang sama, air matanya tak henti-henti mengalir.

"Kalau tak kerana Tuan Guru sempat campur tangan dan menyelamatkan kami berempat, kami tak akan berada di sini sekarang. Tuan Guru menyeludup kami keluar dari Alam Pertengahan dan walaupun risikonya besar, dia membawa kami ke Alam Bawahan. Di sini dia mengajar kami bagaimana untuk membangunkan kuasa rohani serta menyembunyikan identiti, menunggu masa yang sesuai. Sejak dari saat keluarga kami dibunuh, kami sudah pun berputus asa untuk hidup. Satu-satunya perkara yang mendorong kami hanyalah pembalasan dendam ke atas Dua Belas Istana! Tuan Guru melarang kami bertempur dengan para pelajar lain supaya kami tidak menarik perhatian lalu mendedahkan identiti kami. Ini pastinya akan mengundang bencana. Xie Kecil, tolong jangan salahkan Tuan Guru. Kalau bukan kerana dia, kami tak akan hidup sekarang ni," kata Qiao Chu sambil menyapu air mata dari mukanya dan menahan perasaannya yang sedang bergolak.

Dia mendedahkan luka paling menyakitkan yang dibawanya di dalam hatinya selama ini kepada Jun Xie kerana dia tak mahu saudara barunya ini salah sangka dengan Tuan Guru yang amat dihormatinya itu.

Dia amat menyayangi mereka berdua dan berharap mereka dapat membentuk hubungan yang baik.

Jun Wu Xie mengecilkan matanya dan tiba-tiba berjalan menuju pintu.

Yan Bu Gui merenung Jun Wu Xie yang bergegas berjalan menujunya. Wajah Yan Bu Gui kelihatan bimbang.

Jun Wu Xie berhenti di hadapan Yan Bu Gui dan berkata dengan suara yang jelas.

"Tuan Guru."

"Anak muridku."

Yan Bu Gui bukannya lemah, tetapi melakukan apa saja yang boleh untuk melindungi empat orang anak muridnya. Mungkin caranya itu agak keterlaluan, tetapi dia tetap berniat mulia.

Yan Bu Gui melarikan diri daripada Alam Pertengahan bersama-sama empat orang anak kecil. Tuhan saja yang tahu berapa banyak kesusahan yang dia tempuhi untuk menyembunyikan dan melindungi empat anak kecil itu daripada buruan dan hukuman Dua Belas Istana. Dia juga membesarkan serta mengajar mereka.

Panggilan ringkas "Tuan Guru" itu membuatkan Hua Yao dan lain-lain yang tadinya tegang, mengeluh lega. Tindakan Jun Wu Xie yang tidak teragak-agak melindungi Rong Ruo daripada penghinaan kumpulan pemuda tadi telah meninggalkan kesan terima kasih yang mendalam di hati mereka. Masing-masing berasa gembira kerana keadaan berakhir dengan baik.

"Memandangkan kamu dah memanggil saya Tuan Guru, maksudnya kamu akan mendengar cakap Tuan Guru ini mulai sekarang? Kalau kejadian seperti hari ini berlaku lagi…." Yan Bu Gui berasa gembira dengan anak murid barunya ini dan baru sahaja mahu mengajar "cara-cara untuk kekal selamat di Akademi Phoenix" apabila Jun Wu Xie tiba-tiba mencelah lalu berkata, "Kalau sesuatu seperti ini berlaku lagi, saya akan melawan, sama seperti hari ini." Wajahnya tenang dan tidak berperasaan.

Yan Bu Gui tergamam.

"Saya hargai niat mulia Tuan Guru dan kebimbangan terhadap kami sebagai anak murid memang berasas. Tapi saya tak setuju." Mata Jun Wu Xie kelihatan tegas. Dia mengakui perwatakan Yan Bu Gui yang baik dan telus, tetapi cara dia menguruskan hal ini agak keterlaluan.

"Untuk hal-hal seperti ini, biar saya uruskan di masa hadapan," kata Jun Wu Xie.

Mereka kini saling berkaitan kerana dia sudah mengakui Yan Bu Gui sebagai Tuan Guru. Jun Wu Xie tak mungkin akan membenarkan Tuan Guru serta anak murid senior yang lain hidup di bawah penderaan dan penghinaan orang lain.

Yan Bu Gui ternganga seperti ikan emas, tetapi tak mampu berkata apa-apa.

Qiao Chu yang berdiri di sisi bersinar-sinar seperti matahari yang baru terbit. Mereka telah lama menahan diri dan menelan kemarahan mereka akibat dihina. Tak ada apa lagi yang mereka harapkan selain junior baru ini memberi pengajaran yang tak akan dilupakan kepada budak-budak tak guna dari sayap lain itu.

Empat orang anak muda ini yang sering patuh dengan arahan Yan Bu Gui dan tidak pernah melawannya walau sekali, tidak sedar yang kehadiran Jun Wu Xie ini akan mula mengubah hidup mereka. Inilah langkah pertama menuju takdir mereka dan hidup mereka bakal berubah secara drastik. Enam orang yang ditakdirkan akan bergabung dan menghuru-harakan keadaan di tiga alam di masa akan datang, kini sudah menemui ahli yang kelima!

Related Books

Popular novel hashtag