Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 363 - Peta Kulit Manusia (1)

Chapter 363 - Peta Kulit Manusia (1)

Agak menarik juga kalau difikirkan yang sewaktu budak kecil itu meminta untuk menjadi anak murid, Yan Bu Gui teragak-agak mahu menerima. Kini apabila budak itu tak sanggup menjadi anak murid, Yan Bu Gui pula yang menahannya.

Tapi…..

Sekarang ini terpulang kepada Jun Wu Xie membuat keputusan.

Jun Wu Xie tidak menjawab dan Qiao Chu semakin menggelabah. Dia memegang tangan Jun Wu Xie dan menariknya masuk ke dalam bilik.

Mereka yang lain berdiri tegak dan tidak bergerak dari tempat masing-masing. Mereka tahu apa yang Qiao mahu lakukan dan tidak masuk campur untuk menghalang.

Sewaktu berada di dalam bilik itu, Qiao Chu mencari-cari sesuatu kemudiannya mengeluarkan sebuah kotak broked kecil. Jun Wu Xie pernah melihat kotak itu sebelum ini. Mereka mendapatnya sewaktu berada di kawasan Kumpulan Qing Yun.

"Inilah sebabnya mengapa Abang Hua dan saya menyelinap ke dalam Kumpulan Qing Yun." Qiao Chu meletakkan kotak itu di hadapan Jun Wu Xie dan mengisyaratkan dia untuk membukanya.

Jun Wu Xie membuka kotak itu dan di dalamnya terdapat sekeping peta. Dia memerhatikan dengan lebih teliti dan mendapati peta itu dilukis di atas kulit manusia!

"Kulit manusia itu telah dipotong daripada bahagian belakang badan ayah saya." Suara Qiao Chu tiba-tiba menjadi suram.

Jun Wu Xie memandang Qiao Chu. Peta yang terlukis di aras kulit manusia itu tidak lengkap dan hanya membentuk sebahagian daripada peta yang lengkap.

"Saya, Abang Hua, Fei Yan, Rong Ruo dan Tuan Guru kami semuanya datang daripada Alam Pertengahan. Kuasa di Alam Pertengahan dibahagikan kepada Satu Daerah, Empat Sisi, Sembilan Tokong dan Dua Belas Istana. Satu daerah itu merujuk kepada Daerah Kegelapan yang dipimpin oleh Maharaja Kegelapan. Inilah kuasa paling kuat di Alam Pertengahan. Orang-orang yang menyerang kita sebelum ini ialah dari Istana Syaitan Api, salah satu daripada Dua Belas Istana. Berabad yang lalu, Daerah Kegelapan mengawal seluruh Alam Pertengahan. Empat Sisi, Sembilan Tokong dan Dua Belas Istana semuanya tunduk dan menyerahkan barang-barang serta senjata ajaib mereka kepada Maharaja Kegelapan. Namun, Maharaja Kegelapan mati secara tiba-tiba dan semua harta serta barangan ajaib itu dikuburkan bersama-sama baginda di dalam kubur bawah tanah Maharaja Kegelapan."

Qiao Chu perlahan-lahan menjelaskan lagi, "Makam Maharaja Kegelapan itu mengandungi semua barangan ajaib terkuat dan kekayaan Alam Pertengahan yang tak dapat dibayangkan. Inilah harta karun yang menjadi idaman semua orang di Alam Pertengahan untuk dimiliki. Tetapi hanya orang suruhan Maharaja Kegelapan yang setia saja tahu di mana makam Maharaja itu. Daerah Kegelapan sudah kehilangan Maharaja mereka dan kekuatan mereka tak lagi seperti dulu. Namun Maharaja Kegelapan itu merupakan orang yang menguasai seluruh Alam Pertengahan. Selepas kematian baginda sekalipun, reputasinya yang menggerunkan itu masih dapat dirasai. Kalau ada sesiapa yang berani berbuat apa-apa ke atas makam Maharaja itu, Daerah Kegelapan akan bergerak keluar dan membunuh mereka."

"Tetapi ketamakan manusia itu sukar dipuaskan dan orang masih menginginkan harta Maharaja Kegelapan. Melalui penyiasatan intensif yang lama dijalankan secara rahsia, akhirnya mereka menemui maklumat yang makam Maharaja Kegelapan itu berada di Alam Bawahan. Demi tidak membuatkan orang lain tahu dan untuk mendapatkan harta tersebut, Istana Dua Belas menghantar sekumpulan orang ke Alam Bawahan untuk mencari kubur bawah tanah Maharaja Kegelapan. Pencarian itu berlanjutan sehingga beratus-ratus tahun dan melibatkan jumlah ekspedisi yang tak terkira banyaknya. Akhirnya, tujuh daripada sejumlah ramai orang yang dihantar itu menemui lokasi makam berkenaan. Mereka datang daripada tujuh kumpulan kuasa berbeza. Demi membataskan dan menyekat tindakan sesama mereka, peta itu dibahagikan dan dicacah pada belakang badan mereka bertujuh."

Selepas berkata begitu, wajah Qiao Chu menjadi muram. Dia meneruskan lagi. Mereka yang menemui lokasi makam Maharaja Kegelapan pulang ke Alam Pertengahan dan menyerahkan bahagian peta masing-masing kepada kumpulan kuasa yang tempat mereka berkhidmat. Mereka bertujuh menyangkakan misi ini sudah selesai hasil semua usaha keras yang mereka lakukan di Alam Bawahan dan kini mereka layak berehat. Namun apa yang menanti mereka hanyalah pembunuhan beramai-ramai!"

"Dua Belas Istana takut pembalasan semula oleh Daerah Kegelapan dan meletakkan semua kesalahan menjarah makam Maharaja Kegelapan ke atas tujuh orang lelaki tersebut. Tak ada siapa di antara mereka yang selamat dan kulit belakang badan mereka di mana peta itu tercacah, dilapah dan dibahagikan kepada tujuh daripada dua belas istana berkenaan. Oleh sebab peta-peta itu dipisahkan dan semua istana itu mahu memonopoli harta-harta tersebut, sehingga ke hari ini, mereka masih tak menemui lokasi kubur bawah tanah berkenaan."