Jun Wu Xie bangun awal pagi keesokan harinya. Jun Wu Yao telah menghilangkan diri sekali lagi. Sewaktu Jun Wu Xie keluar bersiar-siar, Ye Sha muncul di hadapannya.
"Cik."
Jun Wu Xie diam saja sambil merenung lelaki yang kelihatan tidak asing ini, tetapi pada masa yang sama, kelihatan seperti seseorang yang tidak dikenalinya.
"Tuan Wu Yao pergi mencari sesuatu. Jangan bimbang dan tunggu di sini seketika." Ye Sha berkata tanpa perasaan.
Jun Wu Xie berfikir-fikir sejenak sebelum meneka apa yang Jun Wu Yao sedang cari.
Semalam Jun Wu Yao ada menyebut yang dia akan mencari cara untuk menyembuhkan roh Jun Wu Xie dan menjadikannnya sempurna kembali. Tetapi kalau difikirkan, bukan mudah untuk membaiki roh yang tidak sempurna. Jun Wu Yao pasti hanya meninggalkan tempat itu demi mencari sesuatu yang boleh menyembuhkan Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie tiba-tiba merasakan kehangatan tersebar di dalam hatinya. Dia hanya mengangguk pada Ye Sha. Lelaki itu kemudiannya menghilang dan seketika kemudian, kesan kehadirannya lenyap sepenuhnya.
Ye Sha yang dahulu juga melakukan perkara yang sama. Melindungi Jun Wu Xie dalam diam dan tanpa disedari.
Perhatian Jun Wu Xie kembali ke keadaan sekarang dan dia berjalan lebih jauh lagi ke luar. Disebabkan dia tak boleh pulang ke Istana Lin, dia sudah terfikirkan rancangan lain.
Di dalam taman itu, Yan Bu Gui sedang duduk di atas kerusi batu sambil memegang balang wain. Dia memerhatikan Fei Yan dan Rong Ruo yang sedang bertempur di antara satu sama lain. Hua Yao dan Qiao Chu yang masih agak lemah berdiri di sisinya. Kecederaan mereka masih belum pulih sepenuhnya untuk membolehkan mereka melakukan sebarang latihan intensif.
Kedua-dua susuk tubuh itu bergerak pantas di dalam pertarungan mereka. Kelajuan mereka menjadikan pergerakan mereka kelihatan kabur, terlalu pantas untuk diperhatikan.
Jun Wu Xie mendekati mereka dan menonton pertempuran di antara Fei Yan dan Rong Ruo itu. Dia sedar yang kekuatan kedua-duanya tidak kurang berbanding Hua Yao dan Qiao Chu.
Usia yang muda tetapi mempunyai kuasa sekuat itu. Pastinya keadaan ini mengejutkan ramai orang.
"Xie Kecil?" Qiao Chu serta-merta terlihat Jun Wu Xie menghampiri mereka. Dia meluru mendapatkan Jun Wu Xie tanpa teragak-agak.
"Kamu datang tepat pada masanya. Pertempuran di antara Fei Yan dan Ron Ruo ni baru saja mula sengit. Jangan terlepas." Qiao Chu telah menghulurkan tangan untuk menarik Jun Wu Xie, tetapi dia tiba-tiba menarik kembali tangannya.
Jun Wu Xie mengangguk saja dan mengikut Qiao Chu masuk ke taman itu.
Hua Yao dan Jun Wu Xie bertegur sapa dengan anggukan sahaja.
Yan Bu Gui cuba memerhatikan Jun Wu Xie dalam diam tetapi mata yang dingin itu terus memandangnya. Yan Bu Gui cepat-cepat mengalihkan pandangan, memerhatikan pertempuran di hadapannya.
Jun Wu Xie berpusing lalu bertanya kepada Qiao Chu yang berada di sebelahnya, "Macam mana saya nak belajar di Akademi Phoenix?"
Qiao Chu sedang terhibur menonton pertempuran itu dan soalan Jun Wu Xie membuatkan matanya terbeliak. Dia merenung Jun Wu Xie dengan perasaan tidak percaya.
"Ap….. Apa awak cakap?"
"Saya nak melatih diri di sini." Jun Wu Xie tidak mempedulikan ekspresi terkejut Qiao Chu dan berkata dengan bersahaja.
"….." Mulut Qiao Chu bergerak-gerak tetapi dia tak mampu berkata apa-apa.
Apa yang dia baru dengar ni?
Jun Wu Xie nak tinggal di Akademi Phoenix?
Hua Yao juga kelihatan terkejut mendengarkan kata-kata Jun Wu Xie.
"Kamu pasti?" Qiao Chu akhirnya kembali sedar dan bertanya lagi.
Jun Wu Xie mengangguk.
Pada ketika itu, wajah Qiao Chu menguntum senyuman yang paling lebar!
"Hebatnya! Kamu boleh jadi anak murid Tuan Guru kami! Dia memang bagus!"
Qiao Chu tidak dapat menahan perasaan terujanya dan menolak Jun Wu Xie ke hadapan Yan Bu Gui. Tuan Gurunya yang baru saja meneguk wain hampir mati tercekik disebabkan perbuatan anak muridnya yang dungu ini!
Kalaupun dia tidak tahu apa hubungan budak ini dengan Tuan, dia sendiri nampak betapa Tuan amat melindungi budak ini. Nampaknya budak ini mempunyai kedudukan yang istimewa di hati Tuan.
Kalau dia terima budak ini sebagai anak murid….
Memikirkan hal ini saja sudah membuatkan dia seram sejuk.
Tetapi Jun Wu Xie sudah pun berdiri di hadapan Yan Bu Gui. Jun Wu Xie sudah pun memikirkan idea ini sewaktu melihat kekuatan Hua Yao dan Qiao Chu. Demi menjadi lebih kuat, dia mesti menghargai sebarang peluang yang ada di hadapannya.
Sebelum Yan Bu Gui dapat menyatakan sebarang bantahan, Jun Wu Xie berkata, "Anak murid ini, Jun Xie, memberi penghormatan kepada Tuan Guru."