Ye Sha yang dilahirkan semula ini tidak ada memori masa silam dan hanya tahu satu perkara saja. Kesetiaan sepenuhnya terhadap Jun Wu Yao.
Jun Wu Yao mengarahkan Ye Sha untuk terus melindungi Jun Wu Xie secara rahsia.
"Abang tahu dari datangnya orang-orang yang menyerang saya?" Jun Wu Xie merenung Jun Wu Yao penuh tanda tanya. Dia sering merasakan Jun Wu Yao mengetahui segala-galanya.
Wajah Jun Wu Yao menjadi dingin. "Alam Pertengahan. Istana Syaitan Api."
"Alam Pertengahan?" tanya Jun Wu Xie lebih lanjut. Dia pernah banyak kali mendengar istilah "Alam Bawahan". Kini Jun Wu Yao mengatakan ada juga "Alam Pertengahan". Apa maksud alam-alam yang berbeza ini?
Jun Wu Yao menyedari raut wajah Jun Wu Xie yang kebingungan lalu menerangkan dengan sabar, "Di bawah Syurga, ada tiga alam semuanya. Alam yang berbeza ini dibahagikan mengikut kuasa menjadi Alam Atasan, Alam Pertengahan dan Alam Bawahan. Sayang datang dari Alam Bawahan dan orang yang menyerang kamu datangnya dari Alam Pertengahan. Kamu masih ingat lagi sewaktu saya sebut tentang Roh Dibaham?"
Jun Wu Xie mengangguk.
"Teknik Roh Dibaham ini tak diketahui oleh orang-orang Alam Bawahan dan hanya ditemui oleh orang-orang dari Alam Pertengahan. Demi meningkatkan kuasa roh berkontrak mereka sendiri, banyak cara yang mereka lakukan dengan mensasarkan roh berkontrak milik orang lain. Pembahaman pelbagai jenis roh berkontrak akan membawa pelbagai kesan dan pengaruh. Dalam kalangan roh berkontrak, yang paling dicari-cari ialah roh berkontrak jenis tumbuhan yang amat disanjung tinggi." Jun Wu Yao mengecilkan mata sewaktu memikirkan hal ini. Berani mereka mensasarkan gadis kesayangannya ini….. Tak cukup nyawa mereka nak bayar hutang ni nanti….
"Roh berkontrak jenis tumbuhan mempunyai kuasa penyembuhan diri yang amat kuat dan jika dibaham, roh jenis ini akan meningkatkan kelajuan perkembangan diri. Sebab itulah roh berkontrak jenis tumbuhan menjadi sasaran paling berharga. Malangnya, kewujudan roh jenis ini juga amat jarang ditemui dan tak ada tanda-tanda menunjukkan kebangkitan roh berkenaan. Ada orang yang menjalani seluruh hidupnya tanpa menyedari roh tumbuhan mereka telah bangkit."
Akibat pembunuhan semua roh tumbuhan tanpa henti oleh Dua Belas Istana,orang-orang yang tidak tahu tentang kebangkitan roh berkontrak mereka dan mampu hidup dalam ketenangan sebenarnya beruntung.
"Memandangkan kamu dapat melarikan diri, Istana Syaitan Api sekarang ini sudah sedar tentang roh berkontrak jenis tumbuhan kamu. Mereka akan hantar lebih ramai orang ke Alam Bawahan untuk mencari kamu." Mata Jun Wu Yao bersinar seperti bara api dan bibirnya mengukir senyuman jahat. Tarikan roh berkontrak jenis tumbuhan ini terlalu menggoda dan mereka akan membayar apa saja harga untuk mencari Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie memandang Jun Wu Yao lalu menyedari semua yang lelaki itu katakan bertepatan dengan kesungguhan dua lelaki asing yang kuat itu untuk membunuh Jun Wu Xie di Puncak Berawan.
Kalau Ye Sha tidak masuk campur dan mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan Jun Wu Xie, dia pasti sudah kehilangan nyawanya di kawasan pergunungan itu.
"Kuasa mereka melebihi roh warna ungu."
Jun Wu Yao menyambung lagi. "Roh berwarna ungu itu cuma kemuncak bagi orang-orang di Alam Bawahan."
Mata Jun Wu Xie menjadi dingin. Hakikat yang dia menjadi sasaran orang sebegitu memang berita yang buruk buatnya.
Kalau mereka menumpukan segala usaha untuk mencarinya, kemungkinan besar dia dapat ditemui. Jun Wu Xie tak banyak masa lagi dan dia perlu meningkatkan kuasanya secepat mungkin.
Apa yang berlaku tempoh hari tak seharusnya berulang!
"Kalau Istana Syaitan Api tidak wujud lagi, tak ada orang akan tahu yang ada roh berkontrak tumbuhan wujud di Alam Bawahan," kata Jun Wu Xie sambil mengangkat kepalanya. Dia sudah menghapuskan Kumpulan Qing Yun. Dia akan lakukan perkara yang sama kepada Istana Syaitan Api!
Kalau roh berkontrak tumbuhan begitu berharga dan jarang ditemui, dua orang lelaki dari Istana Syaitan Api itu tak akan mendedahkan kepada orang lain tentang kewujudan roh berkenaan di Alam Bawahan. Kalau Istana Syaitan Api dimusnahkan, Jun Wu Xie akan selamat.
Jun Wu Yao ketawa besar mendengarkan kata-kata Jun Wu Xie.
Menghapuskan Istana Syaitan Api? Gadis kesayangannya ini suka betul melakukan kemusnahan.
"Untuk menghapuskan Istana Syaitan Api, perkara pertama yang kamu perlu lakukan ialah mencapai roh ungu. Sesiapa sekalipun di Alam Bawahan perlu meningkatkan kuasa rohani mereka ke tahap ungu sebelum dapat masuk ke Alam Pertengahan."
"Roh ungu?" tanya Jun Wu Xie sambil mengecilkan matanya. Lambat laun, dendamnya terhadap Istana Syaitan Api akan terbalas juga!