Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 353 - Saya Ada di Sini Sekarang (2)

Chapter 353 - Saya Ada di Sini Sekarang (2)

Dengan pergerakan sepantas kilat, satu pancaran cahaya membawa angin kencang masuk ke dalam Akademi Phoenix. Jun Wu Yao mengekori kesan intipati Jun Wu Xie yang masih berlegar di ruang udara itu lalu masuk ke sebuah halaman.

Di halaman itu, satu susuk tubuh yang tinggi lampai sedang menanti di dalam hujan.

Jun Wu Yao mengangkat kening melihat seorang lelaki berdiri menghalang laluannya. Dia tersenyum kejam.

Siapa saja yang berani muncul di hadapannya ketika itu hanya akan menghadapi maut!

Namun lelaki berjanggut di halaman itu ibarat dipanah petir sebaik dia terpandang Jun Wu Yao. Matanya terbeliak dalam ketakutan dan dia mula menggeletar dengan tidak terkawal. Sebaik Jun Wu Yao mahu mengangkat tangannya, lelaki berjanggut itu tiba-tiba melutut di hadapannya!

"Tuan!"

Jun Wu Yao mengecilkan matanya. "Kau siapa?"

Ada orang di Alam Bawahan yang mengenalinya?

"Yan Bu Gui dari Istana Seluruh Kehidupan." Lelaki berjanggut itu cepat-cepat menjawab.

Mulut Jun Wu Yao tersenyum kejam dan satu awan kabus hitam terbentuk di bawah Yan Bu Gui, tiba-tiba mengangkat lelaki yang sedang melutut itu ke udara!

"Istana Seluruh Kehidupan, salah satu daripada Dua Belas Istana. Bagus… Aku baru saja tertanya-tanya, siapa di Alam Bawahan ini yang mampu mencederakan kesayangan aku ni."

Pada ketika itu Yan Bu Gui menjadi pucat dan urat-uratnya mula timbul di mukanya.

"Jun Xie….. Saya tak cederakan dia….." Dalam keadaan cemas, Yan Bu Gui memaksa kata-kata itu keluar dari tekaknya yang sedang dicekik. Kalau lewat sedikit sahaja, pasti dia sudah mati di situ juga.

Jun Wu Yao berkerut, tetapi kabus hitam itu mencampakkan Yan Bu Gui ke atas tanah.

"Cakap! Siapa yang lakukan semua ni?"

Batu roh Ye Sha telah musnah dan itu bermaksud dia sudah pun mati. Dia dihantar untuk melindungi Jun Wu Xie. Kematian mengejut Ye Sha menyebabkan timbulnya perasaan gerun di hati Jun Wu Yao. Dia meninggalkan segala-galanya yang sedang dilakukan, tanpa mengira kesannya dan bergegas ke kawasan Kumpulan Qing Yun secepat mungkin.

Di Puncak Berawan, dia hanya melihat keadaan Kumpulan Qing Yun yang sudah musnah. Dia mengekori kesan intipati Jun Wu Xie yang masih tersisa untuk mencarinya.

Tiada siapa tahu sewaktu dia melihat Jun Wu Xie masih hidup dan selamat, mindanya yang sedang menggila serta hatinya yang berkecamuk menjadi tenang serta-merta. Tetapi sewaktu Jun Wu Xie tiba-tiba pengsan di dalam pelukannya, niat membunuh yang mahu memusnahkan segala-galanya, yang sudah dipendamkan selama berkurun lamanya, kembali bebas!

"Orang-orang dari Istana Syaitan Api…." Yan Bu Gui menjawab sambil tercungap-cungap.

"Istana Syaitan Api…." Niat membunuh membara kembali di mata Jun Wu Yao dan seekor ular hitam meluru keluar dari lengan bajunya, terus masuk ke dalam kepala, Yan Bu Gui.

Kesakitan yang menyeksakan meletus di dalam kepalanya. Yan Bu Gui rebah lalu tersentak-sentak dan badannya berpeluh-peluh.

Seketika kemudian, kesakitan itu lenyap sepenuhnya tanpa sebarang kesan. Yan Bu Gui berdiri dengan wajah yang pucat. Badannya terhuyung-hayang.

"Dua Belas Istana itu benar-benar semakin keji. Sekarang ni mereka melakukan kekejaman seperti ini pula. Kau bernasib baik dapat meninggalkan Istana Seluruh Kehidupan hidup-hidup." Ular hitam itu sudah menghantar semua maklumat yang diperolehnya daripada minda Yan Bu Gui kepada Jun Wu Yao. Dia tahu yang Yan Bu Gui tidak menipu. Selain itu, dia juga menemui sesuatu yang agak menarik.

"Terima kasih Tuan kerana tidak mengambil nyawa saya yang hina ini." Yan Bu Gui langsung tidak berasa sakit hati, dia hanya bersyukur kerana masih hidup.

Lelaki di hadapannya ini tidak pernah teragak-agak untuk membunuh. Jumlah orang yang mampu kekal hidup setelah niat membunuh Jun Wu Yao dibangkitkan, amatlah sedikit.

Yan Bu Gui memandang sekilas ke arah Jun Xie yang masih didakap erat oleh Jun Wu Yao dan dia terfikirkan sesuatu.

Jun Wu Yao pastinya tidak mengambil nyawanya kerana dia telah menyelamatkan Jun Xie. Kalau hal ini tidak berlaku, tentu dia sudah tidak bernyawa sekarang ini.

Tetapi sebaliknya, hatinya menjadi dingin memikirkan satu lagi realiti.

Tuan masih hidup…..

Alam Pertengahan akan menghadapi pertumpahan darah yang menyeluruh. Bencana bakal menimpa Dua Belas Istana.

Related Books

Popular novel hashtag