Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 351 - Akademi Phoenix (4)

Chapter 351 - Akademi Phoenix (4)

Hua Yao cepat-cepat mengambil botol ubat itu dari tangan Jun Wu Xie dan meneguknya. Dia sendiri yang membuka balutan luka di badannya. Sambil duduk di atas katil, Hua Yao menyerahkan badannya untuk dirawat oleh Jun Wu Xie tanpa sepatah kata.

Kecederaan Hua Yao berbeza sedikit. Tulang-tulangnya yang banyak tercedera. Jun Wu Xie mengambil lebih banyak masa untuk merawat Hua Yao tetapi masih lagi dapat bergerak pantas.

Sejurus selepas dirawat oleh Jun Wu Xie, Hua Yao dan Qiao Chu nampak lebih sihat dan tidak lagi terlalu pucat.

"Terima kasih," kata Hua Yao ringkas.

Jun Wu Xie membalas dengan menggelengkan kepala dan berjalan mendekati Rong Ruo yang kelihatan pucat. Dia mengambil kembali kucing hitam kecil itu dan mendakapnya.

Melihatkan wajah Jun Xie yang pucat, Qiao Chu dan Hua Yao sedar yang Jun Xie belum lagi pulih sepenuhnya tetapi bertegas mahu merawat mereka berdua. Walaupun Jun Xie tidak berkata apa-apa, mereka faham niat yang tersimpan.

Dengan caranya yang tersendiri, Jun Xie sedang berterima kasih kepada mereka kerana tidak teragak-agak menyokongnya.

"Emm, Xie Kecil, lebih baik kamu duduk bersama-sama kami buat sementara. Pulanglah ke rumah bila kamu dah sihat sikit." Tiba-tiba Qiao Chu bersuara.

"Saya belum nak balik." Jun Wu Xie membalas dengan perlahan. Tuan Guru Hua Yao telah mengatakan yang kolam di sini dapat menyelamatkan Teratai Salji. Jadi Jun Wu Xie tidak tergesa-gesa mahu pulang.

Teratai Kecil telah mengorbankan sebelah tangannya untuk menyelamatkan nyawa Jun Wu Xie. Dia juga memaksa diri untuk bertukar menjadi Teratai Mabuk tanpa menggunakan arak. Intipati rohaninya teruk dimusnahkan oleh lelaki berjubah putih itu. Jun Wu Xie tidak tahu bagaimana mahu menyelamatkan Teratai Salji. Kalau lelaki berjanggut itu boleh melakukannya, Jun Wu Xie sanggup melepaskan segala-galanya demi peluang itu.

Jun Wu Xie benar-benar risau. Selepas melalui situasi yang mendatangkan trauma itu, dia dipaksa untuk sedar yang dunia ini lebih rumit daripada yang dibayangkannya. Kuasa dua orang lelaki misteri itu jauh melangkaui mereka. Malah setelah Hua Yao dan Qiao Chu melepaskan kuasa rohani tahap ungu mereka sekalipun, mereka masih bukan tandingan lelaki berjubah putih itu. Tambahan pula, kuasa lelaki berjubah kelabu itu lebih tinggi daripada lelaki berjubah putih berkenaan.

Ramai pakar yang hebat wujud di dalam dunia ini. Malah jelas sekali yang di luar sana, ada yang lebih kuat daripada kuasa rohani tahap ungu. Berhadapan dengan kekuatan seperti itu, racun-racun Jun Wu Xie tidak cukup berkesan.

Jun Wu Xie mengecilkan matanya yang bersinar dengan cahaya dingin.

Dia bernasib baik sahaja kerana terlepas kali ini, hasil pengorbanan nyawa seseorang. Kalau lelaki berpakaian hitam itu tidak muncul di saat genting dan melakukan letupan itu dengan menggunakan tubuhnya sendiri, dia mungkin sudah mati.

Lain kali?

Sasaran musuh mereka ialah untuk menangkap Teratai Salji miliknya. Selagi Teratai Salji itu ada bersama-samanya, Jun Wu Xie pasti akan bertemu dengan musuh-musuh ini lagi. Dia mungkin tak akan bernasib baik selepas ini!

Dia tidak tahu kenapa mereka mahukan Teratai Salji tetapi dia enggan kekal menjadi sasaran mudah!

Dia mesti menjadi kuat!

Kejadian ini tak boleh berlaku lagi!

Jun Wu Xie tiba-tiba berdiri. Keadaannya yang diam saja tadi membuatkan empat orang lain yang berada di dalam bilik itu turut menjadi senyap. Empat pasang mata itu merenungnya sewaktu dia berdiri.

"Bawa saya ke tempat di mana kamu tanam tulang ular tu," kata Jun Wu Xie sambil memandang Rong Ruo.

Rong Ruo teragak-agak seketika tetapi kemudiannya mengangguk. Dia membawa Jun Wu Xie keluar dari bilik itu.

Di dalam bilik tersebut, Qiao Chu yang selama ini cuba sedaya-upaya untuk nampak bersahaja di hadapan Jun Wu Xie, terus rebah dengan lemah ke katilnya.

Luka di badan mereka berdua lebih teruk daripada apa yang mereka cuba gambarkan. Mujurlah mereka menerima rawatan mujarab Jun Wu Xie tadi. Kalau tidak, pasti mereka sudah pengsan sekarang.

"Kita betul-betul bernasib baik sebab masih hidup." Tiba-tiba Qiao Chu bersuara sambil dia terbaring lemah di atas katil.

Mengingatkan kembali hari kejadian itu, Qiao Chu sudah pun menerima hakikat yang nyawanya akan berakhir di gunung berkenaan.

"Kita tak boleh mati lagi." Hua Yao merenung kosong ke arah siling. Matanya bersinar sekilas dengan kebencian.

Fei Yan mengeluh berat dan senyumannya yang menawan itu lenyap dari wajahnya. "Kalau kamu berdua masih ingat sumpah kita, kamu mesti menghargai nyawa kamu ni. Kita semua akan mati suatu hari nanti, tapi bukan di sini tempatnya."