Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 347 - Berjuang untuk Terus Hidup (3)

Chapter 347 - Berjuang untuk Terus Hidup (3)

Dalam sekelip mata semua orang, kecuali Teratai Mabuk, tercampak akibat letupan pembebasan kuasa rohani!

"Kau semua masih budak-budak lagi, belum cukup kuat untuk membunuh aku." Lelaki berjubah putih itu ketawa dingin sambil matanya membara dengan kemarahan. Tapak tangannya menembusi abdomen Teratai Mabuk dengan satu serangan. Teratai Mabuk menyeringai kesakitan. Tenaga rohani meletus ke dalam badan Teratai Mabuk. Seketika kemudian, badannya longlai dan dia tidak lagi bergerak. Api biru yang menyelubungi Teratai Mabuk mula lenyap dan badannya mula bertukar menjadi cahaya keemasan yang berkilauan. Di dalam tangan lelaki berjubah putih itu, Teratai Mabuk berubah menjadi Teratai Salji yang hampir musnah.

Lelaki berjubah putih tersebut mencampakkan Teratai Salji yang hampir layu itu ke atas badan Jun Wu Xie sambil mencemuh, "Aku akan membuatkan kau semua melalui seksaan yang tak dapat dibayangkan."

Jun Wu Xie terbaring di atas tanah, langsung tidak mampu bergerak. Dia merenung lemah ke arah Teratai Salji yang sudah bergolek merapati pipinya. Bunga yang sepatutnya berwarna putih suci serta bersinar dengan kecantikan yang tidak tercela, kini layu dan kelihatan menyedihkan. Separuh daripada kelopak bunga teratai itu sudah hilang. Nampaknya bila-bila masa saja bunga ini akan mati.

"Tak habis lagi?" Kedengaran satu lagi suara dingin. Lelaki berjubah kelabu muncul di hadapan orang-orang yang berada di kaki gunung itu. Langkah kaki lelaki ini perlahan kerana dia sedang menggenggam serta mengheret Ye Sha yang cedera parah dan tidak sedarkan diri.

"Aku sedang panaskan badan. Dah nak selesai ni," jawab lelaki berjubah putih itu.

Lelaki berjubah kelabu hanya memberikan renungan kurang sabar tetapi tidak berkata apa-apa. 

Tiba-tiba, Ye Sha yang kelihatan tidak sedarkan diri itu mula bertindak!

Dia melepaskan diri daripada cengkaman lelaki berjubah kelabu itu, mengumpulkan seluruh darah kehidupan di tapak tangannya. Satu cahaya merah pekat terbentuk dan meluru ke arah lelaki berjubah putih itu lalu menusuk tepat ke dadanya!

Ye Sha memerah kuasanya habis-habisan dan melepaskan seekor ular hitam yang sangat besar. Ular itu menjalar dengan pantas dan melilit semua orang yang sedang terbaring di atas tanah itu dengan ekornya!

"Cik! Izinkan saya menghantar kamu semua pergi dari sini!"

Sebaik melafazkan kata-katanya, tubuh badan Ye Sha meletup dengan kuat! Letupan yang kuat itu menyelubungi lelaki berjubah kelabu yang berdiri paling dekat dengannya dan mengakibatkan kecederaan parah!

Pada masa yang sama….

Puncak Berawan bergegar!

Ular hitam itu melilit jun Wu Xie dan yang lain-lain dengan ekornya, lalu membawa mereka semua pergi dari gunung itu!

Tiupan angin yang menggila tiba-tiba meraung, mengakibatkan keadaan huru-hara. Kabus hitam yang terhasil menyelubungi seluruh laluan gunung itu. Ada sedikit tompokan merah di kabus itu, hasil darah Ye Sha yang melakukan pengorbanan terulung dengan meletupkan dirinya sendiri.

Jun Wu Xie dililit oleh ekor ular hitam itu, tangannya mendakap Teratai Salji. Matanya yang dingin merenung tepat pada letupan kabus berdarah itu.

Sehingga saat Ye Sha meletupkan diri sendiri demi menyelamatkan dia, Jun Wu Xie langsung tak tahu siapa nama lelaki itu. Siapakah dia…...

Jun Wu Xie tidak mampu lagi kekal sedar akibat trauma berat yang dialami oleh rohnya. Dia akhirnya menyerah kalah dan tak lama kemudian terus tidak sedarkan diri.

…..

Jun Wu Xie tidak tahu berapa lama dia tidur dan bangkit dari lena dalam keadaan terkejut.

Kabus berdarah itu meninggalkan kesan yang mendalam ke atas mindanya. Dia merasakan seolah-olah telah kembali ke tempat di mana dia hampir mati dahulu.

"Kamu dah sedar!" Satu suara yang lembut dan perlahan tiba-tiba terdengar di sisi telinga Jun Wu Xie. Dia memusingkan kepalanya dan terlihat seorang gadis kecil yang kelihatan cantik serta baik sedang duduk di sisi katilnya. Mata gadis kecil itu ibarat kolam yang jernih dan dia tersenyum gembira memandang Jun Wu Xie.

Wajah Jun Wu Xie berkerut sedikit tetapi dia tidak dapat mengesan apa-apa bahaya yang datang dari gadis kecil ini. Jun Wu Xie menundukkan matanya dan terlihat satu susuk tubuh kecil sedang tidur di sebelahnya. Satu suasana yang tidak asing bagi Jun Wu Xie.

Kucing hitam kecil itu sedang nyenyak tidur, badannya diliputi berlapis-lapis pembalut luka. Tubuh kecil itu berlingkar seperti bola dan bersandar di sisi bantal Jun Wu Xie.

"Tuan Guru saya mahu bawa kucing ini keluar untuk mendapatkan rawatan, tetapi ia tak mahu tinggalkan kamu. Jangan risau, Tuan Guru saya sudah pun menstabilkan rohnya yang telah hancur itu dan ia akan sembuh setelah melalui satu tempoh rawatan serta berehat." Gadis kecil yang comel ini menyedari arah pandangan Jun Wu Xie lalu tersenyum mesra.