Mata Qin Yue yang merah itu merenung tepat pada Jun Wu Xie, penuh kebencian dan kesakitan. Tiada siapa yang boleh membayangkan kesakitan yang Qin Yue rasai. Dia tak boleh bergerak dan sakit yang menyeksakan merebak ke seluruh badannya tanpa henti, hampir membuatkan dia menjadi gila.
Tak pernah dia terfikir yang seksaan tanpa perikemanusiaan ini boleh dikenakan atas seseorang.
Dia merasakan seolah-olah berjuta-juta semut sedang menggigit tulang-tulangnya perlahan-lahan, sedikit demi sedikit. Dagingnya seperti hancur bersama-sama tulang. Pada ketika itu, Qin Yue hanya berharap maut akan cepat menjemputnya!
Kesakitan yang dirasai di bawah seksaan ular tulang berkepala dua itu tadi tak mungkin dapat dibandingkan dengan seksaan tidak terbayang yang sedang dia alami sekarang!
Sudah beberapa kali dia hampir pengsan sepanjang seksaannya ini tetapi jarum perak yang dicucuk pada badannya itu membuatkan dia kekal sedar dan tidak membenarkan dia mendapatkan kelegaan.
Walaupun hanya seketika masa yang berlalu, Qin Yue merasakan seperti sudah setahun lamanya. Akibat dipaksa kekal sedar, kesakitannya itu membuatkan dia begitu mengharapkan kematian. Malangnya pintu menuju maut itu tertutup buatnya.
Dalam tempoh itu, semangat Qin Yue hancur menjadi debu dan darah membasahi mulutnya. Raungannya tidak berhenti sehingga akhirnya dia bersuara.
"Dalam bilik bacaan aku, di bawah batu yang ada di sebalik kerusi!"
Biarkan maut datang!
Datang cepat!
Seksaan ini terlalu berat untuk ditanggung dan dia tidak dapat bertahan sesaat lagi!
Dia kesal!
Benar-benar kesal!
Kalaulah dia tahu hari ini akan tiba, dia tak akan merampas kedudukan Pemerintah! Dia akan berpuas hati menjadi pengikut biasa saja dan tidak mengalami seksaan ini!
Jun Wu Xie berpusing memandang Hua Yao. Pemuda tampan itu terpegun seketika sebelum memberi tabik genggam kepada Jun Wu Xie. Kemudian Hua Yao dan Qiao Chu cepat-cepat beredar menujut bilik bacaan Qin Yue untuk mengambil peta berkenaan.
Di dalam dewan utama itu, Jun Wu Xie memandang semua Tuan Tua yang pucat lesi dan sedang menggigil. Mereka semuanya sedang terbeliak merenung Qin Yue yang menjerit-jerit meminta nyawanya dicabut. Selepas itu Jun Wu Xie memandang Mu Chen sambil tersenyum.
"Kamu nak buat sendiri?"
Mu Chen mengecilkan matanya, pandangannya kelihatan kejam. Dia merenung Qin Yue yang sedang terbaring sambil menggigil-gigil itu. Tidak ada sedikit pun perasaan simpati yang muncul dalam hatinya.
Mungkin Qin Yue kelihatan amat menyedihkan pada ketika itu, tetapi perasaan belas kasihan ini ditenggelami sepenuhnya oleh kebencian!
Mu Chen tak akan boleh lupa saat ibu bapanya mati di hadapan Qin Yue akibat telah diracun. Dia masih ingat dengan jelas wajah Qin Yue ketika itu, ekspresi wajah yang dipenuhi kejahatan dan kejayaan. Dia juga teringatkan tentang Tuan Tua lain yang masih setia kepada mantan Pemerintah. Qin Yue membunuh mereka tanpa belas kasihan, seorang demi seorang.
Qin Yue tak layak hidup!
Tetapi kematiannya juga tidak boleh begitu mudah!
Satu nyawanya ini tak dapat membalas dosa sepanjang hidupnya!
Qin Yue telah menghancurkan hidup Mu Chen dan memusnahkan Kumpulan Qing Yun!
"Tidak, saya mahu dia hidup sehingga ke saat akhir dan berasa terseksa," kata Mu Chen sambil mengetap giginya. Matanya bersinar terang, penuh perasaan benci.
Jun Wu Xie tidak berkata apa-apa lagi dan berpaling membelakangkan Qin Yue. Dia membenarkan Mu Chen bersendirian, menikmati pembalasan dendam ini perlahan-lahan. Jun Wi Xie tidak mahu mencuri saat-saat manis ini.
Qin Yue menyangkakan sebaik dia mendedahkan lokasi peta itu, dia akan terlepas dari seksaan. Tetapi jawapan Mu Chen menyebabkan Qin Yu patah hati. Pemerintah yang dihormati dari kumpulan terkuat di dunia kini hanya terlantar di atas lantai sambil menggigil-gigil Badannya menggeliang-geliut kesakitan.
Matanya merayu agar diberikan kematian yang pantas.
Tetapi sehingga masanya habis dengan sendirinya, impian membara ini tidak akan ditunaikan.
Kedengaran bunyi gong, menandakan sudah masuk waktu tengah hari. Matahari ketika ini berada di kedudukan tertinggi. Bahang kepanasan mula dirasakan dan kabus-kabus racun tiba-tiba tersebar di seluruh sebelas kawasan Punca Berawan. Para pengikut Rumah Dalaman tidak sedar bahaya yang sedang menghampiri mereka. Semuanya sedang makan sambil berlagak dengan jenayah yang pernah mereka lakukan.
Jun Wu Xie menundukkan pandangannya. Dengan sekali cabut, Jun Wu Xie mengeluarkan jarum-jarum yang membantu Qin Yue kekal hidup selama ini!
Tanpa jarum-jarum itu, mata Qin Yue terjojol dan badannya tersentak kuat. Akhirnya dia menghembuskan nafas terakhirnya!