Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 320 - Kambing Biri-biri Bertukar Menjadi Pemangsa (4)

Chapter 320 - Kambing Biri-biri Bertukar Menjadi Pemangsa (4)

Mu Chen menarik nafas dengan dalam. Sewaktu Jun Wu Xie mengatakan, 'Orang yang dah mati tak boleh buat apa-apa pada saya' tadi, Mu Chen ada terfikirkan kemungkinan ini. Tetapi kini setelah Jun Wu Xie mengesahkannya, hal sebenar ini tetap membuatkan dia amat terkejut.

"Walaupun Ke Cang Ju tidak mempunyai sebarang kuasa rohani, dia amat hebat dalam penggunaan racun. Macam mana kamu dapat membunuhnya?" Mu Chen berasa amat ingin tahu. Sewaktu Mu Chen masih muda, dia ada terfikir untuk membunuh Ke Cang Ju demi membalas dendam ke atas pembunuhan kejam bapanya. Namun begitu, himpunan racun milik Ke Cang Ju telah menghalang Mu Chen daripada berbuat demikian.

Jun Xie yang berada di depan matanya ini hanyalah seorang budak muda! Walaupun dia ada dua orang bersama-sama dengannya, berdasarkan suara dan kulit halus orang yang menyamar sebagai Ke Cang Ju itu, dia hanyalah sekitar usia Qiao Chu.

Ke Cang Ju yang amat ditakuti serta menggerunkan itu dibunuh oleh tiga orang anak muda ini? Memang sukar dipercayai.

Qiao Chu yang sedang berdiri di tepi tersenyum sinis dalam diam. Ke Cang Ju itu handal menggunakan racun? Itu sebelum dia bertemu dengan Jun Xie. Pemuda itu dapat mengalahkan Ke Cang Ju sepenuhnya. Jun Xie sendiri langsung tidak berjaya diapa-apakan!

Qiao Chu tiba-tiba terbayang wajah Ke Cang Ju sewaktu dia mati dan berasa seram sejuk.

Jun Xie ini ibarat kambing biri-biri yang menelan pemangsa sepenuhnya sehingga ke tulang!

"Bagaimana dia dibunuh bukan lagi hal yang penting. Apa yang penting ialah dia sudah mati dan Hua Yao sudah mengambil alih tempatnya sebagai pemimpin Puncak Awan Tersembunyi." Jun Wu Xie berkata dengan ringkas kerana dia tak mahu menerangkan dengan lebih jelas.

Mu Chen tidak bertanya lebih lanjut. Selepas mengetahui matlamat Jun Wu Xie dan mengesahkan yang dia mempunyai kemahiran untuk menyingkirkan Ke Cang Ju, Mu Chen sudah mula percayakan pemuda itu.

Hakikat yang Jun Wu Xie sudah membunuh Ke Cang Ju saja sudah cukup membuatkan Mu Chen terhutang budi kepadanya. Jun Wu Xie telah membalas dendam ke atas kematian kejam ayah Mu Chen bagi pihaknya!

"Niat kamu untuk menghapuskan Kumpulan Qing Yun mungkin tidak begitu mudah kerana Qin Yue begitu berhati-hati dalam melindungi dirinya. Semua pakar handalan berada di Puncak Awan Biru, kawasan puncak gunung yang dikawal oleh Qin Yue. Pakar roh biru sekalipun hanya menempah maut jika dia menyerang Qin Yue. Kamu tak akan dapat mendekati Qin Yue, apatah lagi membunuhnya, melainkan kamu ada pakar roh ungu bersama-sama kamu." Kening Mu Chen berkerut. Kalau Qin Yue begitu mudah dibunuh, Mu Chen tidak perlu menahan penindasannya selama bertahun-tahun.

"Kami tak peduli dengan semua tu. Jumlah pakar handalan yang ada tak mengubah apa-apa dalam rancangan kami." Qiao Chu merungut dari tepi. Ke Cang Ju yang amat mahir dalam penggunaan racun itu juga tumbang di tangan Jun Xie tanpa pemuda itu perlu mengangkat sebarang senjata sekalipun. Susah sangat ke nak berhadapan dengan pakar handalan yang hanya kuat tubuh badan tapi tidak begitu bijak?

Mu Chen berpusing ke arah Qiao Chu. Dia merenung pisau belati yang masih lagi ditekan pada leher pengikutnya dan wajahnya serta-merta menjadi marah.

"Memandangkan matlamat kita sama, boleh tak kamu lepaskan pengikut saya sekarang?" tanya Mu Chen sambil mengetap giginya.

Qiao Chu tidak bergerak, tetapi berpaling memandang Jun Xie. Hanya selepas Jun Xie mengangguk barulah Qiao Chu menyimpan kembali pisau belatinya. Dia kemudiannya mengangkat pengikut Mu Chen yang masih pengsan itu, membawanya keluar dan meletakkannya di atas tanah.

Mulut Mu Chen menggerenyet, tetapi dia tidak berkata apa-apa.

"Kamu tak perlu buat apa-apa untuk membunuh Qin Yue, saya akan uruskannya. Malah dalam hal kemusnahan Kumpulan Qing Yun juga tak banyak yang kamu perlu lakukan. Kamu hanya perlu menjadi batu api kepada Tuan Tua lain sehingga kemarahan mereka memuncak. Itu saja sudah cukup," kata Jun Wu Xie perlahan-lahan. Penyamaran sempurna Hua Yao sebagai Ke Cang Ju sudah menjimatkan usaha mereka. Jun Wu Xie juga tak perlu menjalankan rancangan asalnya yang melibatkan Mu Chen.

Penglibatan Mu Chen akan melancarkan lagi perjalanan rancangan mereka. Ini kerana hanya Mu Chen dari Puncak Menjejak Awan saja yang masih bersih di dalam Kumpulan Qing Yun yang sudah rosak teruk itu. Mungkin Jun Xie merancang untuk menghapuskan Kumpulan Qing Yun sepenuhnya, tetapi dia masih lagi berpegang pada prinsipnya. Dia tak akan mengapa-apakan orang yang tidak bersalah.