Bukan pengikut Puncak Menjejak Awan saja yang akan terselamat, pengikut Rumah Luaran Kumpulan Qing Yun juga begitu. Mereka ini bukannya pengikut rasmi Kumpulan Qing Yun, jadi tak perlulah orang-orang tak bersalah ini menjadi mangsa.
"Menjadi batu api?" Mu Chen bingung.
Jun Wu Xie menerangkan, "Sepanjang tempoh ini, Ke Cang Ju begitu bangga menunjuk-nunjukkan kuasa yang yang Qin Yue berikan kepadanya. Dia juga telah menyinggung perasaan semua Tuan Tua Kumpulan Qing Yun. Qin Yue amat melindungi Ke Cang Ju dan ini membuatkan Tuan Tua lain berasa tertekan. Kalau anak mantan Pemerintah menonjolkan diri sekarang ini, saya percaya Tuan Tua lain akan merebut peluang untuk menyokong kamu dan menimbulkan kekecohan di dalam Kumpulan Qing Yun. Pada ketika itu, pemerintahan Qin Yue di dalam Kumpulan Qing Yun akan berakhir."
"Bagaimana kamu mahu lakukannya?" Semakin lama dia mendengar, semakin terkejut Mu Chen dibuatnya. Kini dia sedar yang kekacauan yang sedang berlaku di dalam Kumpulan Qing Yun adalah disebabkan oleh tiga orang pemuda ini. Kalau tak salah tekaan Mu Chen, orang yang membuat keputusan di antara mereka bertiga ialah budak yang paling muda sekali iaitu Jun Xie!
Dia berjaya melakukan sesuatu yang berskala besar seperti ini pada usia yang begitu muda. Mu Chen tak dapat membayangkan dalam suasana bagaimanakah Jun Xie dibesarkan.
Mu Chen juga tertanya-tanya betapa kuatnya Keluarga Jun ini sehinggakan mereka berani menentang kumpulan terhebat di seluruh dunia iaitu Kumpulan Qing Yun!
"Kalau saya terangkan sekalipun, kamu tak akan faham." Jun Wu Xie melambaikan tangannya dengan letih. Dia benar-benar tak pandai menerangkan sesuatu dengan terperinci.
Memandangkan Jun Xie enggan berkata apa-apa lagi, Mu Chen berhenti bertanya.
"Selepas Kumpulan Qing Yun dihapuskan, ia tak akan wujud lagi. Kalau kamu tak ada urusan penting atau tempat lain yang harus dituju, kamu boleh ke Istana Lin di Kerajaan Qi." Jun Wu Xie sudah memikirkan hal ini dan membuat keputusan untuk memberikan Mu Chen alternatif lain setelah semuanya selesai. Dia yakin Mu Chen tidak berniat mahu terus berada di dalam Kumpulan Qin Yun yang sudah rosak di bawah pemerintahan Qin Yue.
Mungkin Mu Chen masih muda, tetapi dia mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang dihormati dalam bidang pemupukan dan perkembangan urat darah serta arteri. Tak kira betapa tingginya kemahiran Jun Wu Xie dalam bidang perubatan, dia tak dapat membahagikan dirinya. Menjaga keperluan perubatan Tentera Rui Lin yang berjumlah seratus ribu orang itu memerlukan lebih daripada kekuatan Jun Wu Xie seorang.
Kalau dia boleh mendapatkan pertolongan daripada Mu Chen dan para pengikutnya, Tetera Rui Lin akan dapat mencapai peningkatan dengan lebih cepat lagi!
Jun Wu Xie tidak merancang untuk meningkatkan kekuatan dirinya sahaja, tetapi kekuatan setiap orang di dalam Tentera Rui Lin juga. Hanya apabila Keluarga Jun mempunyai banyak kelebihan di dalam tangan mereka barulah Jun Wu Xie dapat memastikan datuk dan pak ciknya boleh hidup senang-lenang tanpa sebarang kebimbangan.
Mu Chen merenung Jun Wu Xie dan diam seketika. "Kalau kamu bantu saya bunuh Qin Yue, saya akan bawa orang-orang saya ke Istana Lin dan tinggal di sana selama tiga tahun. Sepanjang tempoh itu, saya akan berusaha sehabis baik untuk membalas budi kamu."
Jun Xie sudah membunuh Ke Cang Ju dan jika dia dapat membunuh Qin Yue juga, dendam Mu Chen akan terbalas. Dia tak mahu terhutang budi dengan Jun Xie, jadi dia membuat keputusan untuk membayar budi ini dengan kemahiran perubatannya.
"Baiklah, saya anggap itu perjanjian kita." Jun Wu Xie mengangguk puas hati. Dia tidak peduli yang Mu Chen dapat mengagak niat di sebalik tawarannya tadi.
Orang yang bijak tahu apa yang perlu dilakukan tanpa perlu disuruh.
Perbincangan mengenai pakatan rahsia mereka sudah tamat tetapi Mu Chen masih lagi teragak-agak untuk pergi begitu sahaja. Dia berpusing menghadap Jun Wu Xie lalu berkata, "Berita saya meluru masuk ke Puncak Awan Tersembunyi pasti sudah tersebar ke telinga Tuan Tua lain. Saya tak boleh keluar dari sini begitu saja."
Jun Wu Xie mengeluarkan sebiji eliksir dan mencampakkannya ke arah Mu Chen.
"Telan."
Mu Chen menelan eliksir itu tanpa ragu-ragu. Kemudian dia melangkah keluar untuk membawa pulang pengikutnya yang masih tidak sedarkan diri itu.
"Apa yang kamu beri pada dia?" Qiao Chu merenung Mu Chen yang berlalu pergi itu. Perasaan ingin tahunya memuncak-muncak sewaktu dia mendesak Jun Wu Xie memberitahunya.
"Mu Chen dan Ke Cang Ju sudah lama bermusuh. Ke Cang Ju tak akan benarkan Mu Chen membawa pulang pengikutnya dengan begitu mudah. Jadi...Mu Chen perlu membayar harganya." Jun Wu Xie menundukkan pandangannya. Mereka perlu berlakon dengan sempurna. Mu Chen akan menjadi sekutu yang bagus dan dia lebih bijak berbanding Mo Qian Yuan.