Mu Chen berpusing tanpa sedar dan memandang "Ke Cang Ju". Lelaki ini ialah orang kanan Qin Yue yang paling dipercayai. Kalau kata-kata Jun Xie tadi sampai ke telinga Qin Yue, anak muda ini tak akan selamat.
Amat mengejutkan yang "Ke Cang Ju" langsung tidak memberikan reaksi. Seolah-olah dia tidak peduli dengan kata-kata itu.
"Kamu tak mahu lakukannya? Membalas dendam untuk ayah kamu? Menghapuskan Kumpulan Qing Yun yang sudah rosak teruk?" Jun Xie bertanya kepada Mu Chen.
Mu Chen berpaling untuk memandang Jun Wu Xie. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu, "Kamu ni ahli Keluarga Jun dari Kerajaan Qi?"
"Ya."
Akhirnya Mu Chen faham kenapa Jun Wu Xie begitu membenci Kumpulan Qing Yun. Berita kematian Qin Yu Yan dan Jiang Chen Qing sudah tersebar ke seluruh Kumpulan Qing Yun. Walaupun Qin Yue tidak pergi ke Kerajaan Qi untuk membalas dendam, dia pasti sudah bertekad yang Kerajaan Qi itu harus dihapuskan.
Tindakan Jun Xie ke atas Kumpulan Qing Yun adalah didorong perasaan ingin melindungi Keluarga Jun.
"Tidakkah tindakan kamu ni terlalu berani? Kalau Qin Yue dapat tahu tentang latar belakang kamu, tak mungkin kamu dapat meninggalkan tempat ini," kata Mu Chen dengan bimbang. Dia tak ada permusuhan dengan Jun Xie. Tetapi seperti yang Jun Xie katakan, kebencian Mu Chen terhadap Qin Yue tidak kurang berbanding apa yang Jun Xie rasakan.
Jun Wu Xie mengangkat bahunya dan membalas, "Saya datang sejauh ini ke Kumpulan Qing Yun dan sudah terlalu banyak saya lakukan, jadi sia-sia saja saya terlalu memikirkannya. Kalau Kumpulan Qing Yun terselamat, saya pasti akan mati. Tapi saya benar-benar yakin yang saya akan meninggalkan Puncak Berawan ini hidup-hidup."
Datuk dan pak cik Jun Wu Xie masih menantikan kepulangannya ke Istana Lin. Jadi, dia tak akan gagal. Dia tak boleh gagal!
"Ke Cang Ju dan Qin Yue ada hubungan yang amat baik. Kamu tak takut dia akan menentang kamu?" Mu Chen cuba memberikan kiasan sambil berpusing untuk memerhatikan "Ke Cang Ju" yang hanya diam sahaja. "Ke Cang Ju" kelihatan berbeza pada ketika ini, tetapi dia dan Qin Yue itu sama sahaja perangai mereka.
Mu Chen seolah-olah tidak percaya yang Jun Xie nampaknya tak kisah mendedahkan segala rancangannya di hadapan "Ke Cang Ju". Mu Chen juga hairan melihatkan "Ke Cang Ju" tidak memberikan reaksi apa-apa.
Mata Jun Wu Xie menjadi dingin dan dia berkata dengan perlahan, "Orang yang dah mati tak boleh buat apa-apa pada saya."
Mu Chen merenung kosong pada Jun Xie, tak faham apa yang pemuda itu maksudkan.
"Maaf ya, tapi saya bukan Ke Cang Ju yang kamu maksudkan," Hua Yao mencelah tiba-tiba dan menggulung lengan bajunya. Tanpa disembunyikan oleh lengan baju itu, kulit tangan Hua Yao yang tidak diubah didedahkan kepada Mu Chen. Kulit lengannya yang licin dan cerah itu amat berlawanan dengan kulit tapak tangannya yang kasar dan berkedut. Perbezaan yang amat ketara ini menjelaskan segala-galanya pada Mu Chen.
"Kamu bukan Ke Cang Ju?" Mu Chen kedengaran seperti tidak percaya. Dia tidak banyak bertemu dengan Ke Cang Ju, tetapi dia masih ingat wajah hodoh itu. Lelaki di hadapannya ini, sama ada dari segi perwatakan atau bentuk badan, nampak sama seperti Ke Cang Ju. Mu Chen percaya yang Qin Yue sekalipun tak akan dapat membezakannya.
"Bukan," kata Hua Yao.
"Mana mungkin? Tak ada teknik yang wujud dalam dunia ini untuk membolehkan seseorang itu meniru penampilan orang lain sepenuhnya!" Mu Chen tak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tetapi hakikatnya, lelaki di hadapannya ini memang amat serupa dengan Ke Cang Ju. Tak kira betapa telitinya penyamaran ini dilakukan, dia tak pernah dengar tentang peniruan yang menyeluruh ini sebelum ini!
"Kalau begini, bagaimana?" Jun Wu Xie menjeling sekilas dan Hua Yao mengangkat tangan kanannya ke mata Mu Chen. Dia menunjukkan ruas jarinya kepada Mu Chen sebelum menambah kepanjangan jarinya itu. Mata Mu Chen terbeliak dan dia tak mampu berkata apa-apa selepas Hua Yao memendekkan jarinya kembali ke saiz normal.
Lama Mu Chen terdiam kerana dia tak pernah bertemu sesiapa pun yang boleh menukar struktur tulang mereka sesuka hati.
"Kalau kamu bukan dia, di mana Ke Cang Ju sebenar?" tanya Mu Chen.
Jun Wu Xie merenungnya dan berkata dengan bersahaja, "Dah mati."