Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 311 - Ketakutan Tersebar (2)

Chapter 311 - Ketakutan Tersebar (2)

Wajah Gao Xiong menjadi pucat. Maksud kata-kata itu jelas sekali. Ke Cang Ju menyatakan dengan terang-terangan yang dia tidak akan beredar tanpa ada pengikut Puncak Awan Abu yang mengikut dia pulang. Puncak Awan Abu sudah kehilangan sayap pelindung Jiang Chen Qing. Kalau Gao Xiong berkeras mahu menentang Ke Cang Ju, dia pula yang akan berada dalam masalah!

"Sila…..sila ikut jalan ni, Tuan Tua Ke." Gao Xiong mengeraskan hatinya sewaktu mengucapkan kata-kata yang dibencinya itu.

Hua Yao mengangguk puas hati dan membawa Jun Wu Xie serta Qiao Chu masuk ke dalam Puncak Awan Abu dan berjalan-jalan di dalamnya.

Mereka bertiga menarik perhatian penuh rasa ingin tahu dari para pengikut Puncak Awan Abu. Beberapa ketika kemudian, Gao Xiong mendedahkan tujuan Tuan Tua Ke datang melawat ialah untuk "memilih" beberapa orang pengikut dalam kalangan mereka. Berita itu tersebar dengan pantas.

Pada ketika itu, pandangan penuh ingin tahu itu bertukar menjadi marah. Mereka semua dapat merasai bahaya yang bakal menimpa. Semuanya sedar akibat jika mereka dipilih dan apa niat sebenar Ke Cang Ju.

Jika dipilih dan dibawa balik ke Puncak Awan Tersembunyi, mereka hanya akan menghadapi nasib menerima seksaan yang dahsyat.

Semua pengikut itu berdua agar Tuan Tua Ke tidak "terpikat" dengan mereka.

Qiao Chu mengekori Hua Yao dan memerhatikan para pengikut yang ketakutan. Dia tiba-tiba berasa seperti penjual daging yang mahu memilih binatang ternakan. 

"Kenapa saya rasa seperti penjahat?" Qiao Chu bertanya sambil menggosok-gosok hidungnya.

"Kalau mereka diberi peluang untuk membalas, mereka pula yang akan jadi penjahat. Sebab mengapa kamu kasihankan mereka sekarang ialah kerana kita memegang kelebihan kini dan mereka yang menjadi mangsa. Mereka hanya boleh menurut kehendak kita. Kalau tak kerana kepintaran Jun Xie, kita pula yang akan dihukum dan menjadi mangsa." Hua Yao langsung tidak berasa bersalah. Dia sudah berada di dalam Kumpulan Qing Yun lebih awal daripada Qiao Chu. Dalam masa yang singkat selama setengah bulan itu, dia sudah menyaksikan sisi buruk tersembunyi kumpulan terkuat di dunia ini.

Para pengikut yang mengundang simpati sambil menggigil ketakutan di hadapan mereka sekarang ini begitu sombong dan ego sebelum ini.

Ada beberapa buah kampung di bawah Puncak Berawan dahulu. Tetapi kini kampung-kampung itu semua sudah lenyap dan tidak ada seorang pun penduduk kampung yang masih ada. Ke mana mereka pergi? Mengapa mereka hilang?

Orang-orang di dalam Puncak Berawan ini semuanya bersalah.

"Betul cakap kamu. Kalau begitu, saya memilih untuk menjadi penjahat sejak mula lagi. Kalau penjahat sebenar mengambil tindakan ke atas saya dulu, saya tak akan membiarkan diri saya menjadi mangsa." kata Qiao Chu sambil ketawa.

Menunjukkan belas kasihan terhadap Kumpulan Qing Yun?

Jangan berguraulah. Pengikut Puncak Awan Tersembunyi itu bukan sahaja tak pernah bersimpati dengan rekrut baru yang diseksa oleh Ke Cang Ju sehingga mati, malah mereka turut bersubahat dalam perbuatan jahat ini.

Pengikut Kumpulan Qing Yun semuanya sudah kehilangan hati nurani mereka.

Di dalam seluruh Kumpulan Qing Yun, sesiapa yang masih mempunyai perikemanusiaan sudah dibunuh oleh kumpulan yang dikatakan sebagai terkuat di dunia ini.

Hua Yao dan Qiao Chu berbisik-bisik dan Jun Wu Xie memerhatikan mereka dalam diam. Dia sudah mendengar perbualan mereka dan dia mengangkat keningnya sambil terus merenung dua orang pemuda itu. Jun Wu XIe nampaknya sedang berfikir dengan mendalam.

Mereka berdua ini muda sedikit daripada Mo Qian Yuan. Tetapi nampaknya fikiran mereka lebih matang.

Sekutunya kali ini mungkin tidak terlalu sukar untuk diuruskan.

Mereka bertiga merayau-rayau di dalam Puncak Awan Abu selama setengah hari sehingga membuatkan para pengikut di sana hampir hilang akal kerana ketakutan. Akhirnya dengan bersahaja, mereka memilih dua orang pengikut Puncak Awan Abu.

Kedua-dua orang pengikut yang terpilih itu terus melutut. Wajah mereka pucat dan air mata mereka mengalir deras. Mata mereka merayu-rayu penuh harapan kepada Gao Xiong yang sedang berdiri di satu sisi sambil memerhatikan apa yang sedang berlaku. Hati Gao Xiong meronta-ronta penuh seksaan.

Gao Xiong hanyalah pelajar paling senior di bawah Jiang Chen Qing. Dia tak ada apa-apa kuasa dan dia juga tak berani menentang arahan Ke Cang Ju. Tambahan pula, mereka sudah kehilangan perlindungan Jiang Chen Qing. Gao Xiong hanya mampu memandang saja mata dua orang pengikut itu yang sedang merayu padanya. Dia mengekalkan ekspresi wajah yang tegas sewaktu menghantar Ke Cang Ju keluar dari Puncak Awan Abu.