"Oh? Untuk siapa?" Hua Yao bertanya dengan bersahaja.
Qin Yue menarik nafas panjang, menahan perasaan marah yang meluap-luap di dalam dadanya.
"Yu Yan dan Tuan Tua Jiang sudah mati."
Hua Yao kaku seketika. Qin Yu Yan yang Qin Yue sebutkan tadi ialah satu-satunya anak perempuan Pemerintah ini. Dia amat memanjakan anak perempuannya dan menggunakan sepenuh kuasanya untuk memberikan Qin Yu Yan apa saja yang dia mahukan. Sebagai Cik Sulung Kumpulan Qing Yun, Qin Yu Yan merupakan buah hati semua pengikut di situ dan amat disayangi. Wajahnya yang mesra dan cantik itu amat mirip dengan Qin Yue.
Hua Yao pernah bertemu dengan Qin Yu Yan sewaktu dia pertama kali menyusup masuk ke Kumpulan Awan Tersembunyi untuk mencari peta itu. Ketika dia sedang bersembunyi di sebalik bayang-bayang, dia terlihat Qin Yu Yan dan Ke Cang Ju menyeksa anak-anak muda yang tidak berdosa, di dalam ruang bawah tanah itu. Wajah Qin Yu Yan yang cantik itu hanya topeng dan dia sebenarnya bersubahat dengan Ke Cang Ju. Wajahnya yang cantik dan kelihatan baik itu amat berlawanan dengan Ke Cang Ju. Tetapi, sama seperti Qin Yue, dia juga bersekongkol dalam rahsia dan melakukan kekejaman bersama-sama dengan Ke Cang Ju yang hodoh dan menakutkan itu.
Tetapi dia ialah anak kesayangan Qin Yue, macam mana dia boleh tiba-tiba terbunuh?
Kucing hitam kecil di atas meja itu menggerakkan telinganya dan membuka matanya perlahan-lahan. Sewaktu kucing itu merenung Qin Yue, sekilas pandangan benci muncul di matanya
Qin Yue telah menerima berita kematian Qin Yu Yan lebih awal daripada jangkaan Jun Wu Xie.
"Kerajaan Qi yang kecil itu begitu melampau mempersendakan kita begini! Keluarga Jun tak guna tu berani membunuh Yu Yan! Aku mahu seluruh keluarga itu mati dan dikerat-kerat! Ke Cang Ju, berikan aku racun yang paling hebat kau pernah hasilkan! Aku mahu Keluarga Jun dan Keluarga Diraja Qi dikuburkan bersama-sama anak aku!" Rahang Qin Yue diketap kuat, kemarahannya hampir menguasai dirinya. Dia bukannya muda lagi, sudah separuh abad usianya. Hanya Qin Yu Yan, anak perempuan tunggalnya itulah yang dia ada. Anak paling disayanginya itu dibunuh dengan kejam, jauh di Kerajaan Qi. Perasaan marah dan terhina yang dirasai mendorong perasaan yang kuat di dalam hatinya untuk mengetuai satu pasukan dan menyerang Kerajaan Qi. Dia mahu memusnahkan musuh-musuhnya.
Hua Yao terkejut setelah mendengar bebelan Qin Yue dan terfikirkan sesuatu yang sukar dipercayainya. Dia menjeling dengan bersahaja ke arah kucing hitam itu dan perasaan syak di dalam hatinya menjadi semakin kuat.
Keluarga Jun….. Bukankah Jun Xie berkongsi nama keluarga yang sama?
Bukankah Qiao Chu juga bertemu dengan Jun Xie pertama kalinya di Bandar Diraja Kerajaan Qi?
Selama ini, Hua Yao berasa ingin tahu tentang apa yang menyebabkan Jun Xie begitu membenci Kumpulan Qing Yun sehingga mahu menghapuskan mereka sepenuhnya. Nampaknya sekarang ini, apa yang disyakinya benar. Jun Xie berkait rapat dengan Keluarga Jun yang telah membunuh Qin Yu Yan. Niat Jun Xie untuk menghapuskan Kumpulan Qing Yun itu ialah untuk menyerang musuh sementara mereka masih belum bersedia.
Dalam situasi sebegini, kalau Kumpulan Qing Yun masih wujud, Keluarga Jun yang akan dihapuskan!
Sebagai rakan sekutu, tak kiralah jika Jun Xie ada kaitan dengan Keluarga Jun yang disebutkan, Hua Yao membuat keputusan bertanya lebih lanjut bagi pihak Jun Xie, "Kau tak perlukan aku pun untuk buat kerja ni. Tak cukupkah dengan menggunakan askar upahan mahir di dalam Kumpulan Qing Yun ini untuk memusnahkan mereka sepenuhnya?"
Kedengaran bunyi ketawa dingin dari Qin Yue, "Kematian sebegitu terlalu mudah buat mereka. Aku mahu mereka terseksa, lebih teruk dari mati! Aku mahu bawa mereka balik ke Kumpulan QIng Yun dan buat mereka rasa seksaan yang dahsyat yang akan kenakan sehingga mereka merayu untuk dibunuh! Itu saja yang dapat melegakan kemarahan dan kebencian dalam hati aku ni!"
Mereka yang membunuh Yu Yan tak boleh dibiarkan hidup! Kalau pembunuh-pembunuh itu tidak diseksa, roh anaknya tak akan tenang!
Hua Yao mengangguk, seolah-olah bersetuju.
Roh Jun Wu Xie di dalam kucing hitam kecil itu mengecilkan mata setelah mendengar kata-kata Qin Yue. Dia menghargai tindakan Hua Yao yang bertanya tadi. Sekarang dia tahu yang Qin Yue tak berniat untuk menghantar pasukan tentera ke Kerajaan Qi.
Tetapi kalau dia hantar sekalipun, Jun Wu Xie tetap akan meneruskan rancangannya.
Hakikat yang Jun Wu Xie berani meninggalkan Kerajaan Qi bermaksud dia mempunyai keyakinan penuh. Sebelum dia dapat menghapuskan Kumpulan Qing Yun, tak kira siapa sekalipun yang Qin Yue hantar, mereka tak akan dapat menyentuh Keluarga Jun.