Kucing itu boleh bercakap!!
Dengan suara yang sama seperti suara Jun Xie!
Qiao Chu hampir terjatuh dari kerusinya. Mulutnya ternganga.
Hua Yao turut terkejut. Wajahnya yang sudah ditukar untuk menyerupai Ke Cang Ju itu kelihatan amat hodoh.
"Xie Kecil?" Wajah Qiao Chu yang terkejut menjadi pegun dengan begitu lama, sebelum dia dapat bersuara semula lalu bertanya dengan teragak-agak.
"Hmm." Kucing hitam kecil itu mengiakan.
Qiao Chu masih dapat merasakan dirinya menjerit di dalam hati!
"Abang Hua, pukul saya sekali. Mana tahu saya masih bermimpi." Qiao Chu hampir hilang akal.
Hua Yao menerima pelawaan itu dan menampar muka Qiao Chu dengan kuat!
Bunyi tamparan itu hampir dapat didengar di puncak gunung sebelah!
"Sakit tak?" tanya Hua Yao dengan licik. Dia berasa lega kerana dapat membalas dendam.
Qiao Chu menyentuh pipinya yang merah menyala dan terasa hangat itu dengan tangannya. Dia hampir menangis sewaktu berkata, "Sakit sangat…"
Kucing hitam itu… Tidak, lebih spesifik lagi, Jun Wu Xie, yang telah mengambil alih badan kucing hitam kecil itu, memerhatikan perangai Qiao Chu dan Hua Yao dengan senyap. Matanya tenang, langsung tidak kelihatan sebarang riak atau emosi.
Tiada siapa tahu dia boleh bertukar roh dengan Hitam Kecil. Setelah mereka berdua bersatu, dia menyedari yang kedua-duanya boleh saling bertukar roh, tetapi dengan risiko tertentu. Roh kucing hitam kecil itu tidak dapat menampung badan Jun Wu Xie dan sewaktu Jun Wu Xie berada di dalam badan kucing hitam kecil itu, badannya sendiri akan berada dalam bahaya. Kalau ada sesiapa yang mencederakan badannya ketika itu, dia tidak akan dapat melindungi dirinya. Tambahan pula, sewaktu melakukan pertukaran roh, Jun Wu Xie tidak akan dapat menukarkan badan kucing hitam kecil itu menjadi binatang hitam yang besar.
Boleh dikatakan yang pertukaran ini membawa risiko yang besar terhadap kucing hitam kecil itu serta diri Jun Wu Xie sendiri.
Pertukaran roh hanya boleh dilakukan apabila kedua-dua badan yang terlibat berada dalam keadaan sempurna. Sewaktu dia baru dilahirkan semula, badan Jun Wu Xie mengalami kecederaan teruk dan dia tidak dapat untuk melakukan pertukaran roh. Roh kucing hitam kecil itu tidak mampu menampung badan manusia dan roh kucing hitam kecil itu akan mati bersama-sama dengan badan manusia berkenaan. Jun Wu Xie akan terpenjara di dalam badan kucing hitam kecil itu seumur hidupnya dan tidak dapat bertukar rupa.
Kali ini, Jun Wu Xie membuat keputusan untuk memilih tindakan ini berdasarkan kepercayaannya terhadap Qiao Chu. Mungkin mereka belum bekerjasama dalam jangka masa yang lama. Tetapi kalau mengikut interaksi mereka setakat ini, dia tahu yang mereka berdua boleh dipercayai. Namun begitu, dia tidak berniat mahu memberitahu mereka tentang bahaya atau risiko yang terbabit dalam pertukaran roh. Ini bagi mengelakkan mereka berdua memandai-mandai. Tetapi, mencederakan dia tidak akan memberikan mereka sebarang manfaat buat masa sekarang.
Setiap tindakan yang Jun Wu Xie ambil telah difikirkan dengan cermat dan teliti. Hanya selepas dia benar-benar yakin, barulah dia memulakan langkah.
Keadaan dia yang tenang hanya membuatkan Qiao Chu dan Hua Yao tidak mampu berkata apa-apa.
Walaupun kucing hitam kecil itu bukan roh berkontrak dan berkait rapat dengan roh seorang manusia, tiada orang lain yang dapat melakukan pertukaran roh.
Tindakan Jun Wu Xie ini mengubah sepenuhnya persepsi Qiao Chu dan Hua Yao tentang dunia ini.
Selepas beberapa ketika diam dalam keadaaan yang kekok, Hua Yao akhirnya pulih dan merenung kucing hitam kecil itu. Dia cuba sedaya upaya untuk bercakap dengan kucing itu sepertimana dia bercakap dengan Jun Xie.
"Kamu mahu memasang telinga sewaktu pertemuan dengan Qin Yu?" tanya Hua Yao.
Kucing hitam kecil itu mengangguk, kelihatan amat berterima kasih.
"Saya perlu menilai tahap toleransi Qin Yue terhadap Ke Cang Ju." Memandangkan keadaan sudah berubah, dia mahu mempergunakan identiti Ke Cang Ju sepenuhnya.
"Saya faham." Hua Yao benar-benar faham. Pertemuan Ke Cang Ju dengan Qin Yue tidak akan membenarkan kehadiran orang ketiga. Tetapi jika hanya seekor kucing hitam kecil, tak kira betapa berhati-hatinya Qin Yue, dia tidak akan mengesyaki apa-apa. Lagipun, tiada orang pernah dengar tentang manusia yang boleh saling bertukar roh dengan haiwan.