Hua Yao membawa Qiao Chu dan Jun Wu Xie ke ruang tempat tinggal Ke Cang Ju. Sepanjang perjalanan, mereka berselisih dengan ramai pengikut Puncak Awan Tersembunyi. Semuanya tunduk hormat, tidak ada yang terkecuali. Mereka juga tidak mempunyai penampilan angkuh dan penuh cemuhan seperti sebelum ini. Mereka menunjukkan sikap mengampu dan kagum, cepat-cepat memberi laluan untuk Ke Cang Ju. Mata mereka menunjukkan perasaan terkejut apabila menyedari Jun Wu Xie dan Qiao Chu mengikut di belakang "Tuan Tua Ke".
Jun Wu Xie dan Qiao Chu, kedua-duanya telah dilihat pengsan pagi tadi dan pengikut Puncak Awan Tersembunyi mengenali kedua-duanya. Mereka menyangka tidak akan melihat wajah dua orang pemuda ini lagi selepas ini. Siapa sangka tidak sampai dua jam kemudian, kedua-dua pemuda ini masih lagi hidup, malah sedang mengekori Tuan Tua Ke!
Ke Cang Ju berpangkat Tuan Guru kepada para pengikut ini, tetapi tidak ada sesiapa di Puncak Awan Tersembunyi ini yang berani mengekorinya ke merata-rata tempat.
Angin Tuan Tua Ke yang tidak menentu amat diketahui dalam kalangan Kumpulan Qing Yun. Kecuali pada waktu yang singkat setiap hari di mana dia perlu memberikan arahan kepada pengikut-pengikutnya, dia amat benci berada dalam kalangan mereka.
Apatah lagi untuk membiarkan dua orang pengikut mengekorinya ke seluruh kawasan gunung ini.
Apa yang dua orang budak tak guna itu buat sehingga dapat membuatkan Tuan Tua Ke begitu kagum? Mereka sepatutnya sudah hampir menjadi baja tumbuhan herba sekarang ini. Macam mana mereka boleh keluar dari ruang bawah tanah itu hidup-hidup dan tidak diapa-apakan?
Ini tidak pernah berlaku di Puncak Awan Tersembunyi sebelum ini!
Hua Yao membawa Qiao Chu dan Jun Wu Xie ke dalam ruang tempat tinggal Ke Cang Ju dengan beraninya, sambil diperhatikan oleh pengikut-pengikut yang kebingungan.
Ruang tempat tinggal Ke Cang Ju amat luas dan hiasannya juga mewah.Dalam kalangan Kumpulan Qing Yun. satu-satunya tempat yang lebih luas dan mewah ialah kediaman Pemerintah mereka sendiri iaitu Qin Yue.
Di halaman kediaman Ke Cang Ju, beberapa orang suruhan yang memakai jubah berwarna kelabu, sedang menyapu lantai sambil menundukkan kepala. Mereka tidak menyedari kehadiran Hua Yao dan dua orang pengikutnya. Mereka hanya mengangkat kepala apabila Hua Yao berada betul-betul di hadapan mereka.
Qiao Chu menarik nafas dengan kuat sebaik orang-orang suruhan itu mengangkat kepala mereka.
Wajah mereka tidak boleh dianggap sebagai wajah manusia. Kecuali mata dan mulut mereka, bahagian-bahagian lain di muka mereka langsung tidak dapat dibezakan. Wajah mereka kelihatan seperti telah dibakar, penuh parut dan herot-berot. Bibir mereka dipotong dan separuh daripada mulut mereka dijahit, hanya ada satu lubang kecil yang tinggal. Telinga dan hidung mereka juga telah dipotong. Kepala mereka sengaja dilicinkan supaya menyerupai bola.
Kalau wajah Ke Cang Ju dianggap hodoh, dia membuatkan wajah orang-orang suruhannya menjadi sangat jelik.
"Orang-orang ini…." Qiao Chu terkejut melihat orang suruhan yang kelihatan menakutkan ini.
"Sebelum ini, mereka merupakan pengikut Puncak Awan Tersembunyi dan mereka telah menyakitkan hati Ke Cang Ju. Selepas itu mereka dibawa ke ruang tempat tinggalnya untuk menjadi orang suruhan kelas bawahan." Suara Hua Yao berubah menjadi suara asalnya.
"Mereka tak boleh mendengar atau bercakap. Jadi kamu tak perlu risau mereka akan mendedahkan apa-apa tentang kita. Di mata mereka, sayalah Ke Cang Ju," kata Hua Yao dengan tajam.
Jun Wu Xie memandang muka-muka orang suruhan tersebut dan dia tidak melihat tanda-tanda mereka faham apa yang berlaku. Nampaknya mereka tidak mendengar perbualan di antara Qiao Chu dan Hua Yao. Mereka hanya membeliakkan mata dalam ketakutan apabila terpandang Hua Yao, menggigil seperti tikus yang berhadapan dengan kucing. Ketakutan mereka terhadap Ke Cang Ju amat jelas.