Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 292 - Penggantian (1)

Chapter 292 - Penggantian (1)

Perubahan pemuda cantik itu menjadi orang yang hodoh dan bongkok membuatkan Qiao Chu terkejut. Matanya hampir juling melihat perubahan ketara yang telah berlaku.

"Selepas ini apa pula?" Hua Yao tidak peduli dengan rupa hodohnya dan berpusing untuk memandang Jun Wu Xie. Dia menunggu Jun Wu Xie menyempurnakan perubahannya itu.

Jun Wu Xie tidak berkata apa-apa dan mengeluarkan beberapa botol ubat daripada beg kain yang disandangnya.

Apa yang berlaku seterusnya hampir membuatkan mata Qiao Chu terjojol.

Pelbagai jenis campuran ubat yang pelik dan tidak diketahui, disapu pada muka Hua Yao. Dalam sekelip mata, kulitnya yang licin menjadi kasar dan berkedut, warna kulitnya yang cerah menjadi gelap dan bertompok-tompok. Kulit di sekeliling mata yang cantik itu menjadi bengkak sebelum melayut dan menyebabkan matanya bertambah sepet. Jun Wu Xie kemudiannya menyapu lebih banyak campuran ubat-ubatan itu ke leher, tangan dan mana-mana bahagian badan Hua Yao yang akan terdedah di sebalik jubahnya, semuanya mengalami perubahan yang sama.

Seketika kemudian, Hua Yao menjadi "Ke Cang Ju".

"Pakai bajunya," kata Jun Wu Xie, menunjuk pada mayat Ke Cang Ju yang tergelimpang di atas lantai.

Hua Yao menunjukkan ekspresi jijik kepada Qiao Chu, tetapi dia kemudiannya berjalan sambil menundukkan kepala dan mengambil baju pada mayat itu….

Setelah menukar pakaian kepada jubah panjang yang gelap itu, Hua Yao berdiri di hadapan Jun Wu Xie dan Qiao Chu. Rupanya sangat mirip dengan Tuan Tua Puncak Awan Tersembunyi, Ke Cang Ju! Baik dari segi ketinggian, bentuk tubuh badan dan raut wajah, semuanya serupa. Qiao Chu merenung begitu lama sebelum dia dapat bersuara.

"Melihat Abang begini benar-benar membuatkan saya mahu membelasah Abang cukup-cukup."

Ke Cang Ju kelihatan lebih menyedihkan tanpa pakaian luarannya. Dia terbaring di atas lantai dan wajahnya kaku dengan ekspresi kesal dan kecewa.

Jun Wu Xie mengambil sebotol bahan kimia pelarut badan dari sebuah rak di situ dang menuangnya ke atas tubuh badan Ke Cang Ju.

Badan Ke Cang Ju melarut dan mereput dengan cepat, semakin menghilang hingga akhirnya hanya kesan darah.

"Mari, sudah tiba masanya untuk kamu melihat Puncak Awan Tersembunyi milik kamu, Tuan Tua Ke." Jun Wu Xie memandang sekilas pada Hua Yao. Senyumannya yang berseri-seri itu lenyap dan dia kembali menjadi pemuda bertubuh kecil yang berwajah dingin serta tidak berperasaan.

Puncak Awan Tersembunyi miliknya? Hua Yao tersenyum, kagum dengan budak itu. Kebijaksanaan Jun Xie telah mengubah tampuk pemerintahan Puncak Awan Tersembunyi, tanpa diketahui oleh sesiapa sekalipun dari Kumpulan Qing Yun. Dia mula mempercayai kata-kata Jun Xie tentang mahu menghapuskan Kumpulan Qing Yun. Dengan kepintaran dan kemahirannya, dia mungkin berupaya melakukannya.

Dua orang pengawal Puncak Awan Tersembunyi sedang berdiri di luar bangunan dan bersandar malas di dinding apabila pintu bilik itu tiba-tiba terbuka. Mereka tergesa-gesa berdiri dalam keadaan siap sedia.

"Ke Cang Ju" melangkah keluar daripada pintu tersebut dengan wajah hodohnya yang menakutkan. Kedua-dua orang pengawal itu cepat-cepat menyapanya sambil menundukkan kepala. Mereka terkejut apabila tiba-tiba terpandang dua orang yang mengekori di belakang Tuan Tua itu.

Bukankah dua orang ini kambing korban yang dihantar masuk beberapa jam yang lalu? Kenapa pula mereka berjalan keluar tanpa diapa-apakan?

Sudah diketahui yang setiap kambing korban yang dihantar ke situ tidak pernah berjalan keluar hidup-hidup sebelum ini. Mereka hanya akan dibawa keluar selepas kehilangan nyawa dan akan ditanam di bawah batas herba.

Berbeza betul keadaannya hari ini!

Wajah kedua-dua orang pengikut yang kebingungan itu membuatkan "Ke Cang Ju" jengkel. Dia mengecilkan matanya, merenung dingin pada dua orang pengikut yang menyakitkan hatinya itu sebelum berkata dengan nada yang menakutkan, "Kalau kau tenung lagi, aku akan korek mata kau."

Kedua-dua orang pengikut itu menggigil dan cepat-cepat mengalihkan pandangan mereka daripada dua orang yang mengekori di belakang Tuan Tua itu, dan tidak menyuarakan apa yang mereka fikirkan.

Angin Ke Cang Ju sememangnya amat tidak menentu dan dia membunuh tanpa pertimbangan. Kalau ada di antara mereka yang membuatkan dia marah, walaupun mereka ialah pengikut Rumah Dalaman Puncak Awan Tersembunyi, mereka tidak akan terlepas.

Sebaik pengikut-pengikut yang menyibuk itu sedar tentang kedudukan mereka, "Ke Cang Ju" berjalan menyeret kakinya, wajahnya gelap. Qiao Chu dan Jun Wu Xie mengikut di belakangnya. Sebelum dia berlalu, dia meninggalkan arahan untuk kedua-dua orang pengawal bangunan itu yang sedang menggigil..

"Pergi uruskan baja di tingkat bawah tanah."