"Pil Pereput Tulang itu tak ada kesannya terhadap aku! Berhentilah membazir masa! Kalau kau mampu membunuh aku di sini sekalipun, Qin Yue tak akan lepaskan kau semua! Jangan fikir kau boleh keluar dari kawasan Kumpulan Qing Yun hidup-hidup!" Ke Cang Ju menghamburkan kata-kata berbisa itu kepada Jun Wu Xie.
"Oh? Benarkah begitu?" balas Jun Wu Xie sambil tersenyum.
Entah kenapa jawapan Jun Wu Xie membuatkan Ke Cang Ju berasa tidak senang hati. Tetapi binatang hitam itu tidak bergerak untuk mengancamnya dan diam sahaja.
Adakah ini bermaksud budak ini tak akan membunuhnya?
Sedang Ke Cang Ju memikirkan perkara ini, tiba-tiba dia merasakan mukanya seperti dibakar. Dia menyentuh mukanya dengan tangannya sewaktu perasaan dibakar itu kian memuncak. Wajahnya tiba-tiba hangat dan basah?
Dia memandang tangannya dan mendapati kedua-dua belah dibasahi darah. Darah pekat itu meliputi kedua-dua belah tangannya dan dia memandang dengan gerun melihatkan cebisan-cebisan daging jatuh ke tangannya!
"Arghhhh!" Ke Cang Ju menjerit ketakutan apabila menyedari cebisan daging itu jatuh dari mukanya. Seluruh mukanya seolah-olah mencair dan kesakitan yang menyerangnya itu tidak tertanggung rasanya.
"Muka aku…..! Muka aku…..!" Kesakitan yang melampau itu membuatkan Ke Cang Ju terdduk dan dia merangkak ketakutan. Dia mahu menyembunyikan kejadian menggerunkan ini daripada orang lain. Darah dan daging berterusan jatuh dari mukanya. Di dalam ruang bawah tanah itu, Ke Cang Ju kelihatan amat menjijikkan.
Dia memang dilahirkan hodoh, tetapi masih lagi seorang manusia. Ke Cang ju tidak dapat membayangkan nasib yang perlu dihadapinya jika mukanya dihancurkan dengan lebih teruk lagi. Lebih baik dia dibunuh saja sekarang ini.
Walaupun menganggap dirinya hodoh, Ke Cang Ju masih menghargai wajahnya. Sedikit cela pada mukanya sahaja cukup membuatkan dia resah.
Tidak ada siapa yang menghentikan Ke Cang Ju. Jun Wu Xie berdiri tidak bergerak. Matanya yang dingin itu merenung Ke Cang Ju yang cepat-cepat merangkak ke besen air di satu sudut.
Dia nampak seperti serangga busuk, menyelinap di atas lantai. Menjelikkan dan memualkan.
Sebaik Ke Cang Ju sampai ke besen itu, dia menggunakan seluruh kekuatan untuk bangun dan berlutut. Dia melihat ke dalam air itu. Apa yang dilihatnya itu membuatkan dia kaku kerana terkejut!
Daging reput di mukanya itu sudah lenyap sepenuhnya. Di sebalik kesan darah itu ialah kulit yang licin dan cerah. Kulit di bahagian mata yang dahulunya bengkak dan menggeleber sehingga membuatkan matanya kelihatan hampir tertutup, kini sudah tidak ada. Dia terlihat sepasang mata yang bersinar-sinar memandangnya kembali di dalam pantulan imej itu dan merenung dengan tidak percaya terhadap wajah yang dilihatnya ini.
'Ini aku?'
'Aku???'
Imej lelaki di dalam air itu tidak boleh dianggap tampan, tetapi rupa parasnya agak elok juga. Jika dibandingkan dengan wajah hodoh yang biasa dilihatnya, wajah berlumuran darah ini boleh dianggap sebagai menawan.
Pada ketika itu Ke Cang Ju sudah melupakan kesakitan yang dirasai dan asyik merenung wajahnya yang baru ini!
"Ini aku….. Aku….. Aku sangat tampan….." Ke Cang Ju ketawa menggila. Dia menjalani seluruh hidupnya dengan membenci kecantikan orang lain. Perasaan cemburunya itu berpunca daripada wajahnya yang hodoh.
Semua itu lenyap pada ketika itu. Kegembiraan yang tidak terluah meresap masuk ke dalam hati yang dingin dan tidak berperasaan itu!
Dia sudah menjadi tampan. Kegirangan ini menolak pergi segala kesakitan daripada mindanya.
Setelah cebisan daging busuk terakhir jatuh daripada mukanya yang kini tidak bercela, mata Ke Cang Ju bersinar penuh obses dan kegembiraan.
Ke Cang Ju begitu asyik sehinggakan dia tidak menyedari mata Jun Wu Xie, yang selama ini tidak berganjak dari tempatnya, sudah bertukar menjadi amat dingin.