Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 279 - Tamparan Kelima (1)

Chapter 279 - Tamparan Kelima (1)

Ke Cang Ju dengan badannya yang bongkok dan mata yang dikecilkan, berdiri sambil merenung dua orang pemuda itu. Bibirnya yang gelap tersenyum kejam. Dia menggoyangkan tangannya dan dua rantai besi jatuh keluar daripada lengan bajunya yang besar. Rantai besi itu dipasang di bahagian pinggang Qiao Chu dan Jun Wu Xie lalu pasangan yang sedang tidak sedarkan diri itu diheret masuk ke ruang bawah tanah.

Selepas Ke Cang Ju berlalu, satu bayang-bayang hitam yang lincah keluar dari belakang balang ubat-ubatan di atas rak itu dan mengekorinya. Badan bayang-bayang itu yang kecil dengan mudahnya menjadi sebati dengan kegelapan. Bayang-bayang itu bergerak ke terowong yang menuju ke ruang bawah tanah.

Ruang bawah tanah itu diselubungi bau darah yang meloyakan, bercampur dengan bau herba yang kuat sehingga boleh menyesakkan deria bau.

Bunyi gemerincing loceng yang jelas dan tajam kedengaran sewaktu Ke Cang Ju terus berjalan sambil menyeret kakinya. Dua orang pengikut Puncak Awan Tersembunyi yang sedang sibuk, cepat-cepat meninggalkan tugasan mereka dan mendapatkan Ke Cang Ju sebaik terdengar kehadirannya.

"Tuan Guru." Dua orang pengikut itu tunduk hormat.

Ke Cang Ju melepaskan rantai yang membelenggu Jun Wu Xie dan Qiao Chu, lalu berkata kepada dua orang pengikut itu, "Bawa mereka ke sana."

"Baik Tuan Guru."

Pengikut itu mengangkat kedua-dua pemuda berkenaan dan membawa mereka ke sebuah platform kayu.

Kedengaran dua bunyi yang kuat apabila kedua-dua pemuda itu dicampak begitu sahaja di atas papan kayu berkenaan.

"Bersihkan mereka. Aku ada ubat baru untuk diuji pada mereka." Ke Cang Ju ketawa dengan menggerunkan sewaktu dia melangkah masuk.

Api obor meliuk-liuk di dalam ruang bawah tanah yang malap itu. Pemuda berwajah cantik yang tergantung di dinding itu kelihatan pucat. Dia tidak bergerak, seolah-olah sudah mati.

Ke Cang Ju mengambil penceduk air dari baldi dan menyimbah air dengan kuat ke arah pemuda cantik itu.

Air sedingin ais itu mengejutkan pemuda yang tidak sedarkan diri tadi dan dia mengangkat kepalanya perlahan-lahan. Matanya bersinar penuh benci. Tahi lalat kecil di bawah matanya jelas kelihatan pada wajahnya.

"Nampaknya kau masih bersemangat. Bagus. Mari kita bermain permainan lain pula hari ini." Ke Cang Ju ketawa kejam dan mengambil sebatang rotan halus daripada sebuah baldi berisi cecair berwarna hitam. Cecair hitam itu sudah meresap sepenuhnya dengan cecair hitam itu dan kelihatan bersinar di bawah cahaya api yang malap. Ada duri dipasang di sepanjang rotan itu.

Pemuda ini datang daripada kumpulan rekrut yang dibawa masuk ke Puncak Awan Tersembunyi bulan lepas. Semua pemuda daripada kumpulan berkenaan sudah pun mati di tangan Ke Cang Ju. Pemuda ini mempunyai daya hidup yang luar biasa dan tenaganya jauh mengatasi orang lain. Walaupun selepas dua minggu diseksa, dia masih lagi hidup.

Rotan yang direndam di dalam cecair hitam beracun itu disebat ke badan pemuda itu yang tinggi dan kurus. Setiap sebatan meninggalkan luka berdarah apabila duri-duri itu menyiat-nyiat dagingnya. Cecair hitam beracun itu melekat pada luka-luka berkenaan dan tak lama kemudian luka-luka itu bertukar menjadi warna ungu gelap.

"Inilah rotan beracun yang hanya tumbuh di Gunung Rohani Timur. Aku kumpulkan dan rendamkan rotan ini di dalam jus Rumput Menghakis Jiwa. Duri rotan beracun ini tajam, tetapi rapuh. Selepas digunakan beberapa kali, duri ini mudah patah dan hilang keberkesanannya. Tetapi apabila direndam di dalam jus Rumput Menghakis Jiwa, duri-duri ini menjadi keras dan kuat. Kekuatan racunnya juga semakin meningkat." Sambil dia menyebat pemuda itu, Ke Cang Ju asyik 'mengajar' dengan suaranya yang serak.

"Yang paling bagus tentang racun ini ialah, ia tidak cukup berbisa sehingga membawa maut, tetapi akan mengakibatkan kesakitan dan keperitan yang tidak tertanggung pada tubuh badan manusia. Luka-lukanya ini akan membuatkan kamu berasa seperti digigit beribu-ribu ekor semut. Hua Yao, kamu ingat semua ajaran yang Tuan Guru kamu ini susah payah sediakan hari ini?" Rotan itu terus dihayun kejam dan mata Ke Cang Ju bertambah menggila. Mukanya kelihatan herot-berot kerana gembira dan perasaan terujanya kian memuncak.