Jun Wu Xie tidak mempedulikan Qin Yu Yan yang sedang menangis itu dan mengambil beberapa biji botol sebelum mencampakkan yang selebihnya ke lantai.
Eliksir yang boleh membuatkan orang bergaduh bermati-matian untuk memilikinya, tercampak dan berselerakan di atas lantai. Satu aroma yang harum tersebar dari botol-botol yang terbuka.
Mata Qin Yu Yan terbeliak kerana terkejut. Dia merenung botol-botol yang Jun Wu Xie buang. Dia tahu apa isi kandungan botol-botol tersebut.
Jun Wu Xie telah membuang segala eliksir dan ubat yang bersifat menyembuhkan, termasuklah segala jenis penawar. Apa yang dipengangnya hanyalah botol-botol berisi racun!
"Buka mulutnya." Jun Wu Xie memberitahu Teratai Mabuk.
Qin Yu Yan menjadi tidak tentu arah dan meronta-ronta sekuat hatinya. Namun kekuatannya langsung tidak setanding dengan kekuatan Teratai Mabuk.
Teratai Mabuk memegang mulut Qin Yu Yan dan membukanya dengan mudah. Qin Yu Yan menjadi tidak berdaya dan hanya mampu terbeliak ketakutan sambil air matanya mengalir dengan deras di mukanya. Mulutnya yang dipaksa terbuka oleh Teratai Mabuk itu, mengeluarkan bunyi-bunyi yang merayu simpati.
"Takut?" Jun Wu Xie memandang Qin Yu Yan dan bertanya dengan dingin.
Mata Qin Yu Yan berkelip-kelip dengan pantas. Dia bukan sekadar takut, tetapi berasa sangat gerun!
Qin Yu Yan belum pernah lagi bertemu dengan seseorang yang gila seperti Jun Wu Xie. Tindakan gadis ini langsung tidak masuk akal. Walaupun mengetahui Qin Yu Yan ialah Cik Sulung daripada Kumpulan Qing Yun yang amat kuat itu, Jun Wu Xie tetap bersikap ganas!
Mata Jun Wu Xie dikecilkan sewaktu dia memandang wajah Qin Yu Yan yang dipenuhi kesan air mata, "Sewaktu kamu menyentuh Mo Qian Yuan, kamu nampaknya sangat berani," Botol-botol berisi racun, yang Jun Wu Xie pegang di dalam tangannya, sama jenisnya dengan racun yang Qin Yu Yan paksa dimasukkan ke dalam badan Mo Qian Yuan. Qin Yu Yan merasakan dirinya dicengkam ketakutan. Sewaktu dia memaksa Mo Qian Yuan minum racun dan melihat lelaki itu di dalam kesakitan, Qin Yu Yan berasa sangat puas hati.
Tanpa teragak-agak, Jun Wu Xie menuang segala isi kandungan botol-botol itu ke dalam mulut Qin Yu Tan. Teratai Mabuk menutup mulut Qin Yu Yan dan memegangnya, memaksa Qin Yu Yan menelan racun berbisa itu.
"Lepaskan dia," arah Jun Wu Xie.
Teratai Mabuk mencampakkan Qin Yu Yan ke tepi dan menyapu-nyapu tangannya dengan perasaan jelik, seolah-olah dia telah menyentuh sesuatu yang sangat kotor.
Tak lama kemudian, racun di dalam perut Qin Yu Yan mula menunjukkan kesan. Qin Yu Yan yang kelihatan kusut-masai itu tiba-tiba merasakan ada kesakitan yang meluap-luap di dalam badannya dan dia mula mengerekot di atas lantai sambil menggigil-gigil. Dia meraung kesakitan, kadangkala menjerit dengan suara yang nyaring. Keadaannya kelihatan sangat teruk.
Jun Wu Xie memandang Qin Yu Yan dengan dingin. Mataya langsung tidak menunjukkan sebarang belas kasihan atau simpati.
Berbuat baik kepada musuh sama dengan berlaku kejam kepada diri sendiri.
Sewaktu Kumpulan Qing Yun mengambil tindakan untuk menentang Keluarga Jun dan Mo Qian Yuan, mereka langsung tidak ada menunjukkan belas kasihan. Keadaan sekarang ini tidak memerlukan sebarang kemurahan hati yang tidak bertempat.
Apabila orang memberi betis, Jun Wu Xie akan membalas dengan meminta peha pula.
Orang-orang ini telah mencederakan ahli keluarga serta sekutunya dan dia hanya membalas perbuatan mereka, sepuluh kali ganda!
"Memandangkan Kumpulan Qing Yun ini sangat berkuasa seperti yang kamu katakan, saya akan tinggalkan kamu di dalam dewan utama ini untuk kamu menyelamatkan diri sendiri. Saya juga akan tinggalkan semua penawar ini untuk kamu." Jun Wu Xie memberitahu Qin Yu Yan.
Sewaktu dia mengucapkan kata-kata ini, Teratai Mabuk dan Bai Yun Xian yang sedang bersembunyi di satu sudut menjadi tergamam.
Apa yang Jun Wu Xie cakapkan ni? Dia kata dia mahu tinggalkan penawar itu untuk Qin Yu Yan? Bukankah itu akan membolehkan Qin Yu Yan terlepas daripada takdirnya?
Walaupun Qin Yu Yan masih lagi berasa seksaan yang berat, dia bersusah-payah untuk duduk setelah mendengar kata-kata itu. Matanya yang telah malap kerana patah semangat tadi, kini bersinar dengan secebis harapan dan hatinya sedikit gembira.
Jun Wu Xie tak akan bunuh dia!
Jun Wu Xie memerhatikan Qin Yu Yan dan seketika kemudian, mengangkat tangannya. Satu bebola tenaga rohani yang berwarna jingga, terbentuk pada tapak tangannya yang terbuka. Bebola itu kemudian meluru menuju timbunan penawar yang berada di atas lantai, lalu memusnahkan semuanya menjadi debu halus. Semua penawar dan eliksir berharga itu telah bercampur-aduk dalam satu timbunan abu. Serpihan porselin juga bercampur di dalam serbuk hitam yang hangit itu, mustahil dapat diasingkan.
"Semuanya untuk kamu."