Teratai Mabuk begitu kuat sehingga dapat membuatkan pemilik roh indigo itu bingung dan dia juga mendapat tawaran yang baik daripada Jun Wu Xie sebagai satu alternatif. Ini telah membuatkan ahli paling kuat dalam delegasi itu, yang sememangnya tidak menyukai Kumpulan Qing Yun, memilih untuk pergi dari situ.
Dengan menggunakan kekuatan dan strategi, Jun Wu Xie dapat menjatuhkan mereka.
Setelah tekanan yang menindas mereka itu diangkat, Tentera Rui Lin yang tadinya tidak dapat bergerak, bingkas berdiri. Askar-askar ini mengelilingi ahli delegasi Kumpulan Qing Yun dan memaksa mereka untuk bergerak menghampiri rahang dan kuku binatang hitam yang menakutkan itu, serta serangan Teratai Mabuk yang sedang menggila.
Amukan Teratai Mabuk menjadi lebih menggerunkan apabila dia tidak perlu lagi berjaga-jaga dengan serangan dari arah belakangnya.
Dalam masa kurang daripada satu jam, empat orang pengikut Kumpulan Qing Yun dan lima orang pakar yang menyertai mereka itu telah mati setelah dilenyek lumat dan dicarik-carik.
Darah merah bertakung di atas tanah, di sekeliling kaki Teratai Mabuk. Pakaiannya yang putih kini bertukar menjadi warna merah. Wajahnya yang sangat tampan itu tidak menunjukkan sebarang perasaan jijik atau benci, sebaliknya berseri-seri kegembiraan disebabkan pembunuhan mengerikan yang dia telah lakukan!
"YEAHHH!" Teratai Mabuk bertempik dengan sangat girang sambil meletakkan penumbuknya yang berlumuran darah itu ke dadanya dan menggenggam tangannya di sebalik lengan bajunya yang besar. Dengan satu lompatan, susuk tubuhnya yang langsing itu membuat lengkungan di udara dan dia mendarat di hadapan Jun Wu Xie.
"Cik, semua dah mati." Teratai Mabuk tersenyum berseri-seri.
Jun Wu Xie mengangguk sedikit. Ancaman terhadap Istana Lin telah berjaya dipatahkan, namun hal ini masih belum berakhir. Jun Wu Xie mengarahkan askar-askar yang tercedera dibawa masuk untuk dirawat. Selagi mereka masih bernafas, dia yakin dia boleh menyelamatkan mereka.
Kecederaan Jun Xian dan Jun Qing tidak begitu serius. Namun Long Qi pula patah tiga tulang rusuknya dan mendapat pelbagai kecederaan lain. Dia mengetap giginya dan langsung tidak bersuara sambil menanggung penderitaannya.
Jun Wu Xie kemudian mengarahkan ubat-ubatan untuk menstabilkan kecederaan diedarkan, tetapi dia sendiri tidak kembali ke Istana Lin. Dia berdiri di pintu pagar, merenung mayat orang-orang Kumpulan Qing Yun dengan matanya yang dingin.
"Sayang, apa yang difikirkan tu?" Jun Wu Yao yang selama ini tidak kelihatan kelibatnya, tiba-tiba berdiri di sisi Jun Wu Xie.
"Kamu yang lepaskan Teratai Mabuk?" tanya Jun Wu Xie.
Jun Wu Yao tersenyum dan memerhatikan timbunan 'daging kisar' yang berada di atas tanah. Senyumannya semakin lebar, "Bukankah kamu selalu ingin tahu betapa kuatnya Terata Mabuk?" Jadi dia telah memberikan peluang itu kepada Teratai Mabuk.
Nampaknya Jun Wu Yao berkenan dengan cara pembunuhan Teratai Mabuk.
"Saya nak pergi ke Istana Diraja," kata Jun Wu Xie.
Senyuman di wajah Jun Wu Yao menjadi kaku.
"Ini hanya sebahagian orang Kumpulan Qing Yun. Tanpa mendapatkan Jed Roh, mereka tidak akan berputus-asa. Saya jangkakan sebahagian yang lain telah pergi bersemuka dengan Mo Qian Yuan." Jun Wu Xie memberi penjelasan sambil mengecilkan matanya. Menurut apa yang diberitahu oleh Long Qi, Kumpulan Qing Yun telah mula menyerang semalam. Nampaknya Mo Qian Yuan sudah berada dalam tangan mereka selama satu hari.
Apalah yang Maharaja naif itu tahu tentang sikap Kumpulan Qing Yun?
"Kamu mahu selamatkan dia?" Jun Wu Yao mengangkat keningnya.
"Ya."
Senyuman Jun Wu Yao terus lenyap…
"Abang akan ikut kamu." Seorang gadis menyelamatkan anjing yang menyedihkan, satu tugas yang tidak dihargai.
Jun Wu Xie mengangguk dan mengeluarkan arahan kepada binatang hitam itu dan Teratai Mabuk agar terus menuju ke Istana Diraja. Sebaik selesai memberi arahan, dia dibawa oleh Jun Wu Yao dan mereka melayang menuju Istana Diraja.
Di hadapan Istana Lin, binatang hitam itu memerhatikan Teratai Mabuk yang berlumuran darah dengan perasaan sedih. Rahangnya menggerenyet.
Teratai Mabuk memandang binatang hitam itu sambil mengangkat keningnya. Dia melompat terus ke belakang binatang itu dan menggenggam daging dan bulu binatang itu dalam tangannya. Kemudian dia ketawa dingin, "Kucing bodoh! Bawa saya ke sana! Gerak!"
"..." Binatang hitam itu hampir menangis mengenangkan nasib dirinya yang malang.
Cik tak boleh abaikan dia pada bunga yang ekstrem dan gila ini lagi!