Jelingan Jun Wu Xie yang dingin memerhatikan medan pertempuran. Matanya tertumpu pada Jun Xian dan Jun Qing, serta kecederaan yang mereka alami. Satu ledakan kemarahan muncul di mindanya.
Dia berniat mahu menggunakan keangkuhan Kumpulan Qing Yun sebagai pengajaran untuk Mo Qian Yuan belajar menjadi Maharaja dan bersedia mendapatkan bantuan Jun Wu Yao untuk menamatkan konflik dengan Kumpulan Qing Yun. Dia tidak menjangka pencapaian kemajuan rohnya itu akan berlaku pada ketika itu dan sewaktu dia tidak sedarkan diri, Kumpulan Qing Yun telah datang menyerang mereka!
Jun Wu Yao pula sibuk melindunginya sewaktu dia dalam proses mencapai kemajuan roh. Lelaki itu tidak tahu yang Istana Lin telah diserang.
Sebaik terpandang susuk tubuh Jun Xian dan Jun Qing yang berlumuran darah itu, Jun Wu Xie hanya boleh memikirkan satu perkara sahaja!
Dia mahu semua orang dalam Kumpulan Qing Yun mati setelah ditusuk seribu kali dan tidak ada seorang sekalipun yang akan terkecuali!
Kemunculan tiba-tiba gadis muda dan binatang hitam itu telah mengejutkan orang-orang Kumpulan Qing Yun. Apabila mereka melihat penampilan Jun Wu Xie yang masih muda, mereka mengeluh lega.
Dia cuma seorang gadis yang belum mencapai usia lima belas tahun. Sedangkan Jun Xian dan Jun Qing juga cedera di tangan mereka, apa yang gadis kecil dan muda ini boleh lakukan pada mereka?
Dalam kalangan penyerang itu, hanya pakar dengan roh indigo itu yang tetap berhati-hati dengan kemunculan Jun Wu Xie yang berlaku secara tiba-tiba itu.
Dia sudah melepaskan tekanan yang menindas ke medan peperangan dan semua roh yang berada di bawah tahap hijau sepatutnya amat terkesan dengan tekanan itu. Tetapi gadis kecil ini masih dapat mengekalkan jelingan dinginnya dan langsung tidak mengalami apa-apa kesan. Apa yang lebih membingungkan ialah, dia tidak dapat menentukan tahap rohani binatang besar hitam yang ditunggang oleh gadis itu.
Pakar roh indigo itu berkerut sambil berfikir. Dengan kuasanya, dia dapat menentukan tahap roh Jun Wu Xie hanya dengan sekali pandang. Namun apa yang dilihatnya membuatkan dia lebih terkejut.
Gadis ini yang masih muda, sudah mencapai roh tahap jingga?
Berdasarkan usianya, rohnya pasti baru dibangkitkan. Dalam masa yang amat singkat itu dia telah bergerak mencapai tahap jingga daripada tahap merah? Memang sangat hebat!
Budak berusia empat belas tahun ini mencapai kemajuan dan mendapat roh tahap jingga, serta dapat menahan tekanan daripada roh lelaki ini dengan sepenuhnya. Lelaki itu memandangnya dengan kagum dan tidak percaya.
"Hitam Kecil." Jun Wu Xie berkata dengan dingin.
"Bunuh!"
Sebaik memberikan arahan, Jun Wu Xie melompat turun daripada Hitam Kecil. Dia mungkin baru saja mencapai roh tahap jingga, namun melihat keadaan anggota keluarganya yang tercedera, kebenciannya terhadap pihak lawan membuak-buak.
Binatang hitam yang besar itu mengaum sambil melompat menuju pengikut Kumpulan Qing Yun. Sasaran pertamanya ialah pengikut Kumpulan Qing Yun yang kini sedang bergelut dengan Jun Xian.
Lelaki itu menganggap binatang hitam itu hanya sebagai roh berkontrak budak muda Jun Wu Xie itu dan tidak mengendahkannya. Namun sebaik binatang hitam itu menerkamnya, dia tergamam!
Bagaimana binatang ini boleh bergerak begitu pantas?
Sebelum dia dapat bertindak, sebaik dia sedar yang dia telah memandang rendah terhadap binatang ini, lehernya telah pun dipatahkan dengan sekali gigitan!
"AUUMMM!" Binatang hitam besar itu menggoyangkan kepalanya beberapa kali dan mencampakkan kepala lelaki yang digigitnya itu ke udara.
Kepala yang sudah tertanggal dari badan itu melayang ke udara diikuti jejak berdarah. Darah segar yang masih hangat itu terpercik pada pengikut Kumpulan Qing Yun yang lain.
Kejadian ini berlaku terlalu pantas dan mereka tidak menyangka roh berkontrak yang mempunyai tahap yang tidak dapat ditentukan itu mampu menyerang dengan begitu pantas!
"Hari ini, tiada siapa di antara kamu yang akan hidup." Jun Wu Xie mengecilkan matanya dan melepaskan sepenuhnya roh jingga yang baru diperolehnya itu.