Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 193 - Saya Perlu Jadi Lebih Kuat (3)

Chapter 193 - Saya Perlu Jadi Lebih Kuat (3)

Jun Wu Yao ketawa mendengarkan soalan itu, "Sebab saya suka lakukannya."

Jawapan yang angkuh!

Jun Wu Xie merenung dengan senyap, cuba menduga hati lelaki ini dan meneka apa yang dia fikirkan.

"Buat apa saja yang kamu mahu. Saya akan sentiasa ada dengan kamu untuk melindungi kamu. Lagipun 'abang' memang patut melindungi 'adik', bukan?" Jun Wu Yao mengangkat tangannya dan mengusap kepala gadis itu. Sesuatu terlintas di fikirannya. Kalau gadis ini bercakap sopan dengannya sepanjang masa seperti hari ini, tanpa pelukan dan ciuman sekalipun, hatinya sudah berasa tenang.

Jun Wu Xie terkejut.

Abang?

Itu layak dianggap keluarga, bukan?

Jun Wu Xie berdiri di hadapan Jun Wu Yao seketika, matanya lain daripada kebiasaannya. Dia mengangguk kepada Jun Wu Yao, berpusing dan berlari ke bilik bacaan.

Dia tergesa-gesa mahu memberitahu Jun Xian dan Jun Qing yang dia tak mahu menggali semula kubur ayahnya.

Walaupun terpaksa menentang Kumpulan Qing Yun, Keluarga Jun tidak akan tunduk walau seinci!

Melihat kelibat Jun Wu Xie semakin hilang dari pandangannya, Jun Wu Yao tidak boleh berhenti tersenyum.

"Inilah kali pertama dia bercakap dengan mesra kepada saya. Seronok juga rasanya." Jun Wu Yao bersendirian di halaman, seolah-olah bercakap dengan dirinya sendiri.

Satu bayang-bayang muncul di sisinya, hampir tidak kelihatan kerana dilindungi oleh bayang-bayang Jun Wu Yao.

"Cik Jun sedar Tuan melayannya dengan baik." Lelaki berbaju hitam itu membalas dengan suara yang rendah. Dia telah menyaksikan segala-galanya tadi. Lelaki itu memandang sekilas ke arah Jun Wu Yao, dan merasakan ada sesuatu yang tak kena.

"Selain Jun Xian dan Jun Qing, dia tidak pernah bercakap mesra dengan orang lain." Angin Jun Wu Yao sangat baik, memikirkan bagaimana gadis itu selalu mengarah-arah Putera Mahkota tak guna itu. Mengingatkan pandangan mata Jun Wu Xie sebelum dia berlalu tadi membuatkan hati batunya yang biasanya keras itu menjadi berdebar-debar.

"Cik Jun memang mementingkan hubungan kekeluargaan." Bayang-bayang itu mengingatkan dengan berhati-hati.

Namun begitu, tuannya ini begitu gembira sehingga tidak perasan maksud kata-katanya.

Bayang-bayang itu memandang tuannya yang sedang tersenyum gembira dan dia berasa gelisah memikirkan sama ada dia patut mengingatkan tuannya yang perubahan sikap Cik Jun ada sebab yang berlainan dengan apa yang difikirkan?

Cik Jun pastinya menumpukan perhatian pada kata-kata tuannya yang mengatakan dia ialah 'abang' Cik Jun!

Jelas sekali Cik Jun telah mengubah haluan hubungan mereka menjadi hubungan adik-beradik!

Tuannya pula mahu menjadi kekasih Cik Jun, dan bukan abangnya...

"Pergi kumpul semua maklumat tentang Kumpulan Qing Yun yang kecil itu," kata Jun Wu Yao. Kalau Jun Wu Xie sudah membuat keputusan untuk membalas, menghapuskan delegasi Kumpulan Qing Yun hanya permulaan sahaja. Jun Wu Xie yang dia kenali akan memusnahkan mereka sepenuhnya.

"Baik, Tuan." Tuannya yang ganas dan kejam ini didorong oleh mata Cik Jun yang 'berterima kasih' dengannya, sehingga membuatkan dia merancang langkah Cik Jun seterusnya. Bayang-bayang ini tidak pasti mahu ketawa atau menangis.

"Tuan, saya ada dengar yang Kumpulan Qing Yun ada hubungan dengan salah satu daripada istana itu. Lihat…"

Senyuman di wajah Jun Wu Yao terus pudar. Rohnya yang hebat, bergumpal menjadi simpulan kebencian..

"Panjang betul jangkauan Istana Kedua Belas. Mereka masuk campur dalam hal-hal Tiga Alam Rendah juga?"

Bayang-bayang itu nampak wajah tuannya menjadi muram dan dia berbisik di dalam hatinya, 'Tuan kata jangkauan mereka panjang? Tuan juga apa kurangnya?'

"Tidak kiralah mereka ada hubungan dengan istana mana sekalipun. Sesiapa yang patut mati akan menghadapi maut." Bunyi ketawa Jun Wu Yao amat menggerunkan.