Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 183 - Bertempur Secara ‘Sembunyi’ (1)

Chapter 183 - Bertempur Secara ‘Sembunyi’ (1)

Ahli Kumpulan Qing Yun masuk ke dalam Istana Diraja dan Mo Qian Yuan menyusuli langkah mereka. Perwakilan seramai lebih dua puluh orang itu dijemput masuk ke dewan utama.

Hanya hamba suruhan dan kakitangan istana yang berada di dalam dewan utama itu bersama-sama Mo Qian Yuan, untuk menghadapi 'tetamu' daripada Kumpulan Qing Yun ini. Mo Qian Yuan sudah lama diracun sehingga merosakkan badannya. Kuasa rohaninya tidak banyak berkembang. Pada pandangan ahli kumpulan ini, kuasa rohani yang kecil itu tak akan dapat bertahan dengan satu pukulan sekalipun.

"Di mana Yun Xian?" Jiang Chen Qing baru saja duduk dan ekspresi wajahnya masih lagi gelap. Dia tidak mempedulikan makanan dan minuman yang dihidangkan oleh hamba suruhan istana.

Qin Yu Yan menundukkan kepala dan menghirup tehnya. Dia tersenyum tetapi tidak berkata apa-apa.

"Beta sudah arahkan dia dijemput ke mari. Silakan berehat dahulu."

Sewaktu Bai Yun Xian datang ke sini dahulu, dia telah menerima layanan terbaik dan Mo Xuan Fei telah berusaha keras untuk memenangi hatinya. Walaupun Bai Yun Xian seorang yang amat angkuh, Mo Xuan Fei tidak dilayan sepertimana Mo Qian Yuan dilayan sekarang.

Jiang Chen Qing tidak peduli untuk memberi muka pada Maharaja sebuah kerajaan!

Tuan Tua Kumpulan Qing Yun ini pasti seseorang yang benar-benar hebat!

Jiang Chen Qing menjeling Qin Yu Yan, Setelah melihat yang gadis itu tak akan berbuat apa-apa, dia memendamkan perasaan tidak puas hatinya terhadap situasi itu.

Kerajaan yang kecil seperti Kerajaan Qi tidak layak mendapat perhatiannya. Jika hendak dibandingkan dengan kekuatan Kumpulan Qing Yun, kekuatan kerajaan itu langsung tidak bermakna. Jika tidak kerana mesej Bai Yun Xian, mereka tidak mungkin akan datang ke situ.

Beberapa ketika kemudian, seorang gadis berpakaian putih berjalan masuk dengan santai.

Bai Yun Xian memakai baju broked putih. Rambutnya dihiasi pencucuk rambut mutiara. Dia masuk dengan lemah lembut dan terkejut seketika melihatkan jumlah orang di dalam dewan utama itu. Kemudian dia kembali tenang dan berjalan penuh gaya.

"Salam hormat saya kepada Cik Sulung, Tuan Tua." Bai Yun Xian melutut memberi penghormatan.

Sejak kemunculan Bai Yun Xian, pandangan mata Jiang Chen Qing tertumpu padanya. Matanya yang tajam memerhatikan Bai Yun Xian dengan teliti, mengesahkan yang gadis itu tidak menerima layanan yang buruk. Selepas itu barulah wajahnya tidak lagi menunjukkan perasaan tidak puas hati.

"Yun Xian, kamu tak apa-apa? Ayah begitu risau sewaktu menerima mesej kamu, tetapi dia masih lagi berada dalam pengasingan. Jadi dia tak dapat ke sini. Oleh itu, Ayah mengarahkan Pak Cik Jiang untuk menemani saya dalam perjalanan ini, untuk melihat sama ada kamu telah dilayan dengan baik." Qin Yu Yan berdiri sambil ketawa dan membantu Bai Yun Xian bangun. Senyuman di wajahnya sangat lembut sehingga kehangatannya boleh dirasai. Tetapi ekspresi wajah Bai Yun Xian sedikit kaku.

Ketika Qin Yu Yan membantu Bai Yun Xian bangun, jari-jari Qin Yu Yan diletakkan pada pergelangan tangan gadis itu untuk memeriksa nadinya!

"Saya kesal kerana telah menyusahkan Tuan disebabkan hal ini. Saya tidak dapat berfikir dengan jelas. Saya gelisah dan hilang akal. Saya merayu kemaafan daripada Cik Sulung dan Tuan Tua," kata Bai Yun Xian sambil menundukkan kepala. Dia tidak berani untuk menggerakkan pergelangan tangannya.

Pengetahuan Qin Yu Yan dalam bidang perubatan jauh melangkaui pengetahuannya. Walaupun Bai Yun Xian ialah anak murid Pemerintah Kumpulan Qing Yun, tapi dia tidak boleh dibandingkan dengan anak Pemerintah itu. Ketika Qin Yu Yan memeriksa nadinya, dia terpaksa berpura-pura tidak tahu apa-apa, tetapi hatinya penuh harapan.

Sewaktu Jun Wu Xie meracuninya, Bai Yun Xian telah mengambil bacaan nadinya sendiri. Nadinya stabil dan tidak menunjukkan sebarang tanda yang dia telah diracun.

Dapatkah Qin Yu Yan mengesan yang Bai Yun Xian telah diracun? Kalau Qin Yu Yan dapat mengesannya, adakah dia berkebolehan untuk merawatnya?

Bai Yun Xian mengangkat kepalanya dan memandang Qin Yu Yan dengan penuh harapan.

Qin Yu Yan akhirnya melepaskan tangan gadis itu, senyum lembut itu masih lagi di wajahnya.

Mata Bai Yun Xian menjadi suram.

Seperti yang dijangka, Qin Yu Yan tidak dapat mengesan racun itu.

Related Books

Popular novel hashtag