"Tujuan perjalanan kita ini bukan sahaja untuk Cik Yun Xian, tetapi untuk mendapatkan barang yang paling diinginkan oleh Pemerintah kita. Cik Sulung sudah lama tidak keluar. Eloklah Cik Sulung mengambil angin." Orang tua itu berkata sambil ketawa.
Gadis berpakaian biru itu senyum dan tidak berkata apa-apa.
Sambil mereka bergerak melalui jalan yang sibuk, mata orang ramai tertarik melihat konvoi itu dan berkerumun di tepi-tepi jalan. Mereka memanjangkan leher untuk melihat dengan lebih dekat lagi. Jun Wu Xie duduk di tepi tingkap di tingkat dua salah sebuah restoran di jalan itu. Dia memandang konvoi kereta kuda yang baru sahaja masuk ke dalam Bandar Diraja..
"Kumpulan Qing Yun." Jun Wu Xie mengecilkan matanya. Ada sejumlah sepuluh kereta kuda dan jika ditolak pemandunya, ada sekurang-kurangnya dua orang penumpang di dalam setiap kereta kuda.
"Bai Yun Xian kata ada lebih kurang sepuluh orang daripada Kumpulan Qing Yun yang akan tiba, diketuai oleh anak perempuan Pemerintah Kumpulan Qing Yun, Qin Yu Yan. Dia ditemani Tuan Tua Kumpulan Qing Yun, Jiang Chen dan lapan orang pengikut kumpulan mereka. Mereka diiringi lima belas orang pakar yang bukan daripada kumpulan mereka." Mo Qian Yuan yang duduk di sisi Jun Wu Xie mengesahkan ahli rombongan itu berdasarkan senarai yang Bai Yun Xian berikan pada mereka. Kumpulan Qing Yun ialah kumpulan terhebat dalam bidang perubatan dan banyak kuasa besar yang mahu membantu mereka. Lima belas orang pakar itu pasti telah dikumpulkan daripada kuasa-kuasa tersebut.
"Bai Yun Xian tidak ada maklumat tentang lima belas orang pakar itu, tetapi dia memberikan maklumat terperinci mengenai orang-orang daripada Kumpulan Qing Yun. Jiang Chen Qing sudahpun mencapai roh tahap biru bersama-sama roh berkontraknya, satu tahap yang jarang dapat dilihat. Selain dia, pengikut Kumpulan Qing Yun yang lain telah mencapai sekurang-kurangnya tahap kuning. Kumpulan Qing Yun telah menghantar satu pasukan yang kuat kali ini. Mereka menghantar roh tahap biru dan mengumpulkan lima belas orang pakar dari kuasa luar. Saya percaya lima belas orang pakar itu tidak kurang hebatnya berbanding Jiang Chen Qing."
Jun Wu Xie mendengar sambil diam dan memikirkan segala-galanya dengan teliti. Menurut kebiasaan latihan pertapaan, untuk mencapai tahap biru, seseorang itu sepatutnya sudah berusia seratus tahun. Tetapi menurut Bai Yun Xian, Jiang Chen Qing baru melewati usia tujuh puluh tahun. Dari tahap merah ke tahap biru, dia telah memendekkan masa purata yang diperlukan sebanyak lebih tiga puluh tahun. Dia pasti benar-benar berbakat!
Jika dilihat secara umum, tidak ada pakar di dalam Kerajaan Qi yang telah mencapai roh tahap biru. Pak ciknya dianggap sebagai orang yang berbakat dan dia hanya mampu mencapai peringkat tinggi roh tahap kuning. Datuknya sudah bersusah-payah di tahap hijau selama lebih dua dekad dan tidak berjaya mencapai tahap biru.
Dari tahap hijau ke biru mungkin hanya berbeza satu tahap, tetapi bagi seseorang yang tidak berbakat, tempoh masa yang diperlukan ialah kira-kira enam puluh tahun…..
Bagi orang biasa, walaupun mereka mula berlatih sebaik selepas roh berkontrak mereka bangkit dan berlatih tanpa henti setiap hari, mereka akan berusia seratus tujuh tahun ketika mencapai tahap hijau. Itupun kalau mereka tidak menempuh kesusahan untuk memecahkan rintangan di setiap tahap dan berjaya mencapai tahap seterusnya. Barulah mereka boleh mencapai tahap hijau.
Kalau mereka mengalami sebarang kemalangan sewaktu memecahkan rintangan, masa yang diperlukan akan bertambah.
Mungkin mudah untuk meningkatkan tahap kuasa rohani jika apa yang diperlukan hanyalah konsentrasi. Tetapi proses memecahkan rintangan tahap, telah menghancurkan harapan dan impian ramai orang.
Seseorang itu tidak memerlukan bakat untuk meningkatkan kuasa rohani, tetapi bakat itu amat penting dalam cubaan memecahkan rintangan tahap.
Ramai yang sudah berlatih selama separuh usia mereka, dan hanya mampu mencapai tahap jingga.
Jun Wu Xie menggigit bibirnya sambil berfikir. Rohnya hanya berada di tahap merah yang sangat rendah. Walaupun dia dapat merasakan dia hampir memecahkan rintangan dan mencapai tahap jingga, jika berhadapan dengan roh tahap biru, dia akan dihapuskan dalam sekelip mata.
Tak cukup!
Belum cukup kuat!
Kumpulan Qing Yun dengan mudahnya telah menggerakkan roh tahap biru yang kuat. Di hadapan Jun Wu Xie, kekuasaan ini ibarat gunung yang tidak dapat didaki dan membuatkan dia sukar bernafas.
Kekuatan Kumpulan Qing Yun in telah membulatkan tekad di dalam hati Jun Wu Xie. Buat masa sekarang, dia akan sedaya upaya mengelakkan Keluarga Jun menentang Kumpulan Qing Yun.