Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 168 - Perubahan Rejim (2)

Chapter 168 - Perubahan Rejim (2)

Belum pun setengah hari berlalu selepas Putera Mahkota Mo Qian Yuan mengetuai Tentera Rui Lin masuk ke Istana Diraja, berita kemangkatan Maharaja tersebar ke seluruh Bandar Diraja. Telah diputuskan yang Mo Qian akan menaiki takhta.

Upacara naik takhta itu akan dijalankan dalam masa tujuh hari lagi.

Rejim pemerintahan Kerajaan Qi berubah dengan tenang dan senyap.

Dengan pembunuhan kejam di Pintu Pagar Istana, yang dilakukan oleh Jun Wu Xie ke atas penyokong Maharaja, tidak ada suara sekalipun yang membantah upacara naik takhta itu.

Para pegawai istana amat sedar tentang hubungan rapat di antara Mo Qian Yuan dan Jun Wu Xie. Mo Qian Yuan akan naik takhta menjadi Maharaja dan kedudukan Maharani yang masih kosong itu mungkin menjadi milik Jun Wu Xie tidak lama lagi. Tentera Rui Lin yang menggerunkan itu masih berada di dalam Bandar Diraja, jadi pegawai-pegawai istana ini mahu menyelamatkan nyawa mereka.

Persediaan bagi upacara naik takhta itu berjalan lancar. Mo Qian Yuan mengarahkan Istana Diraja dibersihkan secara menyeluruh. Dia menyingkirkan sekumpulan hamba suruhan istana dan sida-sida yang berkhidmat dengan Putera Mahkota dan Maharaja terdahulu. Tindakan ini membolehkan dia mendapat kawalan sepenuhnya ke atas Istana Diraja.

Dahulu hidupnya terancam dan kini dia menaiki takhta sebagai Maharaja. Dalam masa hanya beberapa bulan. Segala-galanya dirasakan seperti mimpi.

Jika bukan kerana Jun Wu Xie, dia pasti sudah mati di Kediaman Putera Mahkota.

"Tuanku, barang-barang itu telah dihantar ke Istana Lin seperti yang diarahkan." Mo Qian Yuan hanya akan menaiki takhta dalam masa dua hari lagi tetapi sida-sida di Istana Diraja sudahpun menggunakan panggilan yang digunakan untuk pemerintah.

Mo Qian Yuan acuh tak acuh sahaja. Dia tidaklah begitu gembira duduk di atas singgahsana itu.

"Hmm….. Kamu nampak Cik Jun?" Sejak hari kejadian di dewan utama itu, Mo Qian Yuan tidak bertemu dengan Jun Wu Xie. Tiga orang banduan di Penjara Diraja itu ditinggalkan begitu sahaja. Nyawa mereka di dalam tangan Jun Wu Xie.

"Tidak, Tuanku."

Mo Qian Yuan mengangguk. Dia telah menghantar balang-balang berisi Nektar Jed ke Istana Lin. Dia tahu Jun Wu Xie tidak berminat dengan hal-hal lain tetapi balang berisi wain itu mungkin bermakna untuknya.

Oleh kerana sibuk dengan upacara naik takhta itu, dia tidak ada masa terluang. Apa sekalipun yang sedang Jun Wu Xie lakukan, Mo Qian Yuan yakin yang gadis itu sudah memikirkan segala-galanya dengan teliti, lebih daripada kemampuannya sendiri.

Di Istana Lin, Jun Xian dan Jun Qing kelihatan tegas sambil duduk menghadap Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie sudah tidak keluar dari Istana Lin selama dua hari dan perintah berkurung ini disebabkan oleh "soal siasat" dua orang lelaki ini.

Daripada hal memaksa penurunan takhta sehinggalah perubahan rejim, pasangan anak beranak Jun ini menyiasat setiap butiran. Setelah mengetahui kekejaman yang berlaku sewaktu penurunan takhta secara paksa itu, mereka berdua berpeluh sejuk.

Keluarga Jun amat berani dan tidak akan mengalah. Mereka ibarat dewa dalam peperangan tetapi menjadi kerdil dalam hal politik istana. Dalam masa beberapa bulan sahaja Jun Wu Xie telah mengangkat Keluarga Jun keluar daripada kesusahan yang telah menghantui mereka selama lebih satu dekad. Semuanya berlaku terlalu pantas, terlalu tiba-tiba, sehinggakan kedua-dua lelaki ini tidak sempat bertindak balas sebelum segala-galanya telah selesai...

"Kamu benar-benar telah mengurung Maharaja sebelum ini di dalam penjara?" Jantung Jun Xian berdegup kencang. Keluarga Jun sangat setia dengan Keluarga Diraja selama bergenerasi lamanya. Bagaimana mereka boleh menghasilkan Jun Wu Xie yang penuh keazaman, gadis kejam yang mencemuh adab sopan istana.

"Ya." Jun Wu Xie mengangguk.

Jun Xian dan Jun Qing memandang satu sama lain dengan tidak berdaya.

"Kamu sudah melaksanakan rancangan kamu untuk Putera Mahkota dengan sempurna. Tetapi apa akan kamu lakukan berkenaan apa yang Bai Yun Xian katakan?" Kejadian ini sudah tidak boleh diubah, jadi Jun Xian tidak bertanya apa yang telah berlaku. Dia risaukan kata-kata Bai Yun Xian tentang kemunculan Kumpulan Qing Yun.

Kumpulan Qing Yun tidak boleh dipandang ringan!