Singa Emas yang paling kuat di Kerajaan Qi dibaham sedikit demi sedikit oleh binatang hitam itu. Selain daripada Jun Wu Xie, minda semua orang terganggu dengan kejadian ini. Binatang hitam itu berdiri sambil menjilat-jilat kakinya dengan penuh puas hati.
Binatang hitam itu menggoyangkan ekor sambil berjalan menuju Jun Wu Xie dan kemudiannya….mengiau.
"Meow…"
Semua orang hampir rebah mendengarkan bunyi ini.
"...…" Gambaran binatang hitam yang mengagumkan dan menyebabkan ramai orang ketakutan, terus hilang.
Bagaimana binatang hitam yang dengan mudahnya membaham Singa Emas boleh kedengaran begitu...kedengaran begitu...comel?
Imej binatang ini yang mengagumkan dan berkuasa terus musnah.
[Saya tak pernah rasa kenyang seperti ini!]
"Kamu ada rasa apa-apa perubahan?" Jun Wu Xie tidak menyedari apakah impak daripada perbezaan ketara di antara suara dan rupa Hitam Kecil, ke atas semua orang. Dia terus menepuk-nepuk kepala Hitam Kecil dan memeriksa badan binatang itu.
"Meow."
[Tak ada apa-apa! Cuma rasa sangat, sangat kenyang...sangat puas… Boleh saya tidur sekejap?]
Selepas kenyang makan, binatang hitam itu berasa sangat mengantuk dan mengalami kesukaran untuk kekal berdiri.
Jun Wu Xie mengangguk dan binatang itu mengelilinginya sekali dan seperti kemunculannya secara tiba-tiba tadi, binatang itu terus lenyap tanpa kesan.
Selepas menyaksikan binatang hitam itu membaham Singa Emas, Mo Qian Yuan menyentuh lehernya tanpa sedar. Dia merasakan dipijak dan dihimpit binatang hitam itu nampaknya bukanlah sesuatu yang memalukan. Sekurang-kurangnya dia tidak dimakan!
Keadaan Dewan Diraja yang huru-hara mula kembali tenang selepas binatang hitam itu hilang.
Mo Xuan Fei tiba-tiba menjerit sambil jatuh daripada kerusi rodanya dan berguling-guling di atas lantai marmar yang dingin itu. Dia sedang mengalami sawan, tangannya memegang kolar bajunya dengan kuat, wajahnya kelihatan terseksa. Dia sangat sakit sehingga menjadi pucat dan menggeliang-geliut. Butir-butir peluh yang besar membasahi bajunya yang berlumuran darah, menyebabkan keadaannya menjadi lebih teruk.
Dari zaman dahulu lagi, tiada siapa yang pernah mendengar tentang roh berkontrak yang dibaham. Namun apa yang baru berlaku tadi meninggalkan satu persoalan besar kerana binatang hitam itu langsung tidak meninggalkan sebarang sisa Singa Emas dan telah membaham roh berkontrak itu sepenuhnya. Adakah ini bermaksud Mo Xuan Fei sudah kehilangan roh berkontraknya buat selama-lamanya?
Semua orang memerhatikan jari manis Mo Xuan Fei tanpa sedar. Sebelum ini, terdapat sebentuk cincin emas yang berkilauan, namun kini hanya ada cincin usang yang sudah berkarat di jarinya yang sedang menggeletar. Ada garis-garis halus di atas cincin itu, kelihatan seperti sarang labah-labah.
Tiba-tiba cincin itu berkecai dan jatuh ke atas lantai marmar.
Cincin berkontrak itu….musnah?
Keadaan ini tidak pernah berlaku, dan suasana mula menjadi kecoh.
Roh berkontrak yang sudah bangkit, akan mengikut tuannya sehingga ke akhir hayat tuan itu. Selepas kematian tuan, cincin itu akan lenyap, tidak seperti yang berlaku tadi di mana cincin itu terus berkecai!
Sebelum ini mereka menyangkakan, selagi seseorang itu masih hidup, tidak kira betapa lemahnya roh berkontrak mereka, roh itu tidak akan mati dan hanya akan tidur.
Tetapi apa yang mereka saksikan tadi telah mengubah pendapat mereka.
Roh berkontrak tidak akan mati, tetapi boleh dibaham!
Selepas dibaham, keadaan roh itu sama seperti sudah mati dan cincin berkontrak akan berkecai. Tuannya pula akan…
Melihatkan keadaan Mo Xuan Fei yang sedang berguling-guling di atas lantai dalam keseksaan dan kesakitan, membuatkan kulit kepala mereka berdenyut-denyut. Tiada siapa yang mahu mengalami keadaan seperti itu, umpama hidup dalam neraka!