Maharaja menutup mata baginda, tidak sanggup melihat keadaan yang menggerunkan itu.
Baginda menyangkakan dengan kekuatan Kumpulan Qing Yun, Jun Wu Xie tidak akan berani untuk mengapa-apakan Bai Yun Xian. Kini Maharaja sedar kesilapan baginda.
Jun Wu Xie tak berani?
Kelakar sungguh!
Dia berlaku kejam ke atas Bai Yun Xian sama seperti yang dia lakukan ke atas Mo Xuan Fei!
Mo Qian Yuan terkejut dan terpaku. Dia sudah merancang dengan teliti, memikirkan pelbagai cara untuk memaksa Maharaja turun takhta. Sekarang ini melihatkan tindakan Jun Wu Xie yang mudah dan kejam, semua rancangannya tidak berguna.
"Wu Xie, apa kamu buat ni?" Mo Qian Yuan menelan air liur dan bertanya sambil berbisik.
Jun Wu Xie menjelingnya dan ketawa dingin, "Sudah jelas, bukan?"
"….." Mo Qian Yuan benar-benar tergamam!
Jun Wu Xie sebelum ini merancang tindakannya sambil melindungi kesucian reputasi Keluarga Jun, seperti sewaktu kejadian pembunuhan beramai-ramai para pegawai atau mengambil alih kawalan terhadap Bandar Diraja. Dia membuat rancangan dengan sempurna dan tiada siapa boleh mengatakan tindakannya itu salah.
Tapi hari ini dia tidak terkawal dan memberikan hukuman tanpa sebab.
Seksaan Jun Wu Xie terhadap Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian hari ini, kelihatan seperti perbuatan balas dendam terhadap perbuatan lampau mereka.
Dua jam berlalu begitu sahaja. Bai Yun Xian seperti tidak keruan dan dibasahi peluh. Dia tidak dapat membuka semula arteri yang disekat itu. Mo Xuan Fei sudah tidak mampu untuk meraung. Dia hanya melutut di lantai sambil menggigil.
"Kenapa….. Kenapa masih lagi tersekat….." Mata Bai Yun Xian menjadi merah kerana panik. Dia sudah menggunakan segala ilmu yang dipelajarinya, tetapi tidak berjaya. Pelbagai ubat-ubatan dari Kumpulan Qing Yun yang ada padanya juga, yang semuanya diberikan kepada Mo Xuan Fei, langsung tidak berguna...
"Kamu bohong, bukan? Dia sudahpun…" Bai Yun Xian menggeletar sambil mendongak memandang Jun Wu Xie, dan suaranya semakin perlahan. Dia tidak berani lagi bercakap dengan nada sombong dengan Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie mengangkat keningnya dengan terhibur sewaktu melihat kekalahan di mata Bai Yun Xian dan mengambil satu langkah menuju Mo Xuan Fei.
Bai Yun Xian berundur ketakutan sewaktu Jun Wu Xie mara ke hadapan.
Jun Wu Xie tidak mengendahkannya dan meletakkan tangan di sisi kedua-dua belah lutut Mo Xuan Fei dan menarik keluar dua batang jarum yang berlumuran darah.
Jarum itu yang menyekat arteri. Tanpa menarik keluar jarum-jarum itu, tidak kira ubat apa sekalipun yang diberikan oleh Bai Yun Xian kepada Mo Xuan Fei, semuanya tidak akan berguna.
"Periksa dia semula." kata Jun Wu Xie dengan dingin.
Bai Yun Xian menghulurkan tangan yang menggigil, ke pergelangan tangan Mo Xuan Fei. Matanya membulat kerana terkejut dan dan dia hampir rebah kerana tidak percaya.
Arteri itu kini tidak lagi tersumbat, tetapi denyutan nadi itu memberitahu Bai Yun Xian yang Mo Xuan Fei sudah kehilangan kegunaan kakinya!
Dua jam!
Cuma dua jam!
Arteri itu hanya tersumbat selama dua jam tetapi telah menyebabkan Mo Xuan Fei lumpuh seumur hidup!
Bai Yun Xian selalu bermegah dengan kebolehannya dalam bidang perubatan. Dia dianggap sangat berbakat, sekalipun di kalangan ahli Kumpulan Qing Yun yang dihormati. Kebolehannya berjaya menarik minat Pemerintah kumpulan itu untuk diterima sebagai anak murid yang diajarnya sendiri. Tapi hari ini, dia langsung tidak ada kemahiran untuk menyembuhkan Mo Xuan Fei. Pembelajarannya dalam bidang perubatan selama ini ibarat hanya "permainan kanak-kanak" jika dibandingkan dengan Jun Wu Xie.
Segala keangkuhan dan maruahnya musnah dan berkecai pada saat itu. Bai Yun Xian memandang Jun Wu Xie dengan keadaan putus harapan dan di dalam mata yang dingin itu dia terlihat kemusnahan segala daya tarikan dan keyakinan yang pernah dia miliki.