Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 156 - Pertunjukan Bermula (3)

Chapter 156 - Pertunjukan Bermula (3)

Sejak penubuhan Kerajaan Qi, tidak ada angkatan tentera lain selain Tentera Yu Lin yang dibenarkan masuk ke Istana Diraja.

Tetapi hari ini, ada perubahan yang akan berlaku.

Mo Qian Yuan mengetuai pasukan tentera seramai lima ribu orang daripada Tentera Rui Lin, dan masuk melalui pintu pagar Istana Diraja. Orang ramai dari seluruh bandar berkumpul di sepanjang jalan dan bersorak, menunjukkan sokongan padu terhadap tentera yang 'menceroboh' itu.

Di dalam dewan utama Istana Diraja, Maharaja duduk di atas singgahsana. Wajah baginda menunjukkan kerisauan dan semua pengawal istana berdiri dengan gelisah di luar dewan.

"Ini semua salah Anakanda!" Maharaja merenung ke arah Mo Xuan Fei sambil mengetap gigi. Baginda tidak tahu tentang tindakan yang telah diambil oleh Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian, bagi membalas perbuatan Jun Wu Xie. Kalau baginda tahu, pasti baginda telah menghentikan mereka daripada melakukan sesuatu yang kejam seperti ini.

Meracuni penduduk Bandar Diraja! Ini tindakan yang zalim!

Rakyat ini umpama air yang boleh menggerakkan kapal dan juga mampu membuatkan kapal itu karam. Golongan rakyat sudahpun memihak pada Keluarga Jun dan Mo Qian Yuan, memberikan mereka sokongan dan pujian. Maharaja dan Putera Kedua pula seperti dikenakan penahanan dalam rumah di dalam Istana Diraja dan kehilangan kawalan ke atas Bandar Diraja. Dalam keadaan krisis seperti ini, Mo Xuan Fei memilih untuk mengikut sahaja Bai Yun Xian dan idea separuh masak dia itu.

Jika mereka berjaya, Maharaja tidak akan mengatakan apa-apa. Tetapi Tentera Rui Lin langsung tidak kehilangan seorang askar sekalipun dan berjaya meletakkan kesalahan dalam hal racun itu ke atas Tentera Yu Lin. Ini memberikan Jun Wu Xie alasan yang sempurna untuk membawa masuk Tentera Rui Lin ke dalam Istana Diraja!

Wajah Mo Xuan Fei pucat kerana ketakutan dan putus harapan.

Bai Yun Xian mungkin sedikit ganas dalam membuat rancangannya. Sekiranya berjaya, mereka akan dapat melepaskan diri daripada krisis ini.

Dia tidak pernah menjangkakan racun yang baru saja mula tersebar akan dihentikan dan dineutralkan begitu cepat. Rancangan jahat itu tidak membantu situasi mereka langsung, malah telah menikam diri mereka sendiri dan menyebabkan kemarahan rakyat terhadap Istana Diraja.

"Anakanda sedar sudah melakukan kesilapan. Ayahanda, tolong selamatkan Anakanda!" Mo Xuan Fei melutut di hadapan Maharaja sambil menggigil ketakutan.

"Selamatkan? Bagaimana? Mo Qian Yuan, anak tak guna itu, sudahpun mengambil peluang dan mengetuai pasukan Tentera Rui Lin masuk ke dalam Istana Diraja. Dia akan tiba di dewan ini tidak lama lagi. Apa yang Ayahanda boleh lakukan? Ayahanda sangkakan Anakanda yang mempunyai kebijaksanaan, tetapi nampaknya Anakanda ini sampah yang tidak berguna! Anakanda meletakkan kepercayaan ke atas seseorang seperti Bai Yun Xian? Dia anak murid Kumpulan Qing Yun. Kalau Kerajaan Qi ini tenggelam sekalipun, dia masih ada sokongan Kumpulan Qing Yun di belakangnya. Keluarga Jun akan ragu-ragu untuk menentang Kumpulan Qing Yun dan tidak akan mengapa-apakan Bai Yun Xian. Tapi bagaimana dengan kita berdua?" Maharaja bersandar pada singgahsana, tidak pernah baginda berasa letih sebegini.

Sudah tamat, segalanya sudah tamat.

Mereka boleh saja menanti kedatangan Kumpulan Qing Yun dan mendapatkan kelebihan. Tetapi Bai Yun Xian terlalu naif memikirkan dia boleh mengalahkan Jun Wu Xie secara sendirian. Kelakar betul!

"Mana Bai Yun Xian?" Maharaja bertanya dengan marah.

"Di dalam Istana Diraja." jawab Mo Xuan Fei, masih lagi menggeletar. Dia cuma mendapat tahu mengenai apa yang sedang berlaku di luar sana sewaktu dia sampai ke dewan utama. Bai Yun Xian masih lagi tidak sedar yang rancangan jahatnya itu menemui kegagalan.

"Bawa dia ke sini. Dia yang mulakan masalah ini. Dengan statusnya sebagai anak murid Kumpulan Qing Yun, dia boleh menghentikan Tentera Rui Lin daripada bertindak terburu-buru. Walau apa sekalipun, kita perlu melengahkan masa sehingga Kumpulan Qing Yun tiba di sini." Maharaja mengeluarkan perintah, sambil menggosok-gosok kepala baginda. Keadaan kini berada di luar kawalan. Bai Yun Xian mungkin mempunyai sokongan yang kuat tetapi dia juga angkuh. Jika dia menghantar berita ke garison yang berdekatan dan bukannya ke Kumpulan Qing Yun, mereka tidak akan terperangkap begini. Jika dia tidak merancang sesuatu yang sangat jahat, Tentera Rui Lin tidak akan mempunyai alasan untuk masuk ke Istana Diraja!