Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 138 - Takhta yang Goyah (3)

Chapter 138 - Takhta yang Goyah (3)

"Apa yang telah terjadi?" tanya Bai Yun Xian sebaik melihat wajah pucat kedua-dua lelaki itu. Kejengkelannya akibat tidur yang terganggu, ditolak ke tepi.

Maharaja menjeling dari ekor mata baginda ke arah Mo Xuan Fei dan tanpa perlu berkata apa-apa, Mo Xuan Fei memahami maksud baginda. Mo Xuan Fei berpura-pura muram dan menceritakan kejadian yang berlaku pada malam itu. Dalam penceritaannya, dia memutarbelitkan fakta untuk melibatkan Bai Yun Xian dalam hal ini. Kononnya tindakan melampau Jun Wu Xie itu disebabkan oleh perasaan cemburu dan marahnya kerana Mo Xuan Fei meninggalkannya demi Bai Yun Xian.

"Jun Wu Xie sudah mengepung seluruh Bandar Diraja, untuk memaksa saya menyerahkan kamu kepadanya. Bagaimana saya sanggup melakukannya? Jangan risau. Walaupun terpaksa berkorban nyawa, saya akan memastikan kamu selamat." Mo Xuan Fei memegang tangan Bai Yun Xian dengan erat, seolah-olah tiada apa dalam dunia ini yang lebih penting baginya selain gadis itu.

Bai Yun Xian terkejut sehingga terdiam dan memberi pandangan kosong pada Mo Xuan Fei.

"Kamu kata Jun Wu Xie mahu kamu serahkan saya padanya?" Mata Bai Yun Xian terbeliak.

Jun Wu Xie berani mengacaunya?

Dia tidak tahukah tentang kekuatan Kumpulan Qing Yun?

"Yun Xian! Saya tidak akan membiarkan dia berbuat sesuka hatinya! Perempuan gila itu perlu langkah mayat saya dulu sebelum boleh mendapatkan kamu!" Mo Xuan Fei memeluk Bai Yun Xian dengan erat, tidak sanggup melepaskan gadis itu.

Maharaja bersetuju dengan tindakan Mo Xuan Fei dan mengangguk tanpa kata.

Mo Xuan Fei tersenyum, wajahnya tersembunyi dari pandangan Bai Yun Xian.

"Jun Wu Xie terlalu memandang tinggi pada dirinya sendiri. Dia fikir dia menjadikan saya tidak berdaya dengan mengepung bandar ini? Itu cuma Tentera Rui Lin!" Bai Yun Xian menolak Mo Xuan Fei dengan marah. Dia tersentuh dengan perasaan mendalam Mo Xuan Fei terhadapnya, tetapi tindakan Jun Wu Xie itu mencabar maruahnya.

Sekadar Cik dari Istana Lin itu mahu menentangnya! Memang kelakar!

Melihatkan Bai Yun Xian sudah mempercayai cerita itu, Maharaja dan Mo Xuan Fei berasa mahu bertepuk tangan dengan gembira. Tetapi mereka meneruskan lakonan, wajah mereka kelihatan sedih disebabkan penghinaan yang Bai Yun Xian terima.

Bai Yun Xian mengangguk dan mengangkat tangannya. Cincin emas yang dipakainya pada jari telunjuk mula bersinar dengan kilauan cahaya putih. Seekor rama-rama putih yang bersinar, bergabung dengan cahaya itu. Rama-rama itu mengepakkan sayapnya yang lut cahaya, kelihatan cantik apabila dipandang. 

"Inilah roh berkontrak saya. Rama-rama Belas Kasihan, Rama-rama Min yang mampu bertukar rupa. Pada waktu malam, rama-rama ini tidak dapat dilihat. Tentera Rui Lin mengepung Bandar Diraja? Kita tengok saja nanti!" Bai Yun Xian ketawa. Dia memang benci pada Jun Wu Xie selama ini dan sekarang gadis ini berani menentangnya secara terbuka?

Bagus juga hal ini berlaku. Sudah tiba masanya Cik Muda Istana Lin sedar diri dan tahu betapa kecilnya Istana Lin itu. Bai Yun Xian mampu memusnahkan mereka hanya dengan menggoyangkan jarinya!

"Hebatnya! Dengan adanya Rama-rama Min, tidak kira betapa berkebolehannya Jun Wu Xie, dia tidak boleh menghalang kita daripada meminta bantuan ketenteraan! Yun Xian, hanya kamu yang boleh lakukannya! Di arah tenggara, seratus lima puluh batu dari sini, ada garison. Sebaik kamu hantar berita, pihak tentera akan bergerak dan Tentera Rui Lin tidak lagi menjadi ancaman!" Mo Xuan Fei berseri kegembiraan. Memang tepat keputusannya memilih Bai Yun Xian! Tidak kira betapa ganasnya Jun Wu Xie, dia cuma mengetuai satu angkatan tentera berjumlah seratus ribu orang. Askar-askar angkatan tentera Keluarga Jun yang lain berada di sempadan. Mereka tidak akan sempat balik walaupun mereka menunggang dengan laju sehingga kuda mereka mati!

Bai Yun Xian menjeling Mo Xuan Fei dan menujah rama-rama miliknya. Rama-rama Min mengepakkan sayapnya dan terbang ke luar tingkap. Sayapnya yang lut cahaya itu bersepadu dengan langit malam yang gelap. Ini membuatkan rama-rama ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan seolah-olah telah lenyap.

"Garison? Tidak, saya beritahu guru saya." Dia akan biarkan Jun Wu Xie menerima pengajaran pahit ini. Kumpulan Qing Yun tidak boleh dipermainkan!