Luluh hati Maharaja dan Mo Xuan Fei.
Memberitahu Kumpulan Qing Yun?
Kumpulan Qing Yun berada sangat jauh dari Kerajaan Qi. Berapa lama mereka harus tunggu?
Kalau mereka minta bantuan daripada garison berdekatan, paling lama sekalipun akan mengambil masa berhari-hari untuk bantuan tiba. Kini, bantuan hanya akan tiba daripada Kumpulan Qing Yun yang berada lapan ratus batu jauhnya...
Berapa lama masa yang akan mereka ambil?
Sepanjang tempoh itu, kekejaman apa pula yang akan dikenakan Jun Wu Xie ke atas kami?
"Yun Xian! Kita tidak sepatutnya menyusahkan Kumpulan Qing Yun hanya kerana perkara remeh seperti ini. Mereka boleh dianggap sebagai tetamu Kerajaan Qi, jadi kita perlu menyelesaikan isu-isu ini sendiri." Mo Xuan Fei panik. Sebaik Kumpulan Qing Yun sampai ke sini, mereka semua mungkin sudah mati.
Bai Yun Xian menjawab, "Rama-rama Min tidak boleh bercakap dan hanya guru saya yang boleh menafsir mesej yang saya hantar melaluinya. Kalau saya hantar Rama-rama Min ke garison, tiada siapa dapat memahaminya."
Mo Xuan Fei berasa kecewa. Dia baru saja teringat yang roh berkontrak biasanya hanya boleh berkomunikasi dengan tuan mereka, dan bukan dengan orang lain.
Selepas menyedari hakikat ini, Mo Xuan Fei tergamam.
Seketika tadi dia sangkakan mereka terselamat, tetapi peluang semakin tipis sekarang.
Melihat Mo Xuan Fei yang muram dan sedih, kening Bai Yun Xian berkerut dan dia berkata, "Rama-rama Min sangat pantas. Kalau semuanya berjalan lancar, guru saya akan hantar bantuan dalam masa dua minggu."
Memandangkan jarak perjalanan yang perlu mereka tempuhi, tempoh masa itu agak pantas juga.
"Tetapi Tentera Rui Lin berada di bawah kawalan Jun Wu Xie. Kalau dia mengorak langkah…" Mo Xuan Fei dalam ketakutan setelah menyaksikan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan atas arahan Jun Wu Xie. Dia gerun memikirkan langkah Jun Wu Xie seterusnya.
"Dia mungkin fikir dia berkebolehan untuk mengapa-apakan saya! Suruh orang-orang kamu sediakan bahan-bahan ini. Saya tahu bagaimana mahu melengahkan masa." Mata Bai Yun Xian mengecil dan kelihatan berbahaya.
"Apa yang kamu akan lakukan?" Mo Xuan Fei tidak pernah melihat Bai Yun Xian begitu dingin. Dia berasa gugup dan bimbang.
Bibir Bai Yun Xian melengkung dengan niat jahat, matanya seolah-olah dipenuhi racun.
"Kamu kata Jun Wu Xie meninggalkan Tentera Rui Lin di dalam Bandar Diraja? Kalau saya boleh lumpuhkan seluruh angkatan Tentera Rui Lin yang berada di sini, bukankah angkatan seramai seratus ribu orang askar ini akan menjadi tidak berguna? Jangan lupa, racun yang kamu berikan pada Lin Yue Yang, datang daripada saya."
Mo Xuan Fei tersentak. Demi menangkap Jun Xian, dia meminta bantuan Bai Yun Xian untuk mendapatkan dadah itu. Mula-mula sekali dadah itu akan merosakkan minda, membuatkan seseorang menjadi gila. Kemudian racun yang dahsyat akan masuk ke dalam badan, membuatkan badan menjadi kembung dan akhirnya meletup. Sisa-sisa racun itu akan tersebar di udara selepas letupan berlaku dan membuatkan sesiapa yang terhidunya menjadi lemah, dan hilang kekuatan.
Racun seperti ini tidak pernah didengari sebelum ini dan Mo Xuan Fei sudah mengujinya ke atas beberapa orang untuk mengesahkan kesannya, sebelum memberikan racun itu kepada Lin Yue Yang.
Disebabkan racun inilah mereka dapat menangkap Jun Xian dengan mudah.
Namun begitu, racun ini sangat ganas dan Mo Xuan Fei juga menggigil mengingatkan kesannya.
Mo Xuan Fei dapat meneka apa yang dirancangkan oleh Bai Yun Xian. "Yun Xian, kamu merancang mahu melumpuhkan Tentera Rui Lin berjumlah seratus ribu orang itu?" tanya Mo Xuan Fei. Matanya kelihatan bersemangat.
Bai Yun Xian tersenyum dingin. "Mudah sahaja. Kumpulan Qing Yun mahir menggunakan racun, sama seperti kami mahir memberikan ubat."