"Long Qi!" Ada kegilaan di mata Jun Wu Xie. Suaranya kedengaran menggerunkan.
"Saya!"
"Pembunuh upahan itu sudah menyusup ke dalam Istana Diraja. Bawa masuk Tentera Rui Lin untuk menyelamatkan Maharaja!" Jun Wu Xie memberikan arahan sambil mengecilkan matanya. Ekspresi wajah Maharaja telah mendedahkan segala-galanya kepada Jun Wu Xie.
Dia mahu seluruh Istana Diraja berkubur bersama-sama datuknya!
"Arahkan semua askar yang mengepung rumah pegawai-pegawai yang bersalah itu untuk tidak melepaskan sesiapa sekalipun! Hapuskan semua kejahatan!" Kedua-dua arahan Jun Wu Xie ini menyebabkan Maharaja menjadi pucat lesi.
Segalanya akan berakhir! Habislah!
"Saya menurut perintah!" Long Qi bergegas pergi!
Dua ayat dari Jun Wu Xie itu menyebabkan ahli-ahli keluarga pegawai istana yang telah dihukum bunuh itu bakal kehilangan nyawa mereka. Dia kemudiannya menggerakkan binatang hitam yang ditunggangnya ke arah pintu masuk Istana Diraja!
Saya akan bunuh mereka semua!
Setiap orang akan mati!
Tentera Rui Lin bergerak mengikuti Jun Wu Xie dan menuju ke arah pintu masuk itu. Tentera Yu Lin yang mengawal pintu masuk itu menjadi tertekan dan gelisah. Mereka dapat merasakan kedinginan niat membunuh daripada Jun Wu Xie.
Pembunuhan raja!
Jun Wu Xie akan membunuh Maharaja!
"Jun Wu Xie! Berundur! Kamu ahli Keluarga Jun, keluarga yang terhormat!" Maharaja ketakutan melihat situasi menggerunkan yang sedang berlaku.
"Benar, Tuanku! Patik memang ahli Keluarga Jun." Jun Wu Xie tersenyum, kejelitaannya memukau. Namun kini, kejahatan tersembunyi di sebalik tarikan yang mempesonakan itu.
Dia merangkak keluar dari kesengsaraan untuk membawa mereka semua ke NERAKA!
Datuk! Saya akan membalas dendam!
"HENTIKAN MEREKA!" Maharaja menjerit.
Tentera Yu Lin menundukkan kepala dan menyerang Tentera Rui Lin. Pertempuran yang singkat itu hanya menunjukkan betapa berbezanya kekuatan kedua-dua angkatan tentera ini. Tentera Yu Lin dihancurkan dalam sekelip mata manakala Tentera Rui Lin langsung tidak tercedera!
Orang ramai yang memerhatikan kejadian itu terpegun, mereka tidak pasti apa yang sedang berlaku.
Tetapi mereka masih percayakan Jun Wu Xie yang telah membantu menyingkirkan pegawai-pegawai yang merosakkan negara. Tambahan pula, selama ini mereka memang memandang tinggi terhadap Keluarga Jun. Kata-kata Jun Wu Xie pastinya benar!
Pembunuh upahan pasti telah menyusup ke dalam Istana Diraja! Keluarga Jun sedang melindungi Maharaja!
Di dalam pertempuran itu, Tentera Yu Lin kalah teruk dan Tentera Rui Lin terus mara. Mereka menghentam pintu pagar itu secara bertubi-tubi. Impak serangan Tentera Rui Lin menjadikan tembok itu bergegar sehingga dapat dirasakan oleh mereka yang berada di situ.
"Kenapa….. Kenapa boleh jadi begini…" Maharaja terhuyung-hayang sehingga hampir terjatuh, sebelum dipegang oleh Mo Xuan Fei.
Maharaja selama ini kelihatan lebih muda dari usia baginda. Namun kejadian malam ini nampaknya menyebabkan baginda menjadi sepuluh tahun lebih tua.
Sudah berakhir, segalanya sudah berakhir…
Bunyi dentuman yang kuat menandakan pintu masuk Istana Diraja sudah dipecahkan. Niat membunuh Jun Wu Xie berada di kemuncaknya. Dia menunggang binatang hitam itu dan hampir meluru masuk ke Istana Diraja untuk melunaskan dendamnya yang terpendam!
"Wu Xie." Kedengaran satu suara yang amat dikenalinya. Segala niatnya untuk membalas dendam dan membunuh, serta kejahatan yang tadinya meluap-luap, terus hilang. Jun Wu Xie berpaling.
Di kalangan orang ramai, satu susuk tubuh yang tinggi dan tegap melangkah ke hadapan. Wajah yang tegas tetapi penyayang itu amat Jun Wu Xie kenali.
Mata Jun Wu Xie mula bergenang, pandangan matanya menjadi kabur. Dia berbisik, "Da...datuk…"
Jun Xian berjalan ke arah Jun Wu Xie sambil memandang cucunya dengan penuh kasih sayang.
Tentera Rui Lin memberikan laluan tanpa sepatah kata sebaik melihat kemunculan Jun Xian. Kepala mereka ditundukkan tanda hormat, menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadap lelaki itu.
Satu susuk tubuh yang langsing dan tinggi lampai mengekori Jun Xian dengan senyap. Wajahnya yang tampan dihiasi senyuman lebar. Matanya merenung Jun Wu Xie yang sedang dalam keadaan penuh emosi.
Gadis kesayangannya ini hampir menangis.