Kebenaran itu tak boleh terbongkar. Apa yang rakyat akan fikir tentang mereka nanti?
Rakyat Kerajaan Qi memandang tinggi terhadap Istana Lin dan Tentera Rui Lin. Atas sebab inilah Maharaja mahu menghapuskan Keluarga Jun. Jika niat baginda diketahui oleh rakyat, baginda akan dicemuh dan dipandang hina.
Rakyat langsung tidak akan memberi pengecualian. Tidak sama sekali.
Bukan pandangan rakyat sahaja perlu diambil kira. Jika Tentera Rui Lin yang telah berkumpul di Bandar Diraja mendapat tahu perkara sebenar, sikap taat setia mereka pada Keluarga Jun akan membuatkan mereka mengheret Maharaja keluar dan membunuh baginda di situ juga!
Maharaja tidak boleh berbuat apa-apa. Kerisauan baginda tentang reputasi baginda di mata rakyat serta kekuatan angkatan Tentera Rui Lin, telah membataskan pilihan yang baginda ada untuk menyelamatkan keadaan ini.
Dengan adanya Tentera Rui Lin, sepatah perkataan dari mulut Jun Wu Xie mampu membunuh Maharaja.
"Long Qi, teruskan!" Jun Wu Xie memandang hina pada Maharaja. Melihatkan apa yang baginda telah lakukan kepada Mo Qian Yuan, dia tahu Maharaja ini lebih mementingkan reputasi dan pandangan baik rakyat, berbanding melindungi nyawa pegawai-pegawai baginda.
Jun Wu Xie mahu menguji batasan itu malam ini. Dia mahu lihat selama mana Maharaja akan bertahan.
Membunuh pegawai istana berpangkat tinggi, menimbulkan kekecohan di Bandar Diraja. Semua ini dilakukannya untuk menekan Maharaja agar menyerahkan Jun Xian. Jun Wu Xie masih tenang. Kalau Maharaja berkeras, dia bersedia untuk membunuh semua pegawai dan kakitangan Istana Diraja!
Malah dia juga bersedia membunuh Maharaja!
Dia akan menemui Jun Xian!
Long Qi mengetuai sekumpulan Tentera Rui Lin dan menangkap pegawai-pegawai yang telah dinamakan tadi. Semua kediaman pegawai-pegawai ini sudah dikepung terlebih dahulu untuk mengelakkan mereka melarikan diri.
Jun Wu Xie telah mengarahkan tempat-tempat ini dikepung sebelum mereka bergerak meninggalkan Istana Lin.
Maharaja menjadi resah memerhatikan Lonq Qi yang bergerak pergi. Tetapi rancangan Jun Wu Xie membuatkan Maharaja tidak berdaya.
Baginda tidak pernah menjangkakan yang Keluarga Jun akan mempunyai waris yang begitu dingin dan kejam. Malah waris ini dahulunya ialah gadis yang asyik mengekori Mo Xuan Fei ke sana ke mari.
Perubahan yang berlaku pada Cik Muda Keluarga Jun ini memang amat mengejutkan!
Mo Xuan Fei yang berdiri di belakang Maharaja, turut terkejut. Perbuatan Jun Wu Xie malam ini telah meninggalkan kesan pada Mo Xuan Fei, seumur hidupnya. Dia langsung tidak tahu yang Jun Wu Xie mampu bertindak sebegini kejam. Kalaulah dia tahu Mo Xuan Fei yang menghantar pembunuh-pembunuh upahan itu...
Mo Xuan Fei tidak sanggup memikirkannya!
Jun Wu Xie yang tidak dipedulikannya dulu, kini kembali ibarat mimpi ngeri yang telah memerangkapnya.
Orang-orang di dalam istana itu terus berdiri di dalam kedinginan malam, memerhatikan Jun Wu Xie memberi arahan kepada Tentera Rui Lin. Dari tembok yang tinggi itu, mereka boleh memerhatikan seluruh bandar. Tembok itu pada mulanya dibina untuk menandakan ketinggian status Maharaja. Tidak ada bangunan lain yang dibenarkan dibina lebih tinggi daripada Istana Diraja.
Malam ini, tembok yang tinggi itu membolehkan mereka melihat kemegahan Tentera Rui Lin.
Mereka dapat melihat lautan obor-obor serta debu yang berterbangan akibat sejumlah besar tentera berkuda yang menuju ke arah rumah pegawai-pegawai istana yang telah dinamakan oleh Jun Wu Xie.
Malam itu sangat dingin tetapi Maharaja dan Mo Xuan Fei kepanasan. Mereka seolah-olah sedang dibakar di dalam ketuhar dan badan mereka dibasahi peluh.
Mo Qian Yuan berdiri di belakang sekali. Dia memandang sahaja kejadian yang sedang berlaku sambil menahan dirinya daripada tersenyum.
Bangkitkan kemarahan langit, bangkitkan kemarahan bumi, tapi jangan bangkitkan kemarahan Jun Wu Xie!
Sayangnya, ayahanda dan adindanya lambat menyedari hal ini.
Sayangnya, terlalu lambat!