Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 105 - Ribut Bergelora (1)

Chapter 105 - Ribut Bergelora (1)

Selepas Jun Wu Xie berlalu, ekspresi wajah Jun Xian dan Jun Qing menjadi gelap.

"Berita tentang Lin Yue Yang itu benar?" Jun Qing menyebut semula perkara yang mereka bincangkan tadi sebelum kedatangan Jun Wu Xie.

Jun Xian mengangguk dengan serius."Pelik. Lin Yue Yang sentiasa bersikap jujur dan lurus. Dia juga bukan berpangkat tinggi. Tapi baru-baru ini jumlah tuduhan yang dilemparkan padanya amat banyak. Maharaja sudah mengarahkan perkara ini disiasat."

"Lin Yue Yang pernah menyelamatkan nyawa Abang. Kalau tak kerana laporannya mengenai perisik dalam tentera yang bekerjasama dengan pihak musuh, Abang mungkin kalah dalam peperangan itu." Jun Qing mengeluh memikirkan hutang budi Keluarga Jun terhadap Lin Yue Yang.

"Ya, dia jujur dan juga bijak. Sewaktu dia dinaikkan pangkat menjadi pegawai Bandar Diraja, dia menjauhkan diri daripada Istana Lin. Mungkin dia perasan sesuatu dan mengelak berhubung dengan kita. Selama bertahun-tahun kita semua berada di Bandar Diraja, kita jarang bertemu dengannya. Lin Yue Yang tidak menonjolkan diri selama ini. Siapa yang berniat jahat terhadapnya?" Jun Xian memikirkan perkara ini. Lelaki itu tidak memegang jawatan yang penting, tidak mempunyai kuasa serta tidak terlibat dalam hal pentadbiran negara. Siapa yang berasa tersinggung dengannya?

"Ayah mahu menyiasat?" tanya Jun Qing.

Jun Xian mengeluh, "Abang kamu terhutang budi dengannya dan dia juga orang yang jujur. Kalau tak kerana insiden berkaitan Keluarga Jun, pasti Maharaja tidak akan mengesyaki seorang pengawal sempadan ada pakatan sulit dengan Keluarga Jun. Kita bertanggungjawab kerana melibatkan dia dalam masalah ini."

Jun Qing mengimbas kembali saat Istana Lin berada di puncak. Sebelum abangnya mati demi negara, sebelum dia sendiri menjadi lumpuh, kemegahan dan kebesaran Istana Lin melindungi mereka. Sejak mengalami kejatuhan dan kehilangan kemegahan mereka, bahaya yang tersembunyi mula muncul..

"Suruh orang kita siasat hal ini." Jun Xian menggelengkan kepalanya kerana berasa tidak berdaya. Dia tidak sanggup melihat seorang yang jujur dianiaya seperti ini.

Satu ketukan berbunyi di pintu, mengganggu perbualan mereka.

"Masuk." kata Jun Xian.

Seorang pengawal Istana Lin sedang melutut di muka pintu. Udara malam yang dingin bertiup masuk ke dalam bilik itu.

"Saya datang membawa laporan. Jeneral Li Ran mahu berjumpa Tuan."

"Jeneral Li Ran? Apa yang dia mahu lewat malam begini?" tanya Jun Xian sambil mengerutkan keningnya.

"Saya tak tahu. Jeneral Li Ran membawa bersama beberapa orang askar dan dia kelihatan gelisah."

"Ayah pergi tengok." Jun Xian berdiri. Jun Qing menarik lengan baju ayahnya.

"Lewat malam begini, keadaan semakin dingin. Hati-hati, Ayah." Jun Qing berkias.

Jun Xian mengangguk.

Di luar kawasan Istana Lin, dua orang askar memegang obor untuk menerangi kegelapan malam. Jeneral Li Ran berdiri di hadapan kudanya dan kelihatan resah.

Melihat Jun Xian keluar dari Istana Lin, Li Ran bergegas mendapatkannya dan terus melutut.

"Li Ran, ada apa ni?"

"Lin Wang! Tolong saya!" Li Ran merayu sambil memberi tabik genggam.

Jun Xian mengangkat keningnya, "Apa dah jadi? Sampai kamu ke sini lewat malam begini."

"Rumah….. Pegawai Lin….." Li Ran teragak-agak.

Jantung Jun Xian tersentak seketika, tetapi dia kekal tenang.

"Apa yang dah berlaku?"

"Saya sedang menjalankan titah Tuanku untuk membawa Pegawai Lin datang bagi disoal siasat mengenai tuduhan rasuahnya. Sewaktu saya sampai, tragedi Kediaman Lin sudahpun berlaku. Pegawai Lin membunuh tiga puluh enam orang di kediamannya. Sampai saja saya ke sana, saya nampak dia memegang sebilah pedang yang masih lagi tertusuk di dada isterinya." Li Ran dibasahi peluh sejuk. Dia masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya tadi.