Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 102 - Ubat Tiada Tandingan (1)

Chapter 102 - Ubat Tiada Tandingan (1)

Bandar Diraja yang sedang tenang ini bakal dilanda ribut yang dahsyat.

Akhirnya semua ubat menguatkan badan itu sudah disiapkan. Jun Wu Xie mengarahkan semua peti kayu itu dihantar pada Jun Qing.

Sebelum dia pergi, Jun Wu Xie melawat kolam teratai. Dia memandang bunga-bunga teratai merah jambu yang cantik di atas permukaan kolam itu. Pandangannya menjadi lembut sebaik terlihat satu bunga teratai putih yang suci.

"Tuan..." Teratai Kecil berubah bentuk menjadi rupa manusianya dan berenang ke tepi kolam. Dia menggunakan sepenuh tenaga sambil tangannya yang kecil memaut pada permukaan yang berbatu-batu di tepi kolam. Teratai Kecil mengambil nafas sebentar sambil memerhatikan Jun Wu Xie dengan matanya yang bersinar. Dia ketawa gembira.

"Bagaimana keadaan kamu? Sihat?" tanya Jun Wu Xie pada Teratai Kecil.

"Manik Kayu Berukir ini memang bagus! Saya sudah gunakannnya untuk menyucikan tenaga di kawasan ini dan kelajuan pertapaan saya sama seperti ketika saya berada di Dunia Roh." Teratai Kecil memandang Jun Wu Xie dengan ceria sambil ketawa.

Jun Wu Xie mengangguk. Dia dan Teratai Kecil sedang bertapa secara rahsia dan walaupun kemajuan pertapaan mereka perlahan, hasilnya pasti akan berguna satu hari nanti.

"Teruskan dengan pertapaan kamu, saya mahu pergi berjumpa dengan Pak Cik." Sebaik Jun Wu Xie meninggalkan kolam teratai itu, Teratai Kecil bertukar semula menjadi bunga teratai putih dan meneruskan pertapaannya sambil dikelilingi bunga-bunga teratai merah jambu yang lain.

Sampai sahaja ke halaman Jun Qing, dia melihat kawasan itu penuh dengan peti-peti kayu yang dihantarnya. Sebaik hamba-hamba suruhan sedar Jun Wu Xie ada di situ, mereka memberikan pandangan yang tidak berdaya.

"Cik, Tuan dan Tuan Kedua sedang berbincang. Kami tak berani mengganggu mereka… Peti-peti kayu ini…" Salah seorang hamba suruhan itu memberitahunya dengan penuh hati-hati.

Jun Wu Xie terus menuju ke pintu dan mengetuknya.

"Siapa?" Kedengaran suara Jun Xian dari dalam.

"Datuk, saya ni." balas Jun Wu Xie.

Seketika kemudian pintu itu dibuka dan Jun Xian tersenyum memandang Jun Wu Xie. Dia terkejut melihatkan peti-peti kayu di belakang cucunya.

"Ini semua untuk Pak Cik."

"Budak bertuah. Kamu asyik fikirkan tentang Pak Cik kamu saja. Barang-barang yang bernilai semuanya dihantar ke sini dulu. Baru-baru ini kamu juga berikan dia wain yang bagus. Macam mana dengan Datuk kamu?" Jun Xian berpura-pura marah dengan cucunya.

Mata Jun Wu Xie berkelip-kelip, "Kalau Datuk mahukan wain itu, saya boleh..."

"Datuk bergurau saja, kenapa kamu ambil serius?" Kemudian Jun Xian menarik cucunya masuk ke bilik bacaan itu.

Jun Wu Xie masih lagi keliru sambil memandang Jun Xian yang tersenyum dan mengangguk ke arahnya. Dia tidak faham dengan tindakan datuknya.

Datuk tak mahu wain itu?

"Duduk dulu." Jun Xian menunjuk ke arah kerusi berdekatan.

Jun Wu Xie duduk dengan patuh.

"Sudah tiba masanya kamu beritahu kami apa yang ada dalam peti-peti itu? Barang berharga apa yang kamu bawa untuk Pak Cik kamu?" Jun Xian ketawa besar kerana hatinya gembira melihatkan cucunya ini akhirnya tidak lagi membawa masalah.

"Itu bukan untuk Pak Cik, tapi untuk Tentera Rui Lin." balas Jun Wu Xie.

Senyuman Jun Xian dan Jun Qing menjadi kaku manakala mata Long Qi terbeliak kerana terkejut.

"Wu Xie, apa kamu kata? Untuk Tentera Rui Lin? Apa maksud kamu?" tanya Jun Xian dengan suara yang sedikit bergetar.

Jun Wu Xie memandang reaksi Jun Xian dan Jun Qing. Perlahan-lahan dia menjelaskan, "Saya buat ubat menguatkan badan bagi membolehkan mereka menguatkan urat darah dan arteri. Ini sangat berguna untuk meningkatkan tahap pertapaan di kalangan orang dewasa."

"..." Jun Xian dan Jun Qing memandang Jun Wu Xie seolah-olah tidak percaya.

Orang dewasa boleh meningkatkan kekuatan urat darah dan arteri?

Tak mungkin!

"Betulkah, Wu Xie? Ubat ini mampu memberi kesan sebegitu?" Suara Jun Qing bergetar kerana teruja.