Kelakuan Li Yingjie yang tidak bersemangat menyebabkan seluruh dewan itu menjadi kembali sunyi. Berbeza dengan Wu Jiong yang berasa khuatir, wajah Ling Lan acuh tidak acuh. Dia hanya mengetuk-ngetuk perlahan cawan teh itu dengan jari jemarinya, seperti sedang mempertimbangkan sesuatu.
Tidak lama selepas itu, Lin Zhong-qing muncul semula dari dapur selepas selesai mengemas. Dia datang dan berdiri di hadapan Li Yingjie dan meletakkan secawan air berais, yang masih mengeluarkan udara sejuk, ke atas meja itu. Berbanding sebelum ini, Lin Zhong-qing nampaknya seperti meletak cawan itu dengan kasar — bunyi cawan yang dihempas di atas meja berbunyi kuat dan bergetar.
"Awak pun ketawakan saya, ya?" Li Yingjie terkejut dengan bunyi bising ini. Dia tersentak dan mengangkat kepalanya ke arah Lin Zhong-qing dengan mata yang merah. Wajahnya kelihatan degil sewaktu melontarkan soalan itu kepada Lin Zhong-qing.